Monday, August 3, 2009

Memahami KPI dan NKRA


SEPERTI dijanjikan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri April lalu, Datuk Seri Najib Razak awal minggu ini menggariskan secara terperinci butir lanjut mengenai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang mulai sekarang akan dijadikan piawaian baru bagi mengukur pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam di bawah kepemimpinan beliau.


Butiran KPI yang diumumkan pada Majlis Perhimpunan Bersama Pegawai Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu meliputi enam bidang yang dikenal pasti sebagai keutamaan negara yang cukup mendesak berdasarkan kepada maklum balas diterima daripada orang ramai.

Bidang yang menjadi tumpuan itu yang dirangkumkan sebagai Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

1. Mengurangkan Jenayah
Dalam usaha mengurangkan jenayah, kerajaan mensasarkan pengurangan sebanyak 20 peratus jenayah jalanan pada akhir 2010.

Jenayah jenis ini, yang merangkumi 17 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah tahun lalu diberi penekanan kerana ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat.


2. Mengekang Rasuah
Untuk mengekang kemungkinan rasuah, kerajaan memutuskan pengagihan perolehan dibuat melalui tender terbuka atau tender terhad kecuali dalam kes tertentu. Polisi, prosedur serta penguatkuasaan sedia ada juga akan diperkemaskan untuk memulihkan Indeks Persepsi Rasuah, yang diletakkan Transparency Internataional pada tangga ke-47 tahun lalu berbanding tangga ke-39 pada 2004.


3. Memperkasakan Pendidikan
Dalam bidang pendidikan pula, KPI yang ditetapkan mensasarkan semua kanak-kanak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke tahun 4 sebelum hujung 2012. Menjelang tahun sama, 80 peratus kanak-kanak disasarkan mendapat akses kepada pendidikan prasekolah.


4. Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Miskin
Untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, sasaran menghapuskan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun depan berada pada landasan ditetapkan. Mulai Januari depan, semua bantuan kebajikan untuk rakyat yang layak akan dibayar tepat pada 1 hari bulan untuk mengelak kesusahan kepada penerima. Bilangan usahawan wanita yang kini berjumlah 717 orang akan ditambah kepada 4,000 melalui skim Amanah Ikhtiar menjelang 2012.


5. Memperkasakan Prasana Luar Bandar
Untuk memperkasa prasarana luar bandar, kemudahan jalan, bekalan air bersih dan elektrik khususnya di Sabah dan Sarawak akan ditambah, manakala sebanyak 50,000 lagi rumah golongan miskin dan miskin tegar akan dibina atau dibaik pulih menjelang akhir 2012.


6. Penambahbaikan pengangkutan awam
Usaha menambah baik pengangkutan awam pula, mensasarkan 25 peratus daripada penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam dalam urusan harian masing-masing menjelang 2012, berbanding 16 peratus sekarang. Menjelang tempoh sama, 35 set 4-car train akan beroperasi untuk laluan Kelana Jaya.

Untuk memastikan KPI yang ditetapkan itu dicapai dalam enam bidang pencapaian utama yang dikenal pasti tadi, enam menteri kanan ditugaskan sebagai menteri peneraju atau menteri pimpinan untuk mengepalai usaha terbabit.

Menteri-menteri lain yang tugas mereka berkaitan dengan bidang berkenaan akan turut membantu, sementara Perdana Menteri bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI.

Ada pihak yang bertanya apa akan jadi kepada usaha pembangunan dalam bidang lain dengan tumpuan khusus dalam bidang utama ini? Apa pula peranan yang akan dimainkan agensi pemantauan sedia ada dengan pengenalan mekanisme baru pemantauan projek di bawah sistem KPI ini?

Jawapannya ialah kementerian lain akan terus berfungsi seperti biasa untuk melaksanakan projek masing-masing. Seperti dijelaskan Najib, di samping membantu menteri peneraju yang ditetapkan, mereka juga akan diberikan KPI untuk kementerian masing-masing.


Agensi pemantau sedia ada juga akan terus berfungsi untuk membekalkan data dan input kepada menteri pelopor yang akan bermesyuarat dengan Perdana Menteri setiap minggu secara bergilir-gilir.

Seperti yang dijelaskan tadi, enam bidang yang dikenal pasti sebagai bidang keberhasilan utama itu adalah bidang yang mendesak dan sering dipolemikkan oleh rakyat sejak akhir-akhir ini.


Fokus yang diberikan kerajaan terhadap bidang ini dengan jelas menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar prihatin kepada kehendak dan komited untuk memenuhi tuntutan mereka, selaras dengan konsep pentadbiran sekarang yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.


Di bawah pendekatan baru ini, peluang untuk memastikan hasil satu-satu projek – dalam erti kata manfaat yang akhirnya dinikmati rakyat daripada projek berkenaan dan bukan hanya setakat sama ada peruntukan yang disediakan sudah dibelanjakan atau sama ada satu-satu projek itu sudah disiapkan seperti amalan sekarang – dapat dioptimumkan

Di samping itu, secara tidak langsung juga rakyat yang menjadi klien kerajaan dapat turut serta dalam pengurusan projek kerana mereka dapat memantau pelaksanaan projek menerusi petunjuk prestasi projek berkenaan yang akan dihebahkan dari semasa ke semasa. Dengan itu mereka tidak akan teraba-raba mengenai hala tuju dan pencapaian kerajaan yang mereka pilih.


Dari segi pengurusan moden juga, sistem NKRA dan KPI ini mampu meningkatkan keberkesanan pengurusan projek kerana ia menetapkan pemilikan sesuatu projek melalui menteri peneraju yang dipilih.


Untuk memastikan setiap gerak kerja berjalan lancar dan mengikut jadual, sistem ini juga melantik seorang peneraju tetap atau 'champion', iaitu Perdana Menteri sendiri





Bookmark and Share