MENEPATI janji ketika berucap pada majlis sambutan 100 hari pentadbirannya pada 11 Julai lalu, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengumumkan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan perincian menyeluruhnya.
Seperti dinyatakan sebelum ini, 6 NKRA itu berpaksi kepada usaha menjamin kesejahteraan rakyat iaitu (1) mengurangkan jenayah, (2) memerangi rasuah, (3) meluaskan akses pendidikan bermutu, (4) meningkatkan taraf hidup rakyat, (5) memperkasa prasarana luar bandar dan (6) menambah baik khidmat pengangkutan awam.
Serentak itu, Perdana Menteri mengumumkan enam menteri yang mengetuai setiap NKRA berkenaan bagi memastikan matlamatnya dicapai. Mereka bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan rakan dari kementerian lain yang berkaitan dalam merumuskan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang diperlukan bagi membolehkan NKRA itu dipenuhi.
Sebenarnya, konsep NKRA dan KPI dalam pentadbiran kerajaan bukan sesuatu yang rumit. Secara ringkas, kerajaan sebenarnya mahu menetapkan sasaran untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mahu ia boleh dinilai dari semasa ke semasa. Jadi, enam aspek penting ke arah itu dikenal pasti dan disenaraikan sebagai NKRA dengan mengandungi sasaran khusus dalam tempoh tertentu.
Maka, untuk mencapai NKRA itu, enam menteri terbabit perlu berbincang dengan rakan mereka daripada kementerian yang berkaitan untuk menggariskan KPI nasional yang perlu mereka penuhi bersama.
Seterusnya, setiap menteri berkenaan pula akan menyediakan KPI pada peringkat kementerian dengan pegawai masing-masing bagi menetapkan sasaran yang perlu mereka capai untuk memenuhi KPI nasional dan NKRA yang diberi.
Kini, butiran NKRA sudah diperincikan dan terserah kepada enam menteri terbabit serta rakan mereka menyediakan KPI masing-masing untuk memastikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dilaksanakan. KPI itu penting kerana ia akan membolehkan semua prosedur dan proses dikemas kini bagi membolehkan seluruh sumber sesebuah organisasi digembleng ke arah sasaran NKRA.
Menyedari hakikat sistem NKRA dan KPI adalah 'satu peluasan dan perincian inisiatif yang belum pernah ditampilkan sebelum ini' seperti dinyatakan Najib sendiri, menjadi tanggungjawab semua pihak, khususnya anggota pentadbiran kerajaan supaya memberikan komitmen penuh ke arah memastikan matlamatnya tercapai.
Jika Perdana Menteri sendiri sanggup mengadakan perjumpaan setiap minggu dengan setiap menteri bagi memastikan NKRA dan KPI mereka dicapai, iltizam itu harus juga turun ke peringkat akar umbi jentera penjawat awam secara kolektif.
Jika tidak mampu menyumbang idea atau saranan berhubung kaedah terbaik menjayakannya, paling tidak setiap anggota masyarakat harus turut memerah keringat memastikan apa yang dirancang, dilaksanakan sebaiknya. Kita semua harus akur bahawa konsep NKRA dan KPI yang diperincikan Perdana Menteri sebenarnya adalah satu perubahan monumental yang menuntut komitmen penuh semua pihak untuk menjayakannya.
Sesuatu yang perlu diingat, matlamat utama pelaksanaannya ialah memastikan kesejahteraan segenap lapisan anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial, ekonomi, agama atau etnik.
Adalah sesuatu yang amat malang jika selepas ini ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjadikan hasrat murni kerajaan membela nasib rakyat ini sebagai modal politik mereka untuk menggagalkan pelaksanaannya.