Wednesday, August 26, 2009

Media tidak pro-1Malaysia: Hamid Pawanteh


Kebanyakan media massa di negara ini tidak membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjayakan gagasan 1Malaysia kerana masih terikat dengan agenda memperjuang isu kelompok tertentu.

Bekas yang dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh berkata sekalipun mereka mempromosikan 1Malaysia, hakikatnya masih banyak artikel dan berita yang disiarkan bertentangan dengan gagasan itu.

"Mereka highlight (uar-uarkan) apa yang Datuk Seri Najib sebut, tapi di muka surat lain dia kontra balik.

"Di muka depan dia highlight 1Malaysia seperti yang diseru perdana menteri, tapi di muka surat lain adalah perkara-perkara yang menggugat pencapaian 1Malaysia itu sendiri. Ini satu percanggahan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hamid berkata perkara itu harus diubah segera demi kepentingan negara memandangkan gagasan 1Malaysia adalah seruan perdana menteri agar semua pihak kembali ke pangkal jalan.

"Saya melihat 1Malaysia ini sebagai mesej tersirat iaitu satu pengakuan bahawa selepas 50 tahun merdeka kita ada tersesat sedikit, dan 1Malaysia mengajak kita kembali ke pangkal jalan demi kepentingan semua.

"Kalau ada media tertentu memihak kepada sesuatu dia sibuk itu saja dan mendidik (masyarakat) seolah-olah ada media yang mendukung kaum, ada media yang dukung parti, seolah-olah tak banyak pun media yang nak dukung negara Malaysia," katanya.

Justeru, katanya, media harus memainkan peranan yang lebih menyeluruh dalam mendidik masyarakat agar meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan kaum masing-masing.

"Bagi saya kalau ditanya apakah ertinya patriotisme bagi seorang rakyat Malaysia, bagi saya ialah meletakkan Malaysia mengatasi kaum dan parti.

"Jika anda seorang patriot sejati anda akan meletakkan kepentingan negara melebihi bangsa atau masyarakat dan melebihi parti anda, itu bagi saya anda adalah seorang patriot Malaysia yang sejati," kata Abdul Hamid.

Beliau, yang juga bekas menteri besar Perlis, turut menekankan bahawa media mempunyai tanggungjawab untuk menjadi sumber berita yang boleh dipercayai dan berkredibiliti.

Ini kerana, katanya, media yang gagal berbuat demikian akan kehilangan pengaruh dan sokongan suara ramai.

"Suara ramai akan menolak apa saja yang ditanggapi mereka sebagai propaganda dan sebab itu pelihara diri supaya jangan langsung berbaur propaganda," kata beliau. BERNAMA



Bookmark and Share