Sunday, February 22, 2009

Sesekali menjenguk orang kampung

CUTI panjang persekolahan membolehkan anak-anak yang membesar di bandar-bandar pulang ke kampung menziarahi nenek moyang dan saudara mara yang lain. Mereka gembira kerana dapat bergerak bebas, tidak lagi terkongkong oleh pagar rumah di kota.


Mereka ke sana ke mari bersama-sama rakan-rakan dan pupu poyang yang mungkin ditemui sekali dua sahaja dalam setahun. Itulah dunia kanak-kanak, kegembiraan senantiasa mewarnai hidup mereka. Sebab itu mungkin, ada orang dewasa merasakan alangkah bertuahnya jika masa dapat diputar semula, supaya dapat merasai semula keindahan hidup pada zaman kanak-kanak dan remaja. Namun itu semua hanyalah lamunan.



Realiti kehidupan sentiasa menunggu, semakin mencabar selari dengan peningkatan usia kita. Kita perlu menghadapinya demi melengkapkan sebuah kehidupan. Ketika melayari sebuah kehidupan itulah, kita berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.


Bagi kita yang berasal dari kampung, sesekali pulang ke kampung halaman membolehkan kita menyemak diri dan menilai kekuatan diri dalam menyatakan kesyukuran kepada Tuhan terhadap apa yang kita ada sekarang. Memang benar, sesetengah kawan sepermainan kita yang membuat keputusan untuk terus menetap di kampung menempuh kejayaan demi kejayaan. Sesetengah mereka menjadi golongan contoh - petani jaya, pengusaha, peniaga yang berjaya dan sebagainya.


Namun, kehidupan masih ramai orang kampung hidup masih dicorakkan oleh kehendak alam dan pada yang sama tidak dapat lari daripada pengaruh dunia di luar lingkaran hidup mereka. Hujan panas banyak mempengaruhi aktiviti seharian mereka yang masih bergelar nelayan, petani, pesawah mahupun pekebun kecil.


Apa tidaknya, hujan berterusan sehari dua pun, bermakna tiadalah rezeki penoreh getah pada hari berkenaan. Pekebun-pekebun kecil lain pun sukar hendak ke kebun. Jika hujan itu yang disertai dengan angin kencang sehingga ombak membadai seperti musim tengkujuh sekarang, nelayan kecil pula takut ke laut. Banjir pula selain memaksa sesetengah penduduk berpindah, amat meresahkan golongan pesawah, lebih-lebih lagi jika anak-anak padi masih kecil. Tanaman mereka berdepan dengan kemusnahan, jika terendam terlalu lama dalam banjir. Jika itu berlaku bermakna mereka terpaksa memulakan proses tanaman itu sekali lagi. Itu semua melibatkan tenaga dan wang sehingga dalam keadaan tertentu margin keuntungan kelak terlalulah nipis.

Ringkasnya, aktiviti mereka akan terhenti jika hujan atau cuaca di luar kebiasaan.

Cuaca panas yang keterlaluan juga meresahkan pekebun. Mereka risau tanaman yang dijaga rapi akan kekeringan punca air dan boleh menyebabkan tanaman khususnya yang baru setahun dua usianya mati kering. Jika keadaan itu timbul, maka pekebun terpaksa bekerja lebih keras sama ada mengangkut air untuk siraman atau bagi yang mempunyai dana sedikit, membeli pam untuk tujuan pengairan tanaman. Apapun kos mereka semestinya bertambah.


Bagi pekebun kecil getah pula, musim hujan sudah tentu mereka tidak boleh menoreh. Musim panas juga sebenarnya turut mengehadkan pendapatan mereka kerana pengeluaran susu getah secara rasionalnya juga akan berkurang. Maka berkurang jugalah pendapatan mereka. Harga getah di pasaran yang tidak stabil memburukkan lagi keadaan.
Jika Julai lepas, harga getah sekerap melebihi RM4 sekilogram tetapi kini ia sekitar RM1 sahaja sekilogram. Jika dahulu seorang penoreh getah dapat mengeluarkan 40kg sekerap sehari, bermakna hasil jualannya sekitar RM160 sehari tetapi kini jumlah yang sama hanya akan menghasilkan sekitar RM40 sahaja. Kesemua itu bukan hasil bersih mereka kerana belum ditolak pelbagai kos lagi seperti kos kenderaan, baja dan menjaga tanaman berkenaan. Bagi yang menoreh secara pawah, hasil jualan terpaksa pula dibahagi dua dengan pemilik kebun.

Harga barangan keperluan yang masih tinggi sudah tentu menambahkan risau mereka. Mengapa tidak, hasil sekilogram getah sekerap hanya mampu membeli tiga keping kuih. Menjadi orang kampung dengan aktiviti ekonomi tradisi sudah tentu menyukarkan kehidupan apabila jumlah pendapatan tidak beriringan dengan kenaikan kos barangan. Bertambah sukar kerana pendapatan mereka bukanlah tetap.


Justeru, terdapat kalangan orang kampung yang dapat mempelbagaikan pendapatan mereka menerusi aktiviti sampingan. Bantuan agensi-agensi kerajaan membuka laluan ke arah itu sudah tentu menjadi satu kelebihan. Keluaran makanan berasaskan hasil kampung adalah antara yang dapat dilihat di kampung-kampung. Ia sudah tentu membantu menjana hasil pendapatan sekurang-kurangnya orang kampung dan ahli keluarganya.


Usaha mempelbagaikan aktiviti sampingan orang kampung seperti ternakan ikan air tawar, kambing dan lembu secara kecil-kecilan perlu dipertingkatkan. Tidak dinafikan agensi-agensi kerajaan yang dipertanggungjawab telah melakukan yang terbaik bagi membantu mempertingkatkan taraf hidup orang kampung tetapi usaha itu tidak dapat dihentikan setakat itu sahaja kerana ramai lagi orang kampung yang gagal keluar dari ‘kongkongan aktiviti tradisi itu’. Mereka perlu dibantu.

Peranan membantu orang kampung sebenarnya tidak boleh diletakkan pada bahu agensi-agensi kerajaan berkenaan sahaja. Anak-anak orang kampung yang sudah berjaya dan berada di bandar-bandar perlu memainkan peranan yang sama mustahaknya. Mereka yang berasal dari kampung dan kini berjaya di bandar-bandar besar sudah pasti mempunyai sanak saudara yang masih menetap di kampung dan sesetengahnya mungkin perlu mendapat perhatian. Mereka yang sudah berjaya inilah yang perlu menjadi pemangkin kepada kejayaan orang-orang kampung yang mungkin pernah menjadi kawan sepermainan.



Kos hidup yang meningkat turut dirasai oleh mereka yang mempunyai pendapatan tetap sama ada mereka menetap di bandar mahu pun di pekan-pekan kecil. Kesan yang lebih teruk tentunya dirasai oleh orang kampung yang pendapatannya tidak dapat dijangka.


Menjelang musim persekolahan baru ini, keperluan anak-anak sudah tentu menjadi keutamaan kita sama ada kita orang bandar mahupun orang kampung. Namun cara orang kampung yang berpendapatan tidak tetap dan tidak seberapa memenuhi keperluan berkenaan sudah tentu satu kejayaan. Cara mereka berkompromi dengan keperluan-keperluan lain yang mungkin terpaksa dipinggirkan dahulu, sudah tentu memerlukan tahap kesabaran yang tinggi termasuklah di pihak anak-anak itu sendiri.