Tuesday, February 3, 2009

Tidak berhak paksa letak jawatan


Siakap senohong, paku serpih. Nampak sangat tiada demokrasi di dalam Pakatan Anwar Ibrahim. Sikap memaksa menandatangani akujanji ini ibarat, meletak pisau dileher...tiada kebebasan di dalam pakatan pembangkang.


IPOH 2 Feb. - Pakatan pembangkang tidak mempunyai hak memaksa wakil rakyat mereka meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika ada kalangan mereka bertindak keluar daripada pakatan tersebut.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, sebarang paksaan meletak jawatan tidak boleh diterima sama sekali kerana ia jelas tidak menghormati hak rakyat sebagai pengundi.

''Rakyat yang mengundi seseorang calon dalam pilihan raya mempunyai hak juga kerana kemenangan mereka adalah atas pilihan pengundi jadi kenapa parti pula hendak paksa seseorang ADUN letak jawatan.

''Jika benar paksa letak jawatan, pakatan pembangkang bukan sahaja tidak menghormati hak rakyat malah memperbodohkan ADUN kerana memaksa tandatangan surat sebegitu rupa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ramly berkata, kedua-dua wakil rakyat berkenaan tidak pernah menyuarakan untuk menyertai UMNO atau Barisan Nasional (BN) sebaliknya mereka mahu menjadi wakil rakyat bebas.

Katanya, ia secara tidak langsung menjadikan istilah 'melompat parti' itu tidak tepat kerana kedua-dua wakil rakyat tersebut belum pasti lagi mahu bersama BN atau tidak.

Ramly pada masa sama menafikan berita mengenai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali mahu menghadap Sultan Perak hari ini.

''Saya selaku Setiausaha UMNO negeri juga tidak tahu menahu dengan berita Tajol Rosli mahu menghadap Sultan Perak.

''Siapa yang beritahu kamu tentang hal ini? Jangan mudah percaya sebab memang terdapat banyak khabar angin di Perak sekarang ini," jelas beliau.