IBARAT meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri.
Najib sendiri pada sidang akhbar khas di pejabatnya mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru di negeri itu tidak dapat menyembunyikan perasaannya yang 'terbuku' sekian lama.
''Tentu mereka (pembangkang) tidak menjangka ini akan berlaku tapi mereka telah memulakan prinsip tubuh kerajaan tanpa mengikuti proses demokrasi, jadi mereka tidak boleh salahkan BN.
Begitu gambaran yang dialami pakatan pembangkang yang diterajui ketuanya yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika bermula selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu sebaik sahaja pakatan pembangkang meraih kemenangan di lima negeri, Anwar sering menyebar propaganda '16 September (2008) pembangkang akan membentuk kerajaan baru hasil lompat parti wakil rakyat Barisan Nasional', perkembangan terbaru yang berlaku semalam, mengikis keangkuhan ketua pembangkang itu.
Najib sendiri pada sidang akhbar khas di pejabatnya mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru di negeri itu tidak dapat menyembunyikan perasaannya yang 'terbuku' sekian lama.
''Tentu mereka (pembangkang) tidak menjangka ini akan berlaku tapi mereka telah memulakan prinsip tubuh kerajaan tanpa mengikuti proses demokrasi, jadi mereka tidak boleh salahkan BN.
''Tentulah segala-galanya yang berlaku ini ketentuan Ilahi, syukurlah," kata Najib sambil diperhatikan oleh tiga ADUN pembangkang yang kini bergerak sebagai wakil bebas, Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).
Perkembangan terbaru yang mengakhiri kemelut politik di Perak dengan membawa keupayaan BN membentuk kerajaan baru di negeri itu lebih manis lagi apabila berlaku hanya selang 10 hari Najib memikul tanggungjawab selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.
Ironinya, banyak keributan yang dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sejak menerajui kerajaan negeri memasuki tempoh setahun ini.
Antara yang ketara ialah pemberian hak milik tanah kekal selama 999 tahun kepada penduduk di kampung-kampung baru, yang dilihat tidak memberi keadilan kepada masyarakat Melayu di negeri itu.
Dikatakan beliau terpaksa mentadbir di bawah 'telunjuk' orang lain, yakni DAP, juga sering dijaja oleh rakyat Perak.
Malah, kekurangan pengalaman mentadbir dan dianggap masih 'orang baru' menyebabkan beberapa tindakannya sering dianggap kurang bijak serta gagal menyerlah.
Pengumuman yang dibuat oleh Mohammad Nizar semalam berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sebelum beliau menghadap untuk mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga dipersoalkan sehingga akhirnya terpaksa keluar dari istana dengan 'tangan kosong'.
Terdahulu, usaha Koo Ham memasuki istana untuk bersama-sama Mohammad Nizar mendapatkan perkenan Sultan Perak membubarkan DUN dihalang pihak polis.
Pagi ini Najib sepatutnya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-62 di Putrajaya tetapi lewat petang semalam ia ditunda ke tarikh lain.
Dijangkakan, beliau akan menghadap Sultan Perak pagi ini untuk menyembah maklum secara rasmi bahawa BN Perak kini mempunyai sokongan majoriti yang cukup sebanyak tiga kerusi mengatasi 28 kerusi yang dimiliki penyandangnya dari pakatan pembangkang.
''Kita akan mulakan era baru di Perak dan kita akan berkhidmat dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan penduduk di Perak," kata Najib