Timbalan ketua Umno bahagian Bukit Gantang, Kamarulail Sulaiman disebut-sebut menjadi pilihan utama untuk bertanding sebagai calon tiket Barisan Nasional (BN) dalam pilihnaraya kecil parlimen tersebut 7 April depan.
Ini berdasarkan popularitinya di kalangan ahli parti dan penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu, kata ahli jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Gantang, Kamaruddin Ayub.
"Beliau orang yang paling sesuai kerana merupakan anak jati Bukit Gantang. Beliau berasal dari Terung dan orang ramai mengenalinya.
"Umurnya baru 43 tahun dan merupakan pensyarah Kolej Islam Perak di Kuala Kangsar," katanya hari ini.
Pilihanraya kecil Bukit Gantang diadakan ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shahrum dua minggu lalu.
Dalam pilihanraya umum lalu, wakil PAS itu mengalahkan calon BN Datuk Seri Mohd Azim Zabidi.
Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 29 Mac sebagai hari penamaan calon dan 7 April hari mengundi.
Kamaruddin berkata, dari maklum balas, pengundi Bukit Gantang mahukan Kamarulail bertanding dalam pilihanraya kecil kali ini.
Ciri-ciri calon
Katanya, pemilihan Kamarulail dijangka tidak mendapat bantahan pemimpin Umno peringkat bahagian dan cawangan di Bukit Gantang.
"Sentimen orang Umno mahukan Kamarulail ini dapat dilihat dalam pemilihan Umno bahagian Oktober lalu.
"Beliau sebelum itu yang hanya merupakan AJK bahagian mengalahkan penyandang jawatan, Khadri Khalid," katanya.
Sementara seorang lagi AJK, Yusof Awang pula berkata, Kamarulail menepati ciri-ciri calon yang dikehendaki rakyat Bukit Gantang.
Katanya, pengundi mahu calon tempatan kerana mudah untuk berurusan, selain mereka lebih memahami keperluan penduduk setempat.
"Sesuailah beliau (Kamarulail) bertanding di sini... saya yakin peluang kita menang semula lebih cerah kali ini," katanya.
Bagaimanapun, katanya, naib ketua bahagian, Mohd Kamaruddin Abu Bakar juga sesuai dan layak untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.
Katanya, ini kerana beliau sudah lama berjuang dalam parti dan disenangi oleh penduduk setempat..