Monday, May 11, 2009

BN bertanggungjawab penuhi 'hasrat' Nizar seperti diputus oleh Mahkamah


Dari agendadaily.com:
Sesuai dengan keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur yang memutuskan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar Perak yang sah, Barisan Nasional (BN) sebenarnya tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan tersebut.



Ini kerana dalam penghakiman yang disampaikan oleh Hakim, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim secara jelas menyebut bahawa jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.



Malah beliau berkata, Nizar bukan sahaja tidak meletakkan jawatannya tetapi tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.



Malah menurut beliau, jika Barisan Nasional (BN) telah memperolehi sokongan majoriti ADUN, BN seharusnya memohon perkenan Sultan Perak untuk diadakan sidang khas bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap Nizar dibuat.



“Memang pemohon (Nizar – berdasarkan perkembangan yang berlaku di Perak) telah hilang majoriti tetapi tiada undi tidak percaya dibuat terhadap Nizar di DUN. Mana-mana Menteri Besar yang telah dilantik, beliau hanya bertanggungjawab kepada DUN dan hanya boleh diturunkan sekiranya undi tidak percaya terhadapnya dalam sidang DUN,” demikian kata Hakim itu lagi.



Berdasarkan keputusan ini, Agendadaily sempat menemui Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub bertanyakan bagaimana jika BN yang kini memperolehi sokongan 31 ADUN di Perak memohon kepada Sultan perak agar diadakan sidang khas bagi mengemukakan undi tidak percaya. Beliau berkata, biarlah proses itu berlaku dan sebarang keputusan daripadanya sudah tentu akan diterima baik oleh semua pihak.



Berdasarkan hujah tersebut, BN kini sebenarnya mempunyai kelebihan untuk melaksanakan keputusan mahkamah tersebut. Ini kerana, dengan keputusan mahkamah itu, BN yang kini menguasai majoriti dalam DUN Perak boleh memohon kepada Sultan Perak untuk memanggil sidang khas dewan negeri itu bagi membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan.



Sidang khas ini boleh diadakan kerana berdasarkan kepada kenyataan Nizar sendiri selepas keputusan mahkamah itu, beliau berkata, semua keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Exconya akan dikaji semula kecuali keputusan mengadakan sidang DUN 7 Mei lalu yang boleh diterima. Maknanya, keputusan sidang DUN Perak 7 Mei lalu diterima oleh Nizar dan adakah ini juga bermakna beliau turut mengiktiraf perlantikan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker yang mengendalikan sidang DUN yang secara rasminya sesuai dengan keputusan sidang DUN menjemput Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah merasmikan sidang berkenaan.



Malah hasrat Nizar untuk membubarkan DUN Perak menimbulkan persoalan, adakah beliau mempunyai sokongan DUN untuk berbuat demikian kerana 31 daripada 59 ADUN Perak menyokong BN.



Ada yang berpendapat, jika Nizar masih mahu terus mencadangkan pembubaran DUN, beliau perlu mendapat keputusan DUN terlebih dahulu kerana buat masa ini beliau menjadi Menteri Besar yang hanya mendapat sokongan 28 ADUN berbanding 31 ADUN yang menyokong BN dan tidak bersetuju dengan pembubaran DUN