Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu.
Sebaliknya, Perdana Menteri mahu mereka berusaha melakukan perubahan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan.
Beliau yang juga Presiden UMNO4 menegaskan, pemimpin dan ahli parti perlu menyedari bahawa semakin ramai pengundi masa kini terdiri daripada golongan pasca merdeka dan tidak pernah melalui peristiwa penting yang berjaya ditangani oleh UMNO dan BN.
Sehubungan itu, beliau menuntut ahli-ahli parti itu berubah dari segi cara berfikir, strategi politik dan kaedah berkomunikasi dengan pengundi baru mengenai dasar yang diperjuangkan UMNO dan BN.
''Sekarang bukan zaman seperti UMNO mula-mula dilahirkan. Ramai kalangan generasi hari ini tidak berpengalaman melalui peristiwa penting seperti tragedi 13 Mei dan kegawatan ekonomi pada 1997.
''Jadi, kita tidak boleh bersandar kepada nostalgia dan sentimen kerana walaupun jasa menggunung tinggi, ia bukan jaminan untuk terus mendapat sokongan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan secara berkelompok mesyuarat 140 cawangan UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO di sini hari ini.
Najib seterusnya memberitahu, masyarakat kini terbahagi dua iaitu kelompok berpendidikan tinggi yang mempunyai 'kuasa' maklumat dan golongan muda yang hanya mengetahui peristiwa-peristiwa bersejarah negara menerusi bacaan dan lisan.
Golongan muda kini juga, jelas beliau, mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan maklumat menerusi media alternatif seperti laman web dan blog.
Sambil menyifatkan golongan muda sebagai 'kain putih', beliau mahu pemimpin dan ahli UMNO mencari kaedah terbaik mendekati mereka dan menyalurkan maklumat tanpa dipengaruhi anasir negatif.
''Cara kita (UMNO) berbicara dalam media alternatif adalah penting. Generasi baru mendapat maklumat melalui media alternatif dan bukan media arus perdana.
''Terpulang kepada kita, kalau mereka (golongan muda) mendapat maklumat yang betul, mereka akan sokong, kalau kita gagal, mungkin mereka akan terpengaruh walaupun maklumat yang diperoleh tidak benar," katanya.
Najib turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak hanya menjalinkan hubungan erat dengan ahli parti semata-mata dan meminggirkan golongan yang berada di luar parti.
''Bermuhasabah dan bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka tidak menyokong kita, kena fikir seperti peniaga mengapa orang tidak mahu membeli barang kita. Buatlah analisis.
''Selama ini, mungkin kita tidak rajin untuk menolong orang lain, tidak rajin pergi kenduri-kendara dan majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan penduduk kampung.
''Sikap sedemikian menyebabkan UMNO semakin hilang 'roh' dan semangat sebagaimana yang dilakukan oleh ahli-ahli parti terdahulu yang berjuang menentang gagasan Malayan Union," jelasnya.
Dalam pada itu, Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan menegaskan, pihaknya tidak akan dibuai dengan kemenangan besar yang dicapai oleh BN dalam mempertahankan Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO dan BN Pekan akan terus memperjuangkan nasib rakyat supaya parti itu terus relevan sekali gus menjadikan Pekan kubu kuat kerajaan yang memerintah.
''Saya tidak mahu bersandarkan kepada keputusan cemerlang pada pilihan raya lalu walaupun meraih majoriti terbesar. Kita akan meneruskan khidmat kepada penduduk dan melaksanakan apa yang dirancang," jelasnya.