Monday, May 25, 2009

Tunggu apa silat PKR bila Aminah dedahkan...


Walaupun hanya berhadapan dengan calon Bebas, PKR nampaknya tidak boleh duduk senang kerana ‘serangan’ awal salah seorang calon bebas, Aminah Abdullah mengundang reaksi daripada pimpinan kanan parti tersebut.


Aminah selepas penamaan calon berkata, beliau akan mendedahkan bukti ada pemimpin PKR yang telah menemuinya dengan membuat pelbagai tawaran asalkan beliau sedia menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.


Aminah yang merupakan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan, adalah antara kumpulan awal yang berjuang bersama Parti Keadilan dan menerajui kepimpinan di peringkat negeri Pulau Pinang di samping aktif dalam pergerakan wanita di peringkat pusat.


Difahamkan, Aminah akan membuat sidang media bagi mendedahkan dakwaannya itu kerana menurut beberapa sumber rapat dengannnya, beliau mempunyai gambar dan rakaman perbualan yang melibatkan salah seorang pemimpin PKR.


Mengulas mengenai dakwaan Aminah itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua mencabar Aminah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengemukakan bukti.



"Jika ada sebarang bukti bahawa ada pemimpin atau mana-mana daripada kami (PKR) menawarkan ganjaran kewangan, laporkan kepada SPRM atau SPR," katanya.



Manakala Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula ketika mengulas dakwaan Aminah tersebut mengaitkannya dengan kemungkinan Aminah mempunyai rasa tidak puas hati dengan mana-mana pihak dalam PKR.



Cumanya, jika Aminah tampil mengemukakan bukti, kita lihat apa pula ‘pencak silat’ yang akan digunakan oleh PKR. Selalunya pemimpin PKR membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap pemimpin kerajaan tetapi tiada bukti yang dikemukakan. Itu tidak apa bagi mereka.



Kalau orang lain kemukakan bukti, apa agaknya jawab mereka.