Monday, May 4, 2009

Wataniah tiada kaitan undi pos - Latiff

KUALA LUMPUR 1 Mei - Sasaran Kementerian Pertahanan melahirkan 600,000 anggota tentera wataniah di seluruh negara tiada kaitan dengan isu undi pos kononnya bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, persepsi itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang tiada pengetahuan meluas dalam sistem pilihan raya negara ini serta mereka yang 'sakit politik'.

Katanya, tentera wataniah golongan yang memasuki perkhidmatan ketenteraan dengan sukarela secara separuh masa dan berdaftar di kawasan Parlimen masing-masing di bawah senarai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

''Secara jelas, orang yang membuat kenyataan sebegitu, dia 'sakit politik'. Tentera bebas daripada sebarang fahaman politik dan kesetiaan mereka hanya kepada negara serta kerajaan yang memerintah.

''Wataniah pula sukarela, mereka orang biasa (masyarakat awam), jadi bagaimana isu undi pos wujud?" katanya pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan pertamanya ke ibu pejabat Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) di sini baru-baru ini.

Pada 12 April lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan cadangan untuk melahirkan 600,000 anggota tentera wataniah dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sasaran 300 anggota di 222 kawasan Parlimen di negara ini.

Berikutan kenyataan itu, beberapa laman blog termasuk kelolaan ahli Biro Penerangan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nathaniel Tan (http://jelas.info/2009/04/13/zahid-plans-massive-postal-vote-con-via-wataniah-latest-on-adi-anwar/) mendakwa cadangan itu bertujuan mewujudkan penipuan dalam sistem undi pos yang bakal memihak kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.