Dipetik dari: http://www.zambry.com/
Saya memohon maaf kepada pembaca setia blog saya kerana terlewat untuk mengemaskinikan tulisan saya. Selepas keputusan mahkamah semalam, saya bertemu dengan pemimpin-pemimpin, para peguam serta rakan-rakan untuk membincangkan tindakan kami seterusnya.
Seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan ringkas akhbar, saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran yang terbuka, tanpa mempersoalkan keputusan itu.
Keputusan itu membuktikan mahkamah adil dalam melaksanakan tanggungjawab perundangan, dan sekali gus menolak persepsi yang diada-adakan oleh Pakatan Pembangkang.
Bagaimanapun saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan kami menegakkan keadilan dan membela rakyat. Ini adalah tradisi dan intipati perjuangan Barisan Nasional.
Menegakkan kebenaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.
Nelson Mandela misalnya mengorbankan kebebasannya selama 27 tahun demi membebaskan rakyat Afrika Selatan dari cengkaman “apartheid”.
Mahatma Ghandi pula mengorbankan nyawanya untuk memastikan kemerdekaan India serta rakyatnya dapat hidup aman tanpa sempadan kasta dan agama.
Perjuangan menegakkan keberanian ini memerlukan “keberanian”. Mandela pernah berkata : “Saya mempelajari bahawa keberanian bukanlah bermakna tidak punya perasaan takut, tetapi Berjaya mengatasinya. Mereka yang berani bukanlah mereka yang tidak punya perasaan takut tetapi mereka yang mampu menakluki rasa takut itu. (I learned that courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man is not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear. )
Jika dibandingkan dengan dua tokoh yang disebutkan tadi, perjuangan dan pengorbanan yang saya serta rakan-rakan lalui tidaklah seteruk mereka. Sekurang-kurangnya saya tidak hilang kebebasan atau disakiti untuk menegakkan kebenaran.
Saya hanya menempuhi persepsi umum yang negatif seperti yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang termasuk Menteri Besar Dato’ Seri Nizar Jamaluddin serta orang-orang kanannya.
Tuduhan terbaru ialah penggunaan bomoh yang saya rasakan amat serius kerana ia melibatkan perbuatan syirik. Ini adalah antara taktik politik kebencian (politics of hatred) yang digunakan oleh mereka supaya rakyat membenci Barisan Nasional.
Tetapi taktik seperti ini bukanlah budaya Barisan Nasional.
Memetik kata Martin Luther King Jr, kegelapan tidak akan mengatasi kegelapan. Kebencian tidak akan menghapuskan kebencian, hanya kasih sayang mampu mengubahnya. (Darkness cannot drive out darkness; only light can do that. Hate cannot drive out hate; only love can do that.)
Pada saya kehilangan jawatan Menteri Besar tidak akan mengurangkan semangat juang saya untuk menegakkan kebenaran. Jika Nizar dan rakan-rakannya yang kini mula bermaharaja-lela dan rakus kuasa (termasuk memasuki pejabat Menteri Besar seawal 7.15 pagi pada 12 Mei), menyangka keputusan mahkamah itu akan mengurangkan semangat juang saya maka mereka sudah tersilap baca.
Perjuangan menegakkan kebenaran tidak perlu pada jawatan.
Bagaimanapun saya akui adalah sukar untuk menukarkan persepsi penyokong mereka tentang saya dan Barisan Nasional. Ceramah-ceramah, laman-laman portal, serta akhbar milik pembangkang berjaya memberikan imej negatif terhadap kami.
Tidak hairanlah ada golongan yang percaya dengan tuduhan mereka kononnya adun-adun Barisan Nasional memulakan kekecohan dalam dewan undangan negeri pada 7 Mei lepas.
Bekas speaker V. SIvakumar pula seperti “buta undang-undang” mendakwa keputusan mahkamah tinggi semalam, mengatasi keputusan mahkamah Persekutuan yang mengistiharkan penggantungan saya serta enam exco sebagai tidak sah.
Padahal, Mahkamah Persekutuan mengatasi keputusan mahkamah Tinggi. Ini adalah antara contoh manipulasi yang dibuat oleh pakatan pembangkang.
Mereka hanya menerima keputusan undang-undang yang menyebelahi mereka dan menolak keputusan yang tidak bersama mereka. Inilah "selective justice" yang diamalkan oleh pembangkang.
Saya tidak akan mencerca dan menjaja keputusan Mahkamah Tinggi seperti yang dilakukan oleh Nizar dan Ngeh dalam ceramah-ceramah mereka apabila keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan tidak menyebelahi mereka.
Saya tidak dapat membayangkan betapa rakusnya mereka apabila Nizar disahkan semula sebagai Menteri Besar. Kerakusan mereka di dalam dewan tempohari mencerminkan kerakusan yang akan dilakukan sebaik sahaja Nizar menduduki kerusi Menteri Besar.
Salam Perjuangan