SUASANA politik negara pada dasarnya masih sama seperti selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu.
Tidak cukup isu dalam Perlembagaan cuba dipersoalkan, imej institusi Raja-raja Melayu pula turut mahu dicemarkan.Sudah ada yang berani pertikaikan keputusan Sultan. Inilah dilema yang sedang dihadapi oleh institusi Raja-raja Melayu.
Jika kita mengangkat institusi Raja-raja Melayu lebih tinggi daripada politik, maka adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk menghormatinya.Jangan institusi itu dihina dan dikritik semata-mata mereka tidak boleh berdebat secara terbuka bagi memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.
Kelmarin untuk sekian kalinya, Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Raja Dr. Nazrin Shah meluahkan titah untuk menggambarkan kebimbangan baginda berdua. Jelas, selama ini institusi Raja-Raja Melayu sebenarnya tidak duduk diam. Baginda berdua dan raja-raja Melayu lain sedang memerhati dan menganalisis gelagat ahli-ahli politik tertentu dalam konteks senario politik negara.
Dalam konteks politik di Perak, tindak-tanduk ahli politik tertentu hingga ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja sudah dapat dikesan pihak Istana Iskandariah.
Jadi memang wajar Sultan Azlan Shah membidas perbuatan mereka yang diibaratkan 'menyalakan api dalam sekam' kerana tindakan itu amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.
Sesungguhnya rakyat jelata di seluruh negara ini pun sedar tentang tindak-tanduk 'matlamat menghalalkan cara' pertubuhan politik tertentu.
Rakyat sudah tentu tidak menerima sikap ahli-ahli politik yang baru dipilih menjadi wakil rakyat merasakan diri mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan.
Begitu juga dengan keangkuhan beberapa individu politik yang merasakan diri mereka memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa. Sebelum ini, budaya politik seumpama ini tidak pernah berlaku.
Sebagaimana dibimbangi oleh Istana Iskandariah, begitu juga orang awam jika perbuatan hasutan individu tertentu menyebabkan runtuhnya sistem Kerajaan Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Jangan anggapan bahawa Raja Berperlembagaan sekadar lambang tanpa sebarang kuasa. Jika runtuhnya institusi ini, belum ada jaminan bahawa kedudukan kita akan lebih baik. Apa yang mungkin terjadi ialah ia akan mencetuskan keadaan lebih tidak seimbang dan menimbulkan huru-hara.
Lihat apa yang berlaku di Thailand sekarang. Dahulu ia sebuah negara yang aman dan rajanya dihormati. Tetapi kini sudah berubah. Apa yang berlaku di sana sudah mula berputik di negara kita. Demokrasi sedang disalahgunakan oleh orang politik yang tidak ada integriti.
Masih belum terlewat untuk kita perbetulkan keadaan. Negara sedang menghadapi kemelut ekonomi, jadi kurangkanlah aktiviti-aktiviti politik yang keterlaluan.
Mari kita pulihkan ekonomi bersama-sama.