DI manakah kejujuran kaum bukan Melayu dalam perkongsian kuasa politik melalui Barisan Nasional (BN)? Keputusan pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Air telah pun diketahui tetapi ada beberapa persoalan yang harus kita kaji dan buat kesimpulan mengenainya.
Di Batang Air, BN dapat mengekalkan kerusinya dengan majoriti 1,854. Walaupun kaum Melayu hanya 1.25 peratus tetapi BN masih dapat mengekalkan kerusinya. Kesimpulannya kaum bukan Melayu masih memerlukan BN untuk membawa pembangunan di Sarawak.
Tetapi lain halnya dengan keputusan bagi kawasan Bukit Selambau dan Bukit Gantang di Semenanjung. Calon BN kalah di kedua-dua kawasan tersebut. Kaum bukan Melayu didapati tidak menyokong calon BN. Apakah sebabnya?
Di sinilah kita harus pertikaikan kejujuran kaum Cina dan India dalam BN yang dianggotai oleh MCA, Gerakan dan MIC dalam menyokong calon Barisan Nasional. Di manakah janji pemimpin mereka untuk membawa sokongan kaum mereka kepada calon BN.
Janji hanya tinggal janji dan mereka masih terus meminta itu dan ini daripada kerajaan. Akhir-akhir ini mereka sudah berani menjadi pendesak meminta kerajaan mengubah beberapa polisi yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
Setiap kali pilihan raya kecil, kita perhatikan para pemimpin UMNO berusaha mendapatkan sokongan bukan Melayu dengan memberi pelbagai imbuhan seperti sumbangan wang bagi menaik taraf sekolah jenis kebangsaan kaum masingmasing dan banyak lagi. Tetapi kesudahannya, bukan Melayu masih tetap menyokong pembangkang.
Adalah dicadangkan kepada pemimpin UMNO supaya berhenti daripada memberi 'gula-gula' atau 'projek mee segera' pada setiap kali pilihan raya kecil. Berikan sumbangan hanya setelah sokongan diberikan oleh pengundi. Sumbangan juga mesti diberi kepada kaum Melayu. Mengapa kita mesti membezakannya.
Kenapa pemimpin UMNO tidak membuat sumbangan kepada sekolah agama rakyat misalnya. Sekolah agama rakyat lebih banyak yang masih daif daripada sekolah jenis kebangsaan Cina dan India.
Tetapi pemimpin UMNO sentiasa terlepas pandang kerana mahu mengejar undi kaum bukan Melayu. Sudah menjadi sifat semula jadi orang Melayu yang tidak suka meminta-minta. Budaya ini harus berubah.
Jika kerajaan BN sekarang tidak mendapat sokongan daripada kaum bukan Melayu, dicadangkan UMNO membuat pendekatan yang berani dalam pemilihan calon untuk bertanding sesuatu kawasan jika berlaku pilihan raya kecil.
Jika kawasan majoritinya orang Melayu calonnya mestilah daripada calon UMNO. Dengan pendirian ini, diyakini UMNO akan lebih kukuh dan mendapat sokongan orang Melayu. Akan lebih banyak wakil rakyat UMNO yang boleh menganggotai barisan kepimpinan kerajaan.