LUBOK ANTU, 1 April
"Ruai", ruang istimewa yang wajib ada dalam mana-mana rumah panjang di Sarawak, mempunyai fungsi tersendiri bagi majlis khas seperti sambutan Hari Gawai, perkahwinan, tempat meraikan tetamu dan juga untuk bersantai.Terletak antara beranda dan bilik ataupun lebih dikenali sebagai pintu, keluasan ruai biasanya bergantung kepada jumlah pintu rumah panjang dan ada yang mencecah sehingga 200 meter panjang dan 20 meter lebar.
Dihiasi dengan tenunan pua kumbu, ruai juga dihampar dengan tikar rotan yang lebih dikenali sebagai tikar Sarawak. Biasanya ruai tidak mempunyai meja ataupun kerusi kerana ia juga menjadi ruang menjamu tetamu dengan duduk di atas lantai.Sejak akhir-akhir ini, ruai di beberapa rumah panjang di kawasan Batang Ai menjadi semakin meriah bukan kerana sambutan Hari Gawai tetapi kerana terdapat pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Batang Ai.
Beberapa penghuni rumah panjang berdiri di 'Ruai' untuk mendengar pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di Rumah Sandah. Ruai merupakan ruang istimewa yang wajib ada dalam seni bina rumah panjang di Sarawak yang mempunyai fungsi tersendiri dan khas untuk majlis seperti sambutan Hari Gawai, majlis perkahwinan, tempat meraikan tetamu dan juga tempat bersantai. Sejak beberapa minggu kebekalangan ini ruai-ruai rumah panjang di kawasan Batang Ai agak meriah bukan kerana sambutan keramaian Hari Gawai sebaliknya kerana kempen pilihan raya kecil DUN Batang Ai.
Pilihan raya kecil 7 April ini melibatkan calon Barisan Nasional, Malcolm Mussen Lamoh, dan lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang.Melihat kepada kempen Barisan Nasional di beberapa rumah panjang di sekitar kawasan Batang Ai, sambutan yang diberikan oleh penduduk rumah panjang sememangnya luar biasa.
Bukan sahaja tetamu kehormat daripada kalangan pemimpin dan wakil rakyat BN yang diberi layanan istimewa oleh penduduk rumah panjang, malah kakitangan kerajaan dan petugas media juga disambut mesra.Di kebanyakan rumah panjang, hampir setiap sudut ruai rumah panjang dihiasi dan digantung bendera BN.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang ketika berkempen di Rumah Panjang Dundang berkata ruai menjadi ruang istimewa kepada masyarakat Iban untuk membincangkan antara lainnya masa depan mereka dan anak cucu mereka."Kita tidak mahu ruai ini menjadi tempat untuk membawa masyarakat Iban mundur ke belakang," katanya.
Menurut Jabu, mana-mana pihak yang mahu menghasut dan memecah belah perpaduan masyarakat Iban tidak seharusnya dijemput datang ke ruai rumah panjang.
"Jika ruang tersebut dibuka kepada orang luar yang hanya tahu mengkritik kerajaan tanpa membawa apa-apa kemajuan, masyarakat Iban akan terus ketinggalan di belakang," katanya.
Pembangkang tidak ketinggalan mencuba nasib dan pengaruh mereka di ruai tetapi kurang mendapat sambutan.
Pada 22 Mac lepas ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat rumah panjang calon PKR di Sayat, beberapa penduduk dikatakan meninggalkan tempat itu kerana tidak senang dengan kehadiran beliau.
Ada juga penghuni rumah panjang dilaporkan memadamkan lampu dan menutup pintu ketika anggota PKR hendak berkempen, malah terdapat juga laporan, ada anggota PKR dihalau penduduk rumah panjang.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Dublin Unting Ingkot bulan lepas akibat serangan angin ahmar.Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi, 95 peratus daripadanya masyarakat Iban.