Sunday, April 26, 2009

Rasional BN Perlu Bertanding di DUN Penanti.


Dengan berbekalkan majoriti berganda iaitu 2,219 undi yang berpihak kepada PKR pada PRU-12, kita tidak dapat menafikan terlintas di benak hati kita ini bahawa cadangan BN untuk tidak bertanding di DUN Penanti adalah seperti tidak berani dan mengaku kalah di atas kekuatan parti pembangkang.

PRU 11 (2004)
N12: PENANTI: 14,8081.
Anuar Shaari (Keadilan) 5,5282.
Abdul Jalil Abdul Majid (BN-UMNO) 6,195
Majoriti: 667


PRU 12 (2008)
N12: PENANTI:15,4211.
MOHAMMAD FAIRUS KHAIRUDDIN 7,3462.
Abdul Jalil Abdul Majid (BN-UMNO) 5,127
Majoriti : 2,2191.


Apatah lagi DUN Penanti adalah di dalam Parlimen Permatang Pauh dan dikatakan kubu kuat parti PKR. Makanya, BN akan bakal menjadi seperti 'target practice' dan ditelan bulat-bulat oleh parti pembangkang.


2. Lebih mengecewakan lagi ialah BN telah gagal di dalam beberapa pilihanraya kecil sebelum ini dan DUN Penanti dilihat sebagai turutan kepada kekecewaan yang bakal ditanggung oleh pihak BN.

Kedua-dua perkara di atas adalah persepsi politik yang bermain di kepala kita semua. Malangnya, persepsi negatif ini sangat kuat dan nampaknya telah meresap di dalam sanubari pemimpin-pemimpin UMNO dan BN dan ianya tidak patut berlaku.

Walaubagaimana pun, penulis juga melihat bahawa perkembangan 'BN mungkin tidak turut serta di PK Penanti' sebagai sebagai pendekatan baru yang patut dilakukan sejak dulu lagi.BN perlu mencanangkan serta mewujudkan persepsi bahawa PKR amat bersalah dan begitu senang membazirkan wang rakyat.


Persepsi ini perlu diwar-warkan kerana PKR begitu mudah di'lepas'kan sebelum ini tanpa menyedarkan rakyat bahawa tindakan PKR itu adalah salah dan patut dihukum keras.Penulis bersetuju dengan approach ini. Semoga penduduk di Penanti faham dan kembali menyokong BN.Realitinya, UMNO dan BN tidak pernah lari daripada menunaikan tanggungjawabnya di dalam setiap pilihanraya.



Malangnya, alasan-alasan yang kita baca menunjukkan bahawa sesetengah pemimpin BN itu seperti mengambil ringan kepada kepentingan setiap pilihanraya kecil dan kemestian mereka untuk menjaga hati pengundi-pengundi yang telah mengundi BN sebelum ini.


Seramai 5,127 penduduk Penanti telah mengundi BN pada PRU-12 dan mungkin bagi mereka, pilihanraya kecil ini adalah peluang baru serta platfom terbaik untuk BN menawan kembali Penanti serta memilih ADUN yang lebih produktif serta dapat membawa pembangunan di Penanti.


Mungkin juga telah berlaku perubahan positif di dalam penerimaan rakyat Penanti terhadap parti BN setelah terdedah dengan permainan dan lakonan Anwar Ibrahim.


Mungkin juga berlaku pergeseran serta konflik dalaman di dalam parti PKR setelah Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga pemimpin DAP telah dilangkaui, tidak dihormati dan tidak diberitahu tentang perletakan jawatan Fairus Khairuddin.


Fairus Khairuddin sendiri tentu menanam perasaan kecewa dan sedih beliau kepada kepimpinan PKR yang beliau dakwa telah menjatuhkan kredibiliti dan maruah beliau. Beliau adalah salah satu aset yang penting untuk menerangkan perkara sebenarnya yang berlaku di dalam PKR serta sandiwara pemimpin-pemimpin PKR Pulau Pinang.


Jika BN tidak turut serta, ianya juga menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO di Penanti dan Permatang Pauh sebenarnya tidak ada kredibiliti dan seperti berlaku krisis imej di dalam parti UMNO. Mereka khuatir serta tenggelam dek nama Anwar Ibrahim dan jika ianya benar, pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO perlu berbuat sesuatu seperti menukar pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada di tempat itu.


Penulis berkeras di sini kerana sebagai pemimpin, mereka patut cuba mengurangkan andaian dan persepsi yang tidak enak bagi parti UMNO daripada terlintas di fikiran rakyat.
Dan bukan mengundang pelbagai andaian yang susah dijawab oleh 'gurkha-gurkha sukarela' seperti penulis, para bloggers yang pro-UMNO/BN, para pemerhati politik yang menyokong UMNO/BN dan ahli-ahli BN dari akar umbi apabila berdepan dengan lawan/penyokong parti pembangkang di alam siber ini dan juga di tempat masing-masing.Kesimpulannya, BN perlu turut serta di dalam pilihanraya kecil Penanti. Ya, wang rakyat akan digunakan tetapi prinsip BN sebagai pembela rakyat perlu diutamakan dan diteruskan.


Walau bagaimana pun, selepas ini sesuatu perlu dibuat agar tidak ada parti yang begitu senang memanipulasikan sistem negara sesuka hati mereka sahaja tanpa mengira impak serta wang rakyat yang bakal digunakan di setiap pilihanraya.

Penalti yang berat serta merugikan parti yang terlibat perlu difikirkan segera tanpa berlengah-lengah lagi. SPR dilaporkan telah membincangkan perkara tersebut.

Kriteria meletak jawatan perlu diperhalusi dan diperketatkan. Adalah tidak masuk akal jika seseorang ADUN itu meletakkan jawatan kerana mahu melanjutkan pelajaran beliau! Tak masuk akal langsung!

Apakah Fairus Khairuddin tidak arif di dalam sistem pelajaran negara dan tidak pernah tahu tentang program-program luar kampus atau pendidikan jarak jauh?
Dan parti BN perlu mengubah struktur serta pendekatan jentera parti di pilihanraya Penanti kelak. Kita tentu tidak dapat memaafkan kepimpinan BN jika mereka masih lagi menggunapakai kaedah lama yang terbukti tidak berkesan dan membazirkan wang.


Tidak perlu lagi projek-projek 'mee segera' di masa pilihanraya. Yang penting ialah untuk mengerah sepenuhnya jentera BN dan ahli-ahli BN setempat ke tahap maksima tanpa penglibatan yang terlalu ramai daripada orang luar.


BN juga patut memikirkan kaedah baru untuk mengurangkan peruntukan di dalam pilihanraya. Sebagai contoh, wang yang diperuntukkan untuk membiayai jentera BN dari luar sepatutnya disalurkan kepada ahli-ahli BN setempat serta membantu menjanakan ekonomi peniaga-peniaga kecil di Penanti.

Jentera BN perlu berada di dalam komuniti Penanti setiap masa sama ada semasa makan atau menunaikan ibadah 5 kali sehari. Ini yang paling penting dan akan dihargai oleh penduduk Penanti.


Konsep 'homestay' atau keluarga angkat di kawasan pilihanraya mungkin perlu difikirkan daripada menyewa hotel-hotel. Penggunaan banner dan bendera-bendera recycle daripada pilihanraya sebelum ini mungkin boleh dipraktikkan.

Apa pun, parti BN perlu bersedia dan sepatutnya sudah masak dengan sikap penduduk Penanti. BN dikatakan telah melakukan 'postmortem' pada PRU-12 dan pilihanraya Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008.

Dua kali 'postmortem' telah dilakukan dalam jarak masa yang dekat. Semestinya BN telah arif dan telah bersedia dengan penuh confident tanpa ragu dan bimbang.

Realitinya, 'postmortem' dilakukan agar BN lebih bersedia serta mampu menangani segala kesalahan, loop holes atau pun kekurangan parti sebelum ini. Dan bukannya mengambil jalan mudah dengan tidak berdepan dengan cabaran yang ada.

Kita perlu mengakui bahawa kalah dan menang adalah adat di dalam setiap pilihanraya.

(Dengan izin) "And its all about how BN can keep their head high and in dignity even if they lost the election."