Sunday, April 12, 2009

Tali penyambung antara kerajaan dan rakyat


SELEPAS meyakinkan rakyat dengan gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menterjemahkannya pula harapan perubahan itu dalam barisan Kabinet yang baru.


Senarai 28 orang Menteri dan 40 orang Timbalan Menteri seperti yang diumumkan semalam, melengkapkan agenda Najib untuk membawa negara ke arah transformasi yang lebih hebat.


Dengan enam muka baru yang dilantik serta barisan pemimpin yang kebanyakannya masih muda, Najib membawa elemen kepimpinan yang lebih segar dan fokus dalam pentadbiran negara. Ia juga selaras dengan perubahan untuk berdepan dengan cabaran yang lebih getir terutamanya dari sudut ekonomi, politik dan sosial.


Kesungguhan Najib untuk memastikan jentera kerajaan yang baru bergerak dengan sempurna dapat dilihat apabila beliau sendiri bertindak memantau secara terus prestasi setiap kementerian.


Peranan yang digalas oleh Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi itu antara lain akan menggunakan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menilai keberkesanan sesebuah kementerian.


Dengan semakan yang dibuat setiap enam bulan sekali, setiap kementerian bakal tampil dengan agenda pembangunan baru dan akan berfungsi sepanjang masa.


Indeks prestasi yang perlu disediakan oleh ahli Kabinet juga sekurang-kurangnya memperincikan dengan jelas bidang tugas masing-masing. Ia sekali gus mengelak daripada adanya jawatan dalam Kabinet yang tidak berfungsi atau sekadar 'kayu mati' semata-mata.


Pembentukan portfolio baru iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air juga merupakan langkah bersungguh-sungguh Najib membawa pembangunan negara seiring dengan kelestarian alam sekitar.


Adalah diharapkan kementerian baru ini dapat merangka dasar-dasar yang lebih terancang dalam mengurus pembangunan dan penggunaan sumber serta biodiversiti negara.


Meskipun susunan Kabinet kali ini menyaksikan rombakan pemimpin yang agak drastik, namun kuota menteri yang diperuntukkan kepada parti komponen BN tetap dipenuhi.


Atas rasa permuafakatan yang tinggi, MCA, MIC, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Gerakan mendapat tempat dalam barisan Kabinet seperti yang dipersetujui sebelum ini.


Kehadiran empat wakil MCA, tiga wakil MIC dan seorang daripada PPP adalah penting dalam menterjemahkan keseimbangan komposisi kaum.


MCA barangkali berasa sedikit kecewa apabila pertambahan wakil mereka dalam Kabinet seperti yang diminta sebelum ini tidak menjadi kenyataan. Namun MCA perlu lebih realistik dan bersifat terbuka dalam perkara ini.


Memang ada kewajarannya pertambahan wakil itu memberi lebih kekuatan untuk MCA menumpukan kepada usaha menjaga kebajikan kaum Cina.


Namun perlu diketahui rakyat hari ini tidak lagi menilai pemimpin berdasarkan kaum, sebaliknya menilai kesungguhan dan kemampuan mereka menjaga kebajikan rakyat.


Begitu juga dengan pelantikan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi.


Pelantikan Tsu Koon memberi signifikan yang besar kepada Parti Gerakan bahawa komponen itu masih lagi dihargai dan menjadi tulang belakang kepada BN.


Apatah lagi selepas ditolak oleh majoriti pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, komponen parti BN ini menggalas tanggungjawab yang besar untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat.


Pertambahan Menteri dari Sabah kepada empat orang juga melambangkan semangat perkongsian kuasa yang tinggi dalam BN.


Ia juga sebagai tanda penghargaan di atas sokongan dan kepercayaan penuh rakyat Negeri di Bawah Bayu itu terhadap kepimpinan BN.


Bagaimanapun tidak dinafikan, barisan Kabinet baru Najib juga penuh dengan unsur kejutan sekali gus tidak dapat mengelak daripada spekulasi.


Perkara ini turut disorot oleh oleh pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad.


Menurut beliau, antara yang menjadi tanda tanya ialah sejauh mana soal integriti, ketelusan dan akauntabiliti benar-benar menjadi keutamaan kerajaan.


''Begitu juga dengan persoalan adakah barisan Kabinet baru ini mencerminkan kesungguhan kerajaan mendengar suara rakyat," katanya.


Perkara ini ditimbulkan apabila terdapat ruang yang memperlihatkan Kabinet baru ini masih lagi gagal dibentuk berorientasikan rakyat. Pelantikan beberapa pemimpin yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu seperti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Awang Adek Husin dan Tsu Koon dilihat tidak selari dengan kehendak rakyat.


Tidak dinafikan ketiga-tiga pemimpin ini merupakan tokoh penting serta berkaliber dalam parti. Namun kedudukan dalam parti jauh berbeza dengan kedudukan di dalam Kabinet. Menerajui sebuah kementerian bermakna mereka mewakili rakyat kebanyakan yang melangkaui ideologi parti.


Justeru sewajarnya pemimpin yang dipilih perlu di kalangan mereka yang diterima oleh rakyat kebanyakan.


Ini kerana akan timbul persoalan mengapa Khairy Jamaludin tidak diberikan ruang yang serupa sedangkan beliau juga merupakan pemimpin sayap kanan parti.


Lebih mengejutkan Datuk Mukhriz Mahathir dan Naib Ketua Pemuda, Razali Ibrahim pula mendapat tempat dalam barisan Kabinet baru. Meskipun kedudukan Khairy sudah dapat diduga, namun di kalangan ahli UMNO terutamanya Pemuda, nasib Khairy boleh dinilai dalam interpretasi yang pelbagai dan berbeza.


Bagaimanapun, Najib pastinya mempunyai perancangan yang lebih jelas dan kukuh dalam menentukan siapakah yang difikirkan layak menggalas agenda bersama-sama beliau.


Seperti yang ditegaskan Najib, pemilihan barisan Kabinet baru ini adalah manifestasi daripada kehendak rakyat yang jelas mahukan pembaharuan serta perubahan.


Ia juga merupakan transformasi yang dimahukan oleh Najib untuk rakyat menilai kepimpinan baru beliau.


Justeru, saf baru Kabinet yang lebih dinamik dan padu ini diharapkan dapat bekerja dengan agresif dan menjadi tali penyambung yang lebih kukuh di antara kerajaan dan rakyat.