Walaupun tewas dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, jumlah 10,229 undi diperolehi calon Barisan Nasional (BN), Datuk S.Ganesan menunjukkan parti itu belum hilang sokongan dan pengundi-pengundi nampaknya masih setia dengan BN.
Dengan peratusan jumlah keluar mengundi cuma 68 peratus atau kira-kira 24,000 orang berbanding 73.7 peratus atau hampir 26,000 pengundi pada pilihanraya umum Mac tahun lalu, BN hanya kurang 634 undi. Pada pilihanraya lalu, calon BN S.Krisnan memperolehi 10,863 undi. Jika peratusan keluar mengundi sama seperti 2008 dan tidak ramai calon Bebas bertanding, Ganesan walaupun kalah tetapi mungkin dapat menambahkan undi BN.
Foktor kaum India yang masih belum mahu mengundi BN semula sekaligus dilihat sebab itu BN tidak dapat memenangi pilihanraya kecil ini. Walaupun, suada ada peningkatan undi masyarakat Cina, undi yang diberikan kepada calon Bebas turut memberi kesan kepada calon BN dan PKR, Kesemua 13 calon Bebas yang bertanding di Bukit Selambau mengumpul 1,326 undi dan hilang deposit.
Pembangkang yang menang melalui calon PKR, S.Manikumar tidak seharusnya mendabik dada mengatakan rakyat menolak BN atau kerajaan sedia ada dengan menjadikan keputusan pilihanraya kecil itu termasuk di Bukit Gantang sebagai referendum rakyat.
Benar pembangkang dapat menambah majoriti daripada 2,362 pada tahun lalu kepada 2,403 tetapi jumlah undi 12,263 menunjukkan ianya merosot berbanding 13,225 undi pada pilihanraya umum lalu. Maka adalah tidak wajar apabila Naib Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan kemenangan pembangkang sebagai referendum atau signal rakyat Kedah mahupun Perak menolak BN.
Bercakap kepada media selepas pengumuman kemenangan Manikumar di Sekolah Menengah Teknik 1, Sungai Petani, beliau mengakui peratus keluar mengundi yang lebih kecil serta hujan petang Selasa menjejaskan gambaran undi sebenar yang patut diperolehi calon BN dan PKR.
Bagaimanapun, katanya, pembangkang dapat mempertahankan kerusi itu dengan majoriti yang membanggakan tambahan pula ianya adalah pilihanraya kecil yang membolehkan jentera kempen lebih besar digerakkan. Katanya, dalam suasana hari ini dengan negara ada Perdana Menteri baru, kejayaan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang patut dilihat sebagai referendum bahawa rakyat belum bersedia menerima perubahan tersebut.
Azmin berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menunjukkan sesuatu yang lebih jelas bagi menarik perhatian rakyat kepada kerajaan baru yang diketuainya. “Beliau ada tugas cukup besar untuk yakinkan rakyat bahawa beliau benar-benar akan melakukan tranformasi dalam parti dan kerajaan.
Pengumumannya sejak dua minggu lalu mengenai transformasi belum diterima rakyat,” ujarnya. Ditanya sama ada pembangkang akan mengadakan pilihanraya kecil di DUN Penanti dan Bukit Lanjan berikutan wakil rakyat sedang berdepan isu moral dan dakwaan rasuah, Azmin berkata, “Tidak ada pilihanraya kecil di Pulau Pinang dan Selangor..jangan buat spekulasi mengenainya,”.
Turut berada di dewan ketika pengumuman keputusan pilihanraya oleh SPR ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.