PERKATAAN asal bagi 'bayangan' ialah bayang-bayang. Kalau 'bayang-bayang' ia dikaitkan dengan tubuh manusia atau satu objek akibat tindak balas cahaya namun ia tidak boleh disentuh tetapi boleh dilihat. Kalau kita menggunakan istilah 'membayangkan' pula ia berkaitan dengan fikiran.
Justeru tidak kisahlah sama ada ia bayangan, bayang-bayang atau membayangkan, ketiga-tiga perkataan ini berkait rapat dengan perkara yang bukan nyata, tidak pasti dan lebih tepat lagi hanyalah khayalan.
Dalam sebuah lagi yang didendangkan oleh Ibnor Riza terdapat lirik berbunyi, ''Kau bayang-bayang masa nan silam ada ketika terbawa-bawa oleh resah mimpi yang tak sudah."
Mungkin inilah sindrom yang dihadapi oleh pakatan pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terbaru, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan bahawa mereka akan mewujudkan Kabinet bayangan, kononnya sebagai saingan kepada Kabinet Rakyat yang ditubuhkan oleh Barisan Nasional (BN).
Bagi Anwar, beliau mahu rakyat membayangkan bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang yang akan disenaraikan dalam Kabinet bayangan berkenaan adalah Perdana Menteri (yang sudah tentu beliau sendiri), Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri.
Oleh itu, kalau rakyat berjumpa dengan mereka, rakyat mesti membayangkan bahawa Anwar dikelilingi oleh pengawal peribadi dan dilayan seperti Perdana Menteri. Begitu juga terhadap pemimpin-pemimpin yang disenaraikan.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Anwar yang terlepas jawatan Perdana Menteri apabila dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 mahu menyeret rakyat ke alam khayalannya.
Tahun lalu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Anwar telah menubuhkan Kabinet bayangan pembangkang dengan matlamat untuk membolehkan rakyat membayangkan itulah bakal pemimpin mereka jika mimpi 16 September menjadi kenyataan.
Anwar sudah berkhayal bagaimana dirinya akan dilayan sebagai Perdana Menteri dan hadir mesyuarat Kabinet dengan dihimpit oleh dua atau tiga Timbalan Perdana Menteri.
Tidak perlulah kita menyebut siapa mereka kerana kita tidak mahu terlibat dalam dunia khayalan yang dicetuskan oleh Anwar.
Sebenarnya, pembangkang bukannya tidak mengetahui bahawa bayangan, bayang-bayang atau membayangkan adalah sesuatu yang bukan realiti, sesiapa juga boleh mencipta apa juga khayalan malah penulis pun boleh membayangkan (berkhayal) untuk menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Menteri atau Menteri, tetapi persoalannya wajarkah atau lebih tepat lagi waraskah untuk kita berbuat demikian?
Orang yang suka berkhayal atau sering membayangkan sesuatu perkara yang tidak pasti sebenarnya mempunyai krisis identiti, mereka tidak akan memikirkan apa lagi asalkan hati berasa seronok kerana membayangkan sesuatu yang mengasyikkan.
Sebelum ini pun pembangkang sudah masuk dalam dunia khayalan (bayangan) apabila membentangkan bajet tandingan selepas kerajaan membentangkan realiti Bajet 2009.
Mereka menyebut soal peruntukan berbilion-bilion ringgit tetapi hakikatnya 'habuk pun tarak', ini sama seperti seseorang membayangkan apa yang akan dia lakukan jika mempunyai RM1 juta. Dia hanya boleh membayangkan tetapi realitinya tiada.
Oleh itu tidak perlulah mana-mana pihak berasa gundah gulana dengan khayalan terbaru Anwar berhubung Kabinet bayangan berkenaan.
Ini selari dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan pembangkang masuh belum berputus asas cuba memberi gambara kepada rakyat bahawa mereka sedia mengambil alih kerajaan.
''Apa yang nyatakan Kabinet BN yang dibentuk menerusi saf baru bukan merupakan barisan bayangan tetapi yang sah dan mempunyai mandat serta tanggungjawab besar terhadap rakyat," kata Muhyiddin.
Sebenarnya, Anwar dan pembangkang ingin terus berpolitik, mereka sebenarnya bimbang dengan kedudukan kerajaan sekarang yang dilihat berusaha keras untuk memperkukuhkan kembali sokongan rakyat.
Gandingan mantap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin serta pelaksanaan gagasan Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan meresahkan pembangkang terutamanya Anwar.
Justeru mereka berusaha mencipta khayalan supaya rakyat akan terseret sama untuk bermimpi bersama-sama mereka.
Oleh itu apa sahaja yang akan dilakukan kerajaan akan cuba dijejaskan dengan 'bayang-bayang' tindakan mereka.
Walaupun mereka tahu ia tidak akan menjadi kenyataan tetapi demi keseronokan untuk terus berpolitik maka ia dilakukan.
Namun begitu, rakyat sudah pasti bijak untuk menilai antara realiti dan mimpi, antara kenyataan dan khayalan.
Anwar boleh membariskan berapa banyak pun bentuk anggota kabinetnya, tetapi hakikatnya yang memerintah negara sekarang ialah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Putrajaya pusat pentadbiran negara diisi oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dari parti itu.
Berdasarkan kepada fakta ini, tidak perlulah kita melayan sangat mimpi-mimpi Anwar itu, biarlah beliau seorang sahaja dengan dibantu oleh beberapa pemimpin pembangkang terus berkhayal dengan pembentukan Kabinet mereka.
Selama ini pun mereka sudah banyak berkhayal dan ia tidak pun menjadi kenyataan, sama seperti impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008. Apa yang penting Kabinet BN mempunyai tanggungjawab berat untuk membuktikan kemampuan mereka kepada rakyat.
Sememangnya jika BN terus berusaha bersungguh-sungguh bagi memenuhi segala impian (bukan khayalan) dan kehendak rakyat, maka sudah pastilah apa yang dibayangkan oleh pembangkang tidak akan menjadi kenyataan.
Mengenai telatah pembangkang pula, biarlah rakyat sahaja menilai sikap mereka itu terutamanya gelagat Anwar kerana suatu hari nanti apabila segala yang dikhayalkan oleh beliau tidak menjadi kenyataan.
Mungkin penyokong pembangkang sendiri akan 'mendendangkan' lirik lagu Ibnor Riza yang berbunyi: ''Siapakah di antara kita dengan rela menjadi pendusta siapakah dulu membina harapan dan siapa yang memusnahkan impian tanpa sebab dan alasan kau mainkan perasaan, bagai taufan tiba-tiba datang dan menghilang."
Jika itu terjadi, maka ketika itulah barulah pembangkang memahami maksud sebenar bayangan!