Monday, April 6, 2009

Calon PKR (MoneyKumar) didakwa menipu orang

SUNGAI PETANI 6 April - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, S. Manikumar didakwa telah menipu seorang ahli parti itu melibatkan pembelian sebuah lori pikap kira-kira tiga tahun lalu.

Bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Jerai, B. Kalai Vanar mendakwa, mangsa Mohd. Rashid Hanafi, 49, kerugian kira-kira RM13,500 apabila lori pikap yang dibeli melalui Manikumar pada tahun 2006 tidak dapat digunakan sehingga sekarang kerana tidak mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).


"Lori pikap tersebut hanya tersadai di rumah mangsa kerana dipercayai lori potong dan merugikan mangsa."Apabila mangsa menuntut ganti rugi, pelbagai alasan diberikan oleh Manikumar dan sehingga kini tiada jalan penyelesaian diambil untuk meringankan beban mangsa," ujarnya ketika di temui di sini hari ini.


Menurut Kalai Vanar, mangsa telah membuat laporan polis pada tahun 2008 kerana didakwa telah diugut oleh Manikumar apabila mangsa berulang kali menuntut ganti rugi daripada Manikumar.


"Orang sebegini tidak layak untuk menjadi pemimpin bagi rakyat di kawasan ini kerana perkara sekecil ini pun dia tidak dapat selesaikan.


"Dia hanya tahu berjanji kepada mangsa untuk menyelesaikan masalah namun lori pikap tersebut tidak boleh digunakan oleh mangsa," katanya.


Dalam pada itu, mangsa , Mohd. Rashid memberitahu, dia merupakan seorang peniaga ayam di sekitar kawasan Bukit Selambau dan lori pikap yang tidak boleh digunakan itu mendatangkan kerugian kepadanya.


"Saya sudah bagi banyak peluang kepada Manikumar untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini tetapi dia tidak mengendahkannya.


"Hari ini saya telah membuat satu lagi laporan polis terhadapnya dan mahu polis segera menyiasat kes ini kerana saya tidak mahu rakyat tertipu dengan orang sebegini," jelasnya.