Tidak syak, 2008 banyak dipenuhi drama politik yang mempertontonkan babak demi babak mencemaskan.
Di peringkat awal, rakyat, selaku penonton, sering tergamam melihat pelbagai perkembangan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac. Empat hari sebelum pengundian berlangsung Suruhanjaya Pilihan Raya membuat kejutan dengan membatalkan penggunaan dakwat ke atas pengundi yang sudah dirancang sekian lama dan dengan belanja yang begitu besar untuk menyekat apa yang dipanggil pengundi hantu.
Penganalisis, pemerhati dan ahli-ahli politik meramalkan Barisan Nasional (BN) akan meraih kemenangan dengan mudah dalam pilihan raya itu, namun pengundi buat pertama kalinya menyerahkan empat lagi negeri, selain Kelantan yang sudah dikuasai lama oleh Pas kepada pembangkang yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).
Tidak cukup dengan itu, mereka menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen, pertama kali sejak negara merdeka 51 tahun lalu.
Dari sejumlah 222 kerusi Parlimen, BN meraih 140, sementara selebihnya dirampas oleh pembangkang termasuk satu kerusi oleh calon Bebas.
Ini merupakan kemenangan terbesar pernah diraih oleh pembangkang, gabungan tiga parti - Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas. Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya mempertahankan kerusi Permatang Pauh muncul wanita pertama dilantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Sambil mengukuhkan cengkaman ke atas Kelantan, Pembangkang turut merampas Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah dari tangan BN.
Dipanggil oleh pemerhati politik sebagai 'tsunami politik', pilihan raya umum 8 Mac mencetuskan rantaian reaksi sepanjang tahun, dan pada satu ketika meletakkan Malaysia dalam kumpulan negara 'tidak stabil dari segi politik'.
Sekalipun mendapat mandat memerintah negara untuk lima tahun akan datang, BN mengalami kekalahan moral yang paling teruk sementara pembangkang pastinya puas hati malah 'bergembira' dengan kemenangan mereka.
Pilihan raya itu juga menyaksikan beberapa tokoh utama BN 'ditumbangkan' oleh muka-muka baru dari pembangkang termasuk Nurul Izzah, anak perempuan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara mereka ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Pemangku Presiden Gerakan ketika itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Timbalan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ketika tokoh-tokoh dari kedua-dua pihak BN dan PR menilai perubahan nasib mereka, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendesak penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi segera meletak jawatan.
Desakan Mahathir itu bergema ke serata pelosok negara dan sejurus itu ia diekori oleh beberapa pihak termasuk dari UMNO.
Bagaimanapun, Abdullah lantas bangkit dan menggesa semua pemimpin komponen BN memperkukuh perpaduan dan belajar dari pengajaran yang ditunjukkan oleh rakyat, khususnya pengundi.
"Saya bukan seorang yang degil yang tidak mengambil pelajaran dari kehidupan sekalipun ia bersangkutan dengan karier dan kerja saya. Sebagai ketua BN, saya melihat apa yang berlaku dan kita mesti belajar dari ini,"
Beliau pernah berkata dua hari selepas pilihan raya umum berkenaan.
Ini bagaimanapun tidak melenyapkan desakan (meletak jawatan) malah ia terus kedengaran dalam beberapa bulan berikutnya.
Dan drama jauh dari berakhir kerana beberapa minggu kemudian Anwar memulakan percaturannya dan memberitahu penyokongnya bahawa pembangkang, atau kini lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat - akan menumbangkan kerajaan BN pada 16 September.
Tokoh yang petah berbicara itu bebas untuk bertanding dalam pilihan raya pada 14 April selepas diharamkan daripada menyertai politik aktif selama lima tahun berikutan sabitan rasuah, membayangkan sebilangan Ahli Parlimen BN telah pun bersetuju melompat ke PR kerana mereka kurang senang dengan kepimpinan Abdullah.
Oleh kerana suara tidak puas hati lebih lantang kedengaran daripada rakan-rakan di Sabah dan Sarawak, Ahli Parlimen BN dari Semenanjung lantas menuding jari terhadap mereka sebagai pihak yang akan meninggalkan BN.
Tuduhan itu dibuat berikutan beberapa kenyataan daripada beberapa Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka atas beberapa isu yang terbit daripada hakikat bahawa mereka menyumbangkan 40 peratus dari kerusi Parlimen BN.
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman malah membayangkan mereka tidak kisah untuk berpindah dari banglo (BN) dan tinggal di rumah teres (PR), oleh kerana mereka hanya dibenarkan tidur dekat bilik air, sekalipun terdapat banyak bilik di banglo itu.
Beliau bagaimanapun menafikan mahu melompat parti dan menyatakan beliau setakat melahirkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah kerana mereka bagai tidak dihiraukan oleh tokoh-tokoh utama BN sejak beberapa tahun.
Anwar pula menarik perhatian penonton dengan dakwaannya, satu lagi drama dipertontonkan pada Jun bila sebuah dari parti komponen BN di Sabah, mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan mahu menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Pemimpin-pemimpin Parti Maju Sabah (SAPP) yang menentang semangat BN dengan mendedahkan pekung di dada, kemudian keluar dari gabungan dan dengan itu BN kehilangan dua Ahli Parlimen — Tawau and Sepanggar dan empat kerusi negeri — Luyang, Likas, Tanjung Papat dan Elopura.
Pada Julai, Dr. Wan Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding, dengan itu menjadikan cakap-cakap politik bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 16 September lebih kelihatan berwibawa. Sambil terus menegaskan bahawa beliau mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang cukup untuk melompat parti, namun Anwar yang menghadapi satu lagi tuduhan seks luar tabii, enggan mendedahkan atau menjelaskan hal itu.
Pada 26 Ogos, Anwar meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Berikutan itu, beliau dilantik Ketua Pembangkang baru di Dewan Rakyat, sementara hitungan tarikh 16 September diikuti dengan penuh minat oleh banyak pihak, hingga menyebabkan tercetusnya keadaan tidak menentu di kalangan rakyat.
Pada 8 September, BN menghantar sekumpulan Ahli Parlimennya ke Taiwan untuk lawatan sambil belajar, tindakan yang dianggap oleh beberapa pihak sebagai percubaan terdesak oleh BN bagi menghalang tindakan melompat parti oleh kerana lebih daripada 40 Ahli Parlimen itu akan hanya pulang selepas 16 September.
Drama semakin panas bila PR melakukan tindakan susulan, menghantar beberapa wakilnya ke Taiwan sehari selepas itu dan membayangkan mereka akan meneruskan rundingan mengenai tindakan melompat itu.
Bagaimanapun, selepas begitu hebat diuar-uarkan, 16 September berlalu tanpa berlaku sebarang peristiwa yang menggegar suasana.
Di sebalik kegagalan itu, Anwar mendakwa rancangan itu terpaksa ditangguhkan beberapa hari lagi sementara menunggu respons daripada Abdullah terhadap permintaannya untuk menemui Perdana Menteri bagi 'menjamin peralihan kuasa yang lancar'.
Itu tiga bulan lalu, dan hari ini Malaysia masih di bawah kepimpinan Abdullah sementara Anwar terus membawa impian untuk menumbangkan kerajaan BN menerusi jalan belakang.