Tuesday, January 20, 2009

UMNO perlu pemimpin sejati

KEMENANGAN Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P36 Kuala Terengganu tidak bererti telah berlakunya penolakan rakyat kepada BN secara total.


Ini boleh digambarkan dengan jumlah undi yang diperoleh oleh calon BN. Perubahan pemikiran rakyat hasil usaha kerajaan BN setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan menuntut perubahan pendekatan oleh BN.


Politik pembangunan yang digunakan oleh Kerajaan BN tidak lagi menjadi satu penilaian. Rakyat yang lebih terbuka pemikiran mereka, menyedari bahawa membawa pembangunan kepada kesejahteraan rakyat adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan pun di dunia ini.


Pengundi sekarang bijak membuat penilaian sendiri. Dalam PRK P36, kekalahan BN tidak akan menjejaskan kedudukan pemerintahan BN walaupun kekurangan bilangan kerusi di Parlimen.


Bagi penyokong yang masih yakin dengan kemampuan BN untuk membawa perubahan yang lebih baik, kekalahan ini adalah sebagai isyarat bahawa perubahan selepas PRU ke-12 belum menyakinkan. Perubahan yang lebih besar perlu dilakukan oleh pucuk pimpinan BN terutamanya UMNO bagi memastikan BN kekal memerintah pada PRU ke-13 dan mengambil alih kerajaan negeri di tangan pembangkang.


Pengajaran utama melalui proses PRK P36 yang perlu difahami oleh kepimpinan UMNO adalah UMNO hanya berjaya melahirkan 'pemimpin' tetapi kehilangan pengikut.


Apa ertinya jadi 'pemimpin' sehingga sanggup membelanjakan sejumlah besar wang bagi merebut jawatan parti? Pemimpin yang dipilih melalui kaedah ini tidak mampu menjadi 'telinga dan suara' rakyat terbanyak.



Mereka sibuk melayan segelintir 'pengikut' yang melobi dan menghasut untuk kepentingan diri. Akhirnya pejuang dan penyokong setia yang terbukti telah berjuang dan mempertahan parti terpinggir tanpa dipedulikan kerana politik 'cantas' oleh mereka yang bukan 'perjuang' tetapi 'berwang'.