Begitulah tajuk yang terpampang pada blog http://duniatiger.blogspot.com seperti mana yang dipetik semalam.
Penulisnya, Ibrahim Yahya berkata, beberapa usaha terbaru Barisan Nasional (BN) dan pembangkang untuk menawan hari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu agar menyertai mereka.
Ketika ini, tulis beliau, pembangkang mempunyai 32 kerusi daripada 59 kerusi DUN termasuk ADUN Bota manakala BN pula mempunyai 27 kerusi.
“BN hanya memerlukan tiga kerusi lagi untuk membentuk kerajaan negeri dan ketika ini mereka dikatakan sudah berjaya “menawan” tiga ADUN pembangkang.
“ADUN pembangkang itu dikatakan berminat menyertai BN kerana beberapa faktor termasuk isu pemberian tanah 999 tahun kepada penduduk kampung baru,” tulis beliau.
Menurut Ibrahim lagi, BN dikatakan sedang bersiap sedia untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak itu jika apa yang dilakukan sejak sebulan lalu menjadi kenyataan.
Tunku Aisha (http://tunkuaisha.blogspot.com) turut mengupas mengenai ura-ura dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal menyertai UMNO dalam blognya.
Dalam tulisannya itu, beliau memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung dakwaan tersebut.
Dalam tulisannya itu, beliau memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung dakwaan tersebut.
Penulis ini bagaimanapun mengulas bahawa UMNO dan BN tidak sepatutnya mengikut cara yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.
“Biarkan mereka melompat. “Kita mengalu-alukan jika dua wakil rakyat PKR itu untuk keluar parti tetapi biarkan mereka bebas sehingga pilihan raya umum akan datang. Kita tidak perlu mengikut cara murahan Pakatan.”
Di sebalik polemik politik UMNO di Perak, isu cadangan memansuhkan sayap UMNO turut mendapat perhatian kalangan penulis blog.
AM Ubaidah Sanusi (http://thoughtsintangents.blogspot.com) membantah cadangan itu dan mempersoalkan adakah politik wang berpunca dari sayap parti semata-mata dan apakah jika tiada sayap, maka parti akan bebas dari politik wang?
“Siapakah yang menyuburkan politik wang? Siapakah sebenarnya yang beriya-iya menghebohkan politik wang?
“Bukankah tugas Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen dengan Lembaga Disiplin pimpinannya untuk membanteras politik wang? Maka adakah beliau melihat kebanyakan kes datang dari sayap atau dari induk parti?” tulis beliau.
Shadan Othman dalam blognya, http://anakmelakajati.blogspot.com pula mahukan agar pemimpin ahli UMNO janganlah mudah lupa jasa dan sumbangan sayap-sayap UMNO.
Katanya, jangan disebabkan UMNO dihimpit masalah kekurangan pengaruh orang Melayu, sayap-sayap ini dijadikan tempat melonggokkan kelemahan dan kesalahan parti.
“Perasaan barisan pelapis perlu dijaga. Kesetiaan mereka menyertai UMNO tidak perlu dipertikaikan. “Bagi saya, UMNO perlu berhati-hati dengan cadangan menghapuskan sayap-sayap UMNO. Kerana kita harus bimbang satu hari nanti tiada lagi golongan muda yang mendekati UMNO,” tulisnya.
Norizan Shariff pula menyokong cadangan tersebut dan mahukan UMNO turut memansuhkan Pemuda, selain Wanita dan Puteri. Tulis beliau, apabila kesemua sayap UMNO dimansuhkan beliau mencadangkan diwujudkan enam jawatan Naib Presiden UMNO termasuk kuota untuk wanita tanpa batasan umur, wanita bawah 35 tahun, pemuda bawah 40 tahun dan satu wakil Sabah.
“Alang-alang nak buat perubahan, tambah kerusi Timbalan Presiden UMNO menjadi dua. Alasannya? Supaya jawatan Presiden UMNO bukanlah jawatan yang diwarisi,” tulisnya dalam http://nobisha.blogspot.com.
Norizan menurusi blognya itu turut menggerakkan satu usaha supaya kerajaan mengambil langkah mengasingkan barangan jualan haram dan halal di pasar-pasar raya dan kedai runcit diseluruh negara.
Katanya, bagi tujuan itu gerakan yang dimulakan oleh Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia (Macom) telah melancarkan petisyen dalam talian melalui laman web http://www.petitiononline.com/macom/petition.html.
“Kita berharap dengan adanya petisyen ini, pasar raya dan kedai runcit akan mengasingkan pameran dan jualan barangan halal dan haram, sekaligus menghilangkan rasa was-was di kalangan pengguna Islam,” tulis beliau.