SAYA terpanggil meluahkan perasaan hati, apabila membaca kenyataan-kenyataan pemimpin parti pembangkang. Saya bukannya penulis yang pandai mengolah ayat-ayat yang baik kerana saya bukan orang yang bersekolah tinggi. Cuma setakat SPM Gred 3 sahaja.
Dan saya bukanlah sepandai penyokong-penyokong PR, Pas atau DAP dan saya bukanlah penyokong fanatik BN.
Tapi saya selalu bersyukur dengan kehidupan yang dilalui hari ini. Meskipun saya bukan orang senang, suami saya cuma seorang buruh ladang.
Sebagai orang susah saya bersyukur kerana mendapat bantuan kerajaan semasa mengandungkan anak-anak saya, di mana saya mendapat bantuan kerajaan membuat pemeriksaan kesihatan sepanjang sembilan bulan tanpa bayaran satu sen pun.
Jururawat yang bertugas itu pun bukan saya yang membayar gajinya, saya cuma membawa perut saya sahaja. Kemudian anak-anak saya bersekolah, anak-anak saya mendapat bantuan buku teks, makanan tambahan dan bermacam-macam lagi. Sebabnya saya bersyukur kerana saya orang susah.
Dan bagaimana pula dengan orang senang yang tidak perlu mendapat bantuan kerajaan? Bersyukur atau tidak mereka?
Cerita suami saya pula. Saya tidak perlu takut apa-apa berlaku kepada suami saya semasa ketiadaannya pergi bekerja. Saya tunggu suami saya balik kerja tanpa rasa takut, apakah suami saya dibom atau ada peluru tak bermata menembusi tubuh kurus keringnya.
Dan sekali lagi cerita tentang anak-anak kita, di mana anak-anak kita boleh bermain dengan bebas, ke sekolah tanpa rasa takut, orang-orang tua ke masjid membuat ibadat tanpa rasa gerun ditembak di tengah jalan. Dan anak-anak kita tidak ada yang terputus kaki tangan kerana dibedil.
Itu intipati cerita, yang mana kesyukuran perlu ada dalam hati kita setiap kali kita selesai solat semoga selamatkanlah tanah air kami, selamatkanlah umat Islam di muka bumiMu ini Ya Allah. Bukan untuk kita sahaja tetapi untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum baik Melayu, Cina, India atau bangsa apa saja yang menghuni tanah Malaysia ini.
Saya tidak akan sesekali ambil risiko menukar pemerintah yang ada demi memenuhi keinginan mereka untuk menjadi pemimpin nombor satu. Saya takut bermain dengan api, menjaga negara bukan seperti bermain pondok-pondok.
Hari ini cerita begini, hari esok cerita lain. Keikhlasan wajah pemimpin hari ini sudah cukup saya beri kepercayaan kepada mereka untuk mereka menjaga keharmonian negara, kestabilan ekonomi.
Hari ini cerita begini, hari esok cerita lain. Keikhlasan wajah pemimpin hari ini sudah cukup saya beri kepercayaan kepada mereka untuk mereka menjaga keharmonian negara, kestabilan ekonomi.
Setiap hari apa saja yang mereka fikirkan adalah untuk kebajikan rakyat baik dari segi keagamaan, keselamatan, kesihatan dan membasmi kemiskinan. Itu sudah cukup. Sekira mereka membohongi kita sebagai rakyat yang mempercayai mereka dosa dan neraka itu adalah pilihan mereka sendiri.
Dan saya merayu kepada pengundi Parlimen Kuala Terengganu kesilapan anda hari ini dalam memilih calon akibatnya anda sendiri yang akan tanggung.
Kerana berada dalam kepimpinan yang kita sudah tahu buruk dan baiknya adalah lebih baik dari memilih yang kita belum tentu tahu buruk dan baiknya.
Renungilah mata anak-anak kita, ibu, ayah dan pandang sekeliling betapa cantiknya negeri kita, betapa cantiknya negara kita, jangan rosakkan kecantikan yang sedia ada pada tangan yang hanya tahu berkata-kata tapi belum tentu pandai menjaganya.
Fikir-fikirkanlah... wahai pengundi Parlimen Kuala Terengganu.
KAK SAL
Kerteh