Thursday, January 29, 2009

Umno Perak perlu suntikan semangat baru


Kontroversi Adun Bota keluar parti harus dilihat sebagai wadah memperkukuh lagi perjuangan. Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, keluar Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hujung minggu lalu memang memeranjatkan. Ia mengejutkan bukan saja pemimpin parti gabungan itu di peringkat negeri dan Pusat malah juga anggota serta penyokong mereka di seluruh negara.


Sejak tumbangnya kerajaan BN di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lalu, rakyat khususnya di Perak, diberikan gambaran bahawa kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat cukup goyah dan hanya menunggu masa untuk tersungkur berikutan apa yang digembar-gemburkan sebagai keinginan beberapa Adun Pakatan Rakyat menyertai BN.


Ini mudah berlaku kerana kerajaan negeri yang dianggotai Pakatan Rakyat terdiri daripada DAP, PKR dan Pas ketika itu hanya menguasai 31 daripada 59 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sementara BN memiliki 28 kerusi.


Dengan kedudukan itu, BN cuma memerlukan dua Adun Pakatan Rakyat untuk melompat menyertainya bagi menggulingkan kerajaan sedia ada.


Malah bekas Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali pernah menjanjikan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar daripada Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin itu, akan tumbang sebelum menjelangnya fajar 31 Ogos tahun lalu. Namun apabila 31 Ogos berlalu dan tiada apa yang berlaku, Tajol Rosli senyap seketika.


Pemimpin Umno negeri yang lain juga membisu sejak itu. Dalam keadaan sedemikian, tentu rakyat umum akan terperanjat besar apabila dengan tidak semena-mena mereka disogokkan dengan berita seorang Adun BN melompat menyertai kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat, bukan sebaliknya seperti yang cuba ditonjolkan selama ini.


Dengan sendirinya berita itu dan khabar angin bahawa beberapa orang Adun BN lagi akan menuruti jejak langkah Adun berkenaan - walaupun dinafikan - sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa ada sesuatu tidak kena dalam Umno Perak.


Walau apa pun alasan atau andaian diberikan kenapa Nasaruddin meninggalkan Umno dan BN, seperkara yang tidak boleh dinafikan ialah pemimpin Umno negeri berasa benar-benar tercabar dengan perkembangan itu.


Seorang Ketua Bahagian yang dihubungi mengakui bahawa ini adalah satu tamparan yang cukup hebat untuk Umno negeri. "Kami hanya mampu berdoa semoga tiada lagi Adun yang akan meninggalkan kami," jelas beliau.


Beberapa Ketua Bahagian yang lain mengakui bahawa memang wujud rasa tidak puas hati dan kekecewaan di kalangan segelintir pemimpin Umno pada peringkat negeri. Sebahagian mereka berasa kecewa dan tidak puas hati itu, ada hubung kaitnya dengan keputusan pemilihan pemimpin parti pada peringkat bahagian yang lalu apabila mereka yang kalah terasa disisihkan oleh kepemimpinan pada peringkat negeri walaupun mereka masih menduduki kerusi DUN.


Ia sebenarnya tiada kena mengena dengan komitmen mereka terhadap falsafah perjuangan atau dasar parti. Ada juga yang mempersoalkan gaya kepemimpinan masa kini dan hala tuju parti pada masa depan.


Nasaruddin sendiri ketika mengumumkan keputusannya untuk menyertai PKR berkata: "Saya yakin PKR akan tetap menjunjung dan menghormati hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan." Berdasarkan kenyataan itu, jelas bahawa beliau tidak mengetepikan perjuangan Umno.


Cuma beliau mungkin berasakan bahawa dalam keadaan sekarang PKR lebih berkemampuan memperjuangkan matlamat yang sama berbanding Umno. Dengan kata lain, Nasaruddin mungkin beranggapan beliau hanya menukar wadah perjuangan bukan idealisme.


Anggapan demikian sebenarnya dikongsi oleh ramai lagi ahli Umno dan orang Melayu yang kecewa. Ada di antara mereka yang menyertai parti lain tetapi mengharapkan agar Umno terus berkuasa. Dari banyak segi, ini dilema dihadapi ramai ahli Umno sekarang menjelang perubahan pucuk pimpinan Mac depan.


Mereka bimbang kalau cakap-cakap mengenai penjenamaan semula Umno itu akan merombak seluruh struktur dan falsafah perjuangan parti sedangkan semua orang akur bahawa Umno itu satu jenama yang baik dan diterima umum sejak lebih 60 tahun lalu. Apa yang diperlukan hanya perubahan sikap dan budaya berpolitik serta stail kepemimpinan pada setiap peringkat.


Kalau sebelum ini, Umno dilihat sebagai terlalu eksklusif, ia kini perlu lebih akomodatif. Pemimpin yang selama ini sering 'syok sendiri' dan tidak menghiraukan masalah rakyat, kini perlu lebih kerap mendekati rakyat.



Di samping itu, anggota parti juga memerlukan suntikan semangat baru selepas semangat yang berkobar-kobar selama ini terkulai akibat pukulan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.


Seorang Timbalan Menteri yang juga Ketua Umno Bahagian di Perak berpendapat, kesedaran ke arah perubahan itu sudah lama dirasai tetapi tiada tindakan positif diambil kerana masing-masing menunggu perubahan pucuk pimpinan untuk melakukan ketakjuban. Keputusan Nasaruddin untuk meninggalkan parti, menurut beliau lagi, sedikit sebanyak mendatangkan rahmat kerana ia mencetuskan urgency atau rasa cemas untuk berubah segera di kalangan anggota dan pemimpin.



Malah di Perak, Tajol Rosli sendiri mengambil keputusan berundur sebagai Pengerusi Perhubungan untuk mengambil tanggungjawab terhadap perkembangan yang berlaku itu. Menurut laporan, tempat beliau akan diambil alih oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mulai 1 Februari ini.

Kalau ini betul, ia satu langkah yang tepat dan kena pada masanya. Umno Perak tidak perlu menunggu hingga Mac untuk mendapat kepemimpinan baru kerana mulai sekarang hingga tarikh itu, macam-macam lagi perkembangan negatif boleh berlaku. Anggota parti di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat itu memerlukan tiupan semangat baru dengan serta-merta untuk bangun semula.


Najib pasti mampu meniupkan semangat itu dengan bantuan seorang Timbalan Ketua Perhubungan yang cekap, berwibawa serta dihormati. Beliau tidak semestinya dipilih di kalangan ketua bahagian yang ada sekarang.