CADANGAN Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail untuk membubarkan Pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera UMNO dengan alasan bagi membanteras gejala politik wang telah mendapat pelbagai respons daripada para pemimpin tertinggi UMNO.
Walau apa jua cadangan dan pendapat yang diberikan di kalangan pemimpin mahupun veteran UMNO, saya percaya semuanya dibuat atas dasar sayangkan parti dan mahu melihat UMNO terus kekal sebagai parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional.
Saya bukanlah ahli UMNO tetapi merupakan seorang daripada jutaan orang Melayu di Malaysia yang peka dan sayangkan bangsa Melayu dan agama Islam.
Saya merasakan pembubaran sayap parti bukanlah langkah penyelesaian kepada masalah politik wang yang menjadi barah dalam UMNO.
Ini kerana, pokok segala persoalan ialah bagaimana UMNO boleh berhadapan dengan isu politik wang ini dan membanteras gejala ini secara habis-habisan dan besar-besaran.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ada menyatakan bahawa, matlamat utama perjuangan UMNO perlu disematkan di dalam benak sanubari setiap ahli UMNO.
Setiap pemimpin perlu kembali kepada perjuangan asal UMNO iaitu untuk membela agama Islam dan bangsa Melayu dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Beliau merupakan bekas ahli UMNO dan amat sayang kepada UMNO yang ditubuhkan oleh pejuang-pejuang kebangsaan dahulu. Tetapi menurut beliau, parti yang ada sekarang bukan UMNO dari segi semangat dan perjuangannya. Yang ada ialah parti yang utamakan kepentingan diri, terutama pemimpin-pemimpinnya.
Saya yakin dan percaya jika ahli-ahli dan para pemimpin UMNO bersedia untuk melakukan koreksi diri, mereka mampu bangun kembali dan memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan.
Terdapat suara-suara mengatakan perubahan di dalam UMNO hanya akan dilakukan selepas proses peralihan kuasa mengambil tempat pada Mac nanti.
Secara peribadi saya merasakan UMNO tidak perlu menunggu sehingga proses peralihan kuasa selesai kerana banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh dua bulan akan datang ini.
Sebagai contoh, pada hari Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Datuk Nasaruddin Hashim telah mengumumkan keluar parti. Perkara ini sememangnya sesuatu yang tidak dijangkakan dan merugikan UMNO dan Barisan Nasional sendiri.
Para pemikir UMNO perlu segera tampil dengan satu formula berkesan bagi memastikan UMNO terus relevan dan mampu mendapat tempat di kalangan golongan muda yang sekarang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat.
UMNO perlu mengambil langkah untuk mendekati masyarakat dan memahami masalah yang dihadapi. Para pemimpin UMNO tidak lagi boleh bersikap selesa dan berada di dalam 'zon eksklusif' kerana jika para pemimpin UMNO terus bersikap sedemikian, tidak mustahil UMNO akan terus dibenci dan terus dilupakan oleh orang Melayu terutamanya golongan muda