BIARPUN beberapa orang pemimpinnya telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun pemimpin tertingginya yang lain masih belum serik memanipulasi pelbagai tuduhan tidak berasas kepada kerajaan.
Terkini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam dalam satu kenyataan kelmarin membidas tindakan Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorty yang menyebarkan fitnah bahawa kerajaan Malaysia telah bertindak zalim terhadap masyarakat India dan merobohkan kuil-kuil Hindu.
Tanpa mempedulikan benar atau tidak, pada masa yang sama beliau turut menyeru kerajaan India mengadakan sekatan perdagangan terhadap Malaysia dan menghentikan segala projek yang diberikan kepada syarikat di negara ini.
Nampaknya sekali lagi Hindraf cuba bermain api dengan berusaha mencetuskan kembali isu perkauman.
Selepas berlakunya dua perhimpunan haram pada 2007, banyak pihak mula menyuarakan rasa gusar dan bimbang dengan perkembangan dalam negara.
Hindraf telah menjadikan perhimpunan haram sebagai satu trend untuk meluahkan rasa marah dan ketidakpuasan hati mereka terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.
Hindraf telah menjadikan perhimpunan haram sebagai satu trend untuk meluahkan rasa marah dan ketidakpuasan hati mereka terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.
Sekian lama Malaysia dikenali sebagai sebuah negara demokrasi yang sentiasa mementingkan keamanan dan kemakmuran rakyatnya, dengan adanya fitnah sebegini sedikit sebanyak boleh mencalar hubungan antara etnik yang ada di negara ini.
Selama ini juga keharmonian dan hubungan erat antara kaum tidak pernah tergugat walaupun ada asakan pihak-pihak luar yang tidak senang dengan kemakmuran yang kita pelihara. Rakyat Malaysia tetap bersatu kerana dengan perpaduan sahajalah kita mampu bangkit menjana kekuatan dan pembangunan negara secara berterusan.
Hindraf tidak sepatutnya bertindak untuk menjadi jaguh kaum India. Walaupun India adalah antara kaum minoriti di negara ini, namun mereka tidak pernah disisih daripada menikmati apa jua tempias pembangunan negara dalam pelbagai aspek.
Jika bersebabkan kaum India yang agak ketinggalan dalam aspek ekonomi, maka amat tidak wajar Hindraf mengangkat isu keagamaan seperti arahan merobohkan kuil-kuil hindu sebagai alasan kerana ia hanya akan membangkitkan kemarahan kaum India kepada kerajaan.
Kepada Hindraf, ingatlah bahawa negara yang kuat dan utuh adalah negara yang mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama-sama membangunkan bangsa dan negara.
Warganegara yang bersatu dan sentiasa mementingkan perpaduan sukar digugat dan sama sesekali tidak akan gentar dengan pelbagai ancaman atau ugutan pihak musuh.
Bagi mencapai status negara kuat dan utuh ini, tidak ada kaedah lain yang perlu dilakukan kecuali dengan bersatu.
Fitnah dan syak wasangka hanya akan mengundang perpecahan, persengketaan, pergaduhan dan pertelingkahan dan membawa kepada kehancuran. Bukan saja kepada negara itu, malah seluruh rakyat dan bangsanya.
Perpecahan hanya akan memberi peluang dan ruang kepada musuh untuk melaga-laga dan menghancurkan bangsa sesebuah negara itu.
Musuh tidak mengintai kelemahan sesebuah negara berdasarkan sudut tertentu saja, tetapi dalam banyak lagi elemen lain yang dikira boleh menguntungkan mereka.
Justeru, dalam konteks negara kita, seluruh penduduk berbilang bangsa dan agama perlu bergandingan bagi mengukuhkan perpaduan dalam semua aspek kehidupan sama ada dalam kesamarataan memiliki ekonomi, politik, budaya dan sosial.
Biarpun mutakhir ini wujud suasana kurang selesa khususnya aspek persefahaman, namun perpaduan tidak pernah rapuh walaupun sudah ada unsur dan pengaruh yang cuba membangkitkan isu perkauman yang boleh membawa perpecahan.
Justeru, bertindaklah melalui saluran yang betul atas apa jua isu amat perlu bagi mencari penyelesaian terbaik. Ini kerana hanya dengan mengekalkan persefahaman sahaja perpaduan sebenar akan mampu dijelmakan.