Wednesday, January 28, 2009

Perubahan. UMNO jangan malu terima kritikan

Berubah! berubah! berubah! Penjamaan semula! UMNO perlu tarik minat pengundi muda...itulah yang acapkali dilaungkan oleh pemimpin UMNO. Tetapi sekadar berkokok megah, tanpa jalankerja menuju ke matlamat itu! Sekarang tengah sibuk melobi untuk jawatan. Iyer laa...Perhimpunan Agung pun lagi 2 bulan...

Adakah para pemimpin UMNO di peringkat Bahagian dan cawangan sedang duduk selesa di kerusi empuk tanpa memikirkan warisan Melayu dipertahankan? Tidak cukup kah lagi agenda-agenda peribadi? Tidak cukupkah lagi harta rakyat disedut? Tidak cukupkah lagi kekayaan hendak dibawa ke kubur? Tidak cukupkah lagi pangkat?

Apa ertinya jadi 'pemimpin' sehingga sanggup membelanjakan sejumlah besar wang bagi merebut jawatan parti? Pemimpin yang dipilih melalui kaedah ini tidak mampu menjadi 'telinga dan suara' rakyat terbanyak. Mereka sibuk melayan segelintir 'pengikut' yang melobi dan menghasut untuk kepentingan diri. Akhirnya pejuang dan penyokong setia yang terbukti telah berjuang dan mempertahan parti terpinggir tanpa dipedulikan kerana politik 'cantas' oleh mereka yang bukan 'perjuang' tetapi 'berwang'. Pemimpin HAPRAK bak kata Tun Mahathir. Itulah hakikatnya. Biar pun pedih dan pahit, namun telanlah hakikatnya.

Perlu diingat di dalam zaman Internet ini, seseorang pemimpin itu tidak lagi mampu menutup kelemahan politiknya kepada umum. Politik era merdeka dah tak laku di zaman sekarang ini!!! Dah muflis.


SAYA berharap semua pandangan dan kritikan pembaca terhadap BN, khususnya UMNO patut dilihat secara positif bagi memulihkan kembali parti itu.Pedas tetapi benar. Pahit tetapi ikhlas.

Saya juga sayangkan parti berjasa ini. Kita faham, kemarahan orang ramai bukan terhadap institusi yang bernama UMNO, tetapi terhadap watak-watak kepimpinan di dalamnya.


Tentu ramai pemimpin UMNO yang terasa teguran sedemikian, itu pun kalau mereka membaca artikel ini.


Daripada 900 aduan yang diterima oleh Lembaga Disiplin Parti, hanya baru beberapa kerat pemimpin dan ahli yang diseret ke mahkamah kerana rasuah.
Izinkan saya menambah lagi alasan-alasan nyata terhadap UMNO. Sejenak untuk berfikir dan tidak malu untuk menerima kenyataan-kenyataan berikut:



  1. Pemimpin yang sudah lali mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa masih bertakhta di pelbagai peringkat. Menggunakan wang bagi menjual dan membeli undi untuk kepentingan peribadi.

  2. Menonjolkan kemewahan dalam masa singkat yang sebelumnya tidak sehebat mana.

  3. Langsung tidak memahami visi dan misi parti dengan jelas untuk merancang secara aktif, kreatif dan sistematik dalam semua gerakan parti.
  4. Mementingkan kroni dan mengamalkan nepotisme berterusan tanpa melihat sekeliling dalam sebarang agihan projek mahu pun tender-tender.

  5. Pemimpin yang ditunjuk dari atas, bukan kehendak rakyat atau grass root. Lebih ramai yang menyebut 'pemimpin mi segera' sekarang.

  6. Menolak pandangan agensi- agensi rasmi kerajaan yang dilantik. Mereka ini lebih tahu dan faham apa yang bergolak di bawah.

  7. Memberi perkhidmatan yang terlalu minimum kerana sudah merasa lebih selesa mewakilkan kepada orang-orang suruhan yang dibayar.

  8. Keceluparan hujah semasa berkempen atau berucap mahupun membuat kenyataan-kenyataan di akhbar-akhbar tempatan.

  9. Menabur fitnah, adu domba, memburuk-buruk dan cantas mencantas sesama ahli parti yang tidak sehaluan dan sepandangan dengan nilai perjuangan.

  10. Pemimpin yang membenar dan mengamalkan sistem rakit dalam pemilihan khususnya di peringkat bahagian bagi mengelakkan orang- orangnya tewas dalam barisan kepimpinan.


Masa masih terluang, UMNO perlu drastik melakukan perubahan dan pendekatan terbaik. Kesedaran terhadap menyambung perjuangan orang-orang terdahulu patut disampaikan kepada generasi muda UMNO. Jika tidak mahu berubah politik dan zon selesa anda, padahlah anda pada PR ke 13 nanti. Berkuburlah anda!


Seperti yang pernah disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, kuliah sejarah perjuangan bangsa perlu diterapkan dalam kerja-kerja dan program parti.