Thursday, January 1, 2009

Kekalutan pembangkang


DALAM pilihan raya umum ke-12 yang lalu, gabungan parti pembangkang berjaya menguasai negeri Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.


Bagaimanapun, fokus utama polemik pembangkang tahun ini ialah apabila impian Penasihat Parti Keadilan (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri gagal selepas mendakwa barisan pembangkang akan membentuk kerajaan baru pada 16 September.


9 Mac – Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang kesembilan di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Wisma Darul Aman.


11 Mac – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara.


12 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kawasan Pasir Panjang, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat perkenan istana sebagai Menteri Besar yang baru dalam kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Perak diarahkan memulaukan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sebagai membantah pelantikan wakil rakyat Pas sebagai Menteri Besar negeri itu.



Angkat sumpah
13 Mac – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim angkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
– Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menitahkan semua 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang menandatangani surat persetujuan pembentukan kerajaan campuran di negeri itu.
Semua ADUN Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diarahkan menandatangani surat yang sama bagi persetujuan pelantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas sebagai Menteri Besar Perak.


19 Mac – Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.


1 April – Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bersetuju guna perkataan ‘Pakatan Rakyat’ bagi menggambarkan kerjasama tiga parti itu.


18 Mei – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nafi desas-desus menyatakan beliau akan meletak jawatan.


6 Julai – ‘Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun’ anjuran pakatan pembangkang mencetuskan insiden memalukan apabila penyanyi kumpulan Caburetor Dungber, Alak melondehkan seluar.


27 Julai – DAP meminta Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan Pas kerana berunding dengan UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN).


28 Julai – Pas memberi amaran kepada DAP supaya tidak mencampuri urusan parti itu dan menegaskan ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingini termasuk UMNO.


31 Julai – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail letak jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta-merta.


20 Ogos – Dua Exco kerajaan negeri Perak, Kapten (B) Mohd . Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd . Radzi bersama empat orang lagi ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang lebih RM100,000 dan seks bagi mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.


26 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan PKR di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu.


23 April – Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pakatan pembangkang akan menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2008.


10 Sept. – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali meramalkan penubuhan kerajaan baru oleh pakatan pembangkang tidak mungkin berlaku.
Anwar dan isu liwat.


28 Jun – Pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan buat laporan polis di Balai Polis Traves, Kuala Lumpur mendakwa diliwat oleh Anwar.


16 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis untuk disiasat atas dakwaan meliwat bekas pembantunya.


7 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jun lalu.


15 Ogos – Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan bagi membuktikan kebenaran dakwaan diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.