Saturday, January 3, 2009

Jangan lihat dari sudut sempit

Pada bulan Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (http://www.parlimen.gov.my/billindex/pdf/DR212008.pdf)
dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) (http://www.parlimen.gov.my/billindex/pdf/DR272008.pdf) di Dewan Rakyat. Asas serta matlamat kedua-dua rang undang-undang itu amat jelas - menjadikan proses memerangi rasuah di negara ini cekap dan berkesan manakala prosedur pelantikan hakim pula dapat dilaksanakan dengan ketelusan serta akauntabiliti menjadi asas utamanya.

Sememangnya dunia penguatkuasaan undang-undang pencegahan rasuah amat rencam dan sarat dengan cabaran apatah lagi bacaan Indeks Persepsi Rasuah negara ini merosot dari tahun ke tahun sehingga menuntut pembaharuan segera dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih parah.



Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak henti-henti menjadi sasaran pelbagai pihak terutama pembangkang yang melabelkan badan itu sebagai tidak cekap menghidu penyelewengan. Kata mereka, jika pun BPR cekap mengesan kes-kes rasuah, akan ada pula campur tangan di pihak Pejabat Peguam Negara menyebabkan ia tidak boleh dibawa ke mahkamah.



Perihal pelantikan hakim begitu juga. Keterbatasan pihak yang memilih nama hakim untuk dicalonkan bagi jawatan mahkamah atasan membuka ruang kepada masyarakat dan pihak yang berkenaan untuk 'berteka- teki' dan menjawab sendiri persoalan yang timbul menggunakan andaian masing-masing. Apatah lagi apabila hanya satu nama sahaja yang dicalonkan tentunya ada ruang untuk berlaku sifat pilih kasih serta hakim yang terpilih berkemungkinan besar tidak menepati kriteria untuk diletak di tempat yang penting, lantas setiap penghakiman yang diputuskan diragui serta tidak dihormati.



Keadaan ini boleh mencemar institusi kehakiman dan merosakkan imej hakim yang sepatutnya mesti terdiri daripada mereka yang berintegriti, berwibawa, bijak, cemerlang akal serta tinggi moralnya.



Menyedari kelemahan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang anti rasuah dan betapa perlunya imej badan kehakiman dipulihkan, maka kedua-dua rang undang- undang itu dibentangkan untuk dibahas oleh ahli-ahli Parlimen.

Maklum balas awal mendapati biar pun ada pihak yang mengalu-alukan kedua-dua rang undang-undang itu, namun suara yang menuntut supaya kegiatan pencegahan rasuah dilaksanakan secara berkesan serta pelantikan hakim dilakukan dengan telus bertindak memukul canang kononnya inisiatif terbaru kerajaan itu hanya bersifat kosmetik.

Perkataan Peguam Negara dalam rang undang-undang SPRM dan istilah Perdana Menteri yang muncul bersama rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan kehakiman dijadikan isu utama tanpa merujuk secara terperinci apa sebenarnya kaitan kedua-duanya dengan matlamat kerajaan.

Perdana Menteri juga dikatakan masih mempunyai 'suara' untuk menentukan rentak serta fungsi SPRM menerusi individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Pihak yang melemparkan tuduhan seumpama itu tidak sedar bahawa untuk pertama kali dalam sejarah Malaysia, individu, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli-ahli Parlimen diberi peranan di dalam SPRM iaitu masing-masing menerusi Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa Khas.

Buat pertama kalinya juga laporan tahunan badan pencegahan anti rasuah dibentangkan di Parlimen bersama dengan laporan Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa Khas untuk ditatap dan diteliti oleh semua pihak. Bukan itu sahaja, ahli-ahli Parlimen boleh mengemukakan sebarang pertanyaan jika timbul persoalan berhubung ketiga-tiga laporan itu.

Digembar-gemburkan
Amat menghairankan kerana perubahan itu digembar-gemburkan sebagai kosmetik sedangkan di pihak kerajaan ia merupakan langkah konkrit untuk memastikan badan pencegahan anti-rasuah mempunyai lebih kuasa, telus dan boleh dipertanggungjawabkan. Malah Panel Kajian Semula Operasi yang dianggotai oleh golongan profesional lanjutan daripada SPRM juga berupaya mengkaji perjalanan SPRM dan mencadangkan penambahbaikan.

Lebih penting lagi perjalanan SPRM akan menjadi lebih telus dan terbuka untuk diawasi oleh pihak yang berkenaan untuk membendung sebarang penyalahgunaan kuasa atau pengaruh keterlaluan oleh pihak Eksekutif.

Golongan yang tidak puas hati terhadap rang undang-undang SPRM bukan calang- calang orang. Mereka kebanyakannya adalah cerdik pandai undang-undang yang mewakili badan ternama di negara ini. Di sebalik kecerdikan itu timbul persoalan yang jawapannya terbentang luas di dalam rang undang-undang itu antaranya dakwaan bahawa Peguam Negara masih mempunyai kuasa untuk mendakwa kes dan SPRM tidak mempunyai kuasa pendakwaan.

Seksyen 58 SPRM menyatakan dengan jelas bahawa pendakwaan kes di bawah Akta SPRM tidak boleh dijalankan kecuali dengan persetujuan pihak pendakwa raya. Ini sejajar dengan Perkara 145 Perlembagaan. Bagaimanapun awal tahun ini, kuasa Peguam Negara untuk mendakwa kes di mahkamah telah diturunkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang dipinjamkan ke BPR.

Seksyen 5(6) rang undang-undang SPRM turut memberi kuasa Timbalan Pendakwa Raya. Ini bermakna dari segi amalannya SPRM tidak perlu merujuk kepada Peguam Negara atau memohon kebenaran untuk mendakwa. Keputusan untuk mendakwa dibuat di peringkat SPRM oleh DPP atau Ketua Suruhanjaya SPRM.

Begitu juga dengan persoalan jika SPRM boleh mendakwa kes tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara mengapa perlu diwujudkan Seksyen 58 rang undang-undang berkenaan. Dari sudut undang-undang adalah amat penting untuk menyediakan pelindungan terhadap penyalahgunaan dan mengekalkan pengasingan kuasa. Jika kuasa untuk menyiasat dan mendakwa hanya ditumpukan kepada satu entiti iaitu SPRM, tidak mustahil ia boleh membawa kepada keadaan penyalahgunaan kuasa.

Malah Suruhanjaya Bebas Membanteras Rasuah/Independent Commission Against Corruption (ICAC) di Hong Kong dengan bangganya mengisytiharkan salah satu daripada proses 'semak dan imbangnya' ialah kuasa untuk membuat pendakwaan yang terpisah daripada entiti tersebut.

Ketiadaan langsung peranan Peguam Negara dalam proses 'semak dan imbang' ini akan mendedahkan kemungkinan kes tidak sempurna juga dibawa ke mahkamah sehingga mengakibatkan pembaziran wang rakyat.

Suara-suara yang tidak berpuas hati juga menyentuh tentang kewujudan lima badan bebas iaitu Lembaga Penasihat Anti-Rasuah, Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Kajian Semula dan Panel Konsultatif dan Pencegahan Rasuah yang akan menambah birokrasi. Selain itu mereka mendakwa terlalu banyak jawatankuasa akan merumitkan keadaan dan terpaksa menanggung bebas yang besar.

Sedangkan jika diteliti peruntukan rang undang-undang SPRM, setiap badan hakikatnya mempunyai matlamat masing-masing dan melaksanakan fungsi-fungsi spesifik seperti yang diperjelaskan di dalam Seksyen 13, 14 dan 15 SPRM. Pembentukan badan- badan ini tidak seharusnya dilihat sebagai menambah kerenah birokrasi sebaliknya ia adalah mekanisme bertujuan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti SPRM.

Mekanisme 'semak dan imbang' adalah berasaskan model ICAC Hong Kong yang diiktiraf sebagai salah satu agensi pencegahan rasuah yang cekap dan berkesan di dunia. Jumlah keanggotaan tidak sepatutnya menjadi tumpuan sebaliknya fungsi pelbagai jawatankuasa adalah untuk mengukuhkan keupayaan SPRM bagi memenuhi matlamat memerangi rasuah.

Terdapat juga dakwaan kononnya masa yang diperuntukkan untuk membahaskan rang undang-undang SPRM tidak mencukupi. Ini adalah masalah yang paling kerap dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen terutamanya pembangkang. Hakikatnya jika setiap anggota Parlimen mengehadkan perbahasan kepada isu-isu penting dan berkaitan dengan rang undang-undang tidak akan timbul masalah tersebut.
Ini tidak, ada kalangan ahli Parlimen yang meleret-leret dan menggunakan peluang berbahas untuk kepentingan agenda politik masing-masing sambil tidak kurang juga hanya beretorik kosong.

Tidak kurang juga yang mendakwa penggubalan rang undang-undang SPRM dilakukan secara tergesa-gesa tanpa merujuk pandangan orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan. Perlu ditegaskan bahawa cadangan menstruktur semula BPR menjadi sebuah suruhanjaya telah dikemukakan kepada Perdana Menteri oleh BPR sendiri awal tahun ini. Proses untuk melengkapkan rang undang-undang itu telah bermula sejak daripada tarikh tersebut. Secara asasnya adalah penting untuk merujuk kepada pihak yang berkepentingan, pakar dan pengamal dalam bidang yang berkaitan serta tidak semestinya orang awam untuk menggubal undang-undang tersebut.

Bagi menggubal struktur SPRM yang berkesan, BPR telah merujuk dan beruding dengan ICAC Hong Kong dan New South Wales (diiktiraf sebagai agensi pencegah rasuah yang terbaik di dunia) dan juga Transparency International Malaysia.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) turut mengundang rasa tidak puas hati yang mengheret pelbagai persoalan ditimbulkan antara lain seperti apa akan jadi kepada pertemuan tujuh orang pesuruhjaya Suruhanjaya terutamanya dalam soal menentukan jawatan tertinggi iaitu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan jika ada antara pesuruhjaya turut dinamakan sebagai calon. Semestinya mereka tidak boleh terlibat dalam proses pemilihan.

Pengenalan
Senario itu telah pun diberi perhatian semasa proses penggubalan rang undang-undang SPK yang membawa kepada pengenalan Seksyen 13(5) yang memperuntukkan bahawa jika tujuh anggota tidak dapat hadir kerana ada kalangan mereka yang tidak layak (misalnya kerana dicalonkan), maka korum hendaklah tidak kurang daripada lima orang.

Mesyuarat pemilihan nama-nama bagi jawatan Ketua Hakim Negara akan terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Persekutuan dan empat individu terkemuka.

Individu yang dinamakan mesti mempunyai kriteria antara lain berinteringeriti, berpengalaman, mempunyai karakter moral yang mulia, mampu membuat penghakiman tepat pada masanya, berupaya menguruskan sesuatu kes dengan baik dan juga sihat mental dan fizikal. Matlamat sebenar rang undang- undang ini ialah untuk membolehkan anggota suruhanjaya yang semestinya terkemuka dan mempunyai tahap kecerdikan yang tinggi membuat keputusan berasaskan kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Tokoh-tokoh yang bakal menganggotai Suruhanjaya mesti dilantik oleh Perdana Menteri bagi mengelak percanggahan dengan Perlembagaan yang memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Perdana Menteri bagi cadangan-cadangan kehakiman kepada Majlis Raja-Raja. Bagaimanapun dalam hal pelantikan tokoh-tokoh terkemuka, Majlis Peguam serta pelbagai pihak yang berkaitan mesti dirujuk seperti peruntukan Seksyen 5(1). Tidak timbul soal kuasa Perdana Menteri yang keterlaluan di dalam Suruhanjaya malah rujukan kepada pihak yang berkenaan bertujuan memastikan hanya tokoh-tokoh yang layak dan dihormati dipilih supaya kredibiliti SPK tidak dipersoalkan.

Rang Undang-Undang SPK ini secara tersurat menyebut tentang perlunya Perdana Menteri menjaga kebebasan kehakiman selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Soal ketelusan dan kebertanggungjawaban Suruhanjaya tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja oleh pihak-pihak tertentu kerana pemilihan calon bagi jawatan hakim kanan mesti mematuhi syarat yang telah ditetapkan. Lebih daripada itu Suruhanjaya mesti menghantar laporan tahunan kepada Parlimen menolak tepi kegersangan aspek ketelusan di dalam Suruhanjaya.

Apa pun setiap usaha serta cadangan kerajaan akan dilihat bertujuan menghalalkan dan memasukkan kuasa Eksekutif di dalam proses pelantikan kehakiman. Sedangkan hakikatnya SPK digubal untuk membolehkan lebih banyak unsur ketelusan dan memastikan struktur pelantikan kehakiman melibatkan lebih banyak pihak.

Begitu juga dengan dakwaan Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo bahawa Perdana Menteri tidak boleh diberi kuasa untuk memilih hanya hakim-hakim yang disenanginya.

Hakikatnya Perdana Menteri tidak mempunyai hak untuk memilih hakim-hakim yang disenanginya. Tugas Perdana Menteri adalah mencadangkan pelantikan kehakiman kepada Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua rang undang-undang itu tidak harus dilihat dari sudut yang sempit, malah adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen membahaskannya secara bersungguh-sungguh. Jika ada cadangan yang bernas maka bentangkanlah dengan niat suci kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah pembuka laluan yang lebih luas untuk kita membersihkan negara daripada amalan rasuah serta memulihkan imej badan kehakiman negara.