Wednesday, January 7, 2009

Perak lingkup Yop....

Makin banyak kekalutan melanda beberapa negeri pimpinan pakatan pembangkang antaranya di Perak. Kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Mohamad Nizar Jamaluddin terus dikecam banyak pihak kerana satu demi satu keputusan yang mencetuskan kemarahahan.


Yang paling panas ialah isu pemberian tanah hak milik kekal kepada penduduk kampung baru yang telah dimulakan minggu ini.Tindakan tersebut bercanggah dengan arahan kerajaan pusat yang mahu proses pemberian itu ditangguhkan kerana ia adalah di bawah kuasa Majlis Tanah Negara (MTN) .



Yang menjadi persoalan mengapa keistimewaan diberikan kepada penduduk kampung baru yang didiami oleh rata-rata kaum Cina? Malah sekolah swasta Cina turut diberikan tanah yang luas kononnya untuk membantu mengumpul dana.



Kenapa status yang sama tidak diberikan kepada penduduk kampung-kampung tradisional dan rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) seperti yang dibangkitkan oleh ADUN Pangkor, Dr. Zambry Abdul Kadir?



Sekolah agama termasuk milik persendirian yang daif, tidak pula diberi perhatian istimewa.



Persoalannya di mana keadilan dan apa kebijaksanaannya?



Ternyata Nizar menggunakan politik tanah untuk meraih sokongan bukan Melayu. Tidak sampai setahun memerintah, beliau telah menyerahkan terlalu banyak tanah kerajaan, yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara.



Desas-desus politik di Perak mengisahkan Nizar mudah mengikut telunjuk parti sekutu pembangkang terutama DAP. Dengan kata lain, beliau tidak mempunyai keberanian politik. Sama ada ia benar atau tidak, Awang tidak pasti tetapi berdasarkan perkembangan semasa, ada asas untuk mempercayainya.



Berdasarkan maklum balas, ramai orang Perak yang kecewa dan marah terhadap beliau. Malah Awang kerap menerima SMS daripada beberapa kenalan di Perak yang merintih atas apa yang berlaku. Salah satu SMS dari seorang bekas tentera berbunyi ‘‘Perak lingkup Yop, banyak tanah sudah tergadai.”



Golongan yang sepatutnya mendapat tanah terutama bekas tentera dan polis sebagaimana tradisi ketika era kepimpinan BN di Perak, sudah tidak lagi mendapat keistimewaan itu. Apakah jasa dan pengorbanan bekas tentera dan polis tidak dekat di hati Nizar atau beliau tidak memberi perhatian sedemikian kerana tiada telunjuk DAP?