Monday, January 12, 2009

Kebencian di Palestin dan Kasih Sayang di Kuala Terengganu


1. Konflik Israel-Palestin bermula pada 1948 nampaknya tiada jalan penghujung. Selagi tiada campur tangan kuasa besar Amerika Syarikatdan negara-negara Arab untuk menyelesaikan situasi ini yang memuaskan hati semua pihak terbabit, selagi itulah kita melihat kerakusan merebut kuasa memangsakan orang Palestin yang tidak bersalah dan sekadar mahu hidup aman atas muka bumi ini.



2. Kita memang berasa sedih dan mencari pelbagai jalan untuk mengenakan tekanan kepada Israel dan Amerika. Namun pada akhirnya negara kecil seperti Malaysia hanya mampu memberi pandangan, berdemontrasi, memboikot barangan dan memberi bantuan kewangan.



3. Untuk menyelesaikan masalah ini ia memerlukan lebih daripada itu. Ia memerlukan komitmen dan kesungguhan negara-negara arab yang menguasai petroleum dunia mengenakan tekanan serius kepada Amerika dan kuasa dunia lain untuk mencari jalan penyelesaian serius.


4. Pada hemat saya kuasa-kuasa besar dunia dan negara-negara Arab harus duduk semeja mencari jalan menyelesaikan isu ini yang antara lain perlu membuat keputusan sama ada:a. Membahagikan dua negara - Palestin dan Israel- mengikut keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu suatu ketika dahulu atau;b. mewujudkan sebuah negara yang berbilang kaum dengan Perlembagaan yang adil kepada semua pihak.


5. Yang tampak rasional dan dapat diterima ramai ketika ini ialah mewujudkan dua buah negara berasingan.



6. Setelah keputusan dibuat dengan persetujuan rakyat Palestin, Amerika Syarikat dan Britain sebagai antara negara yang bertanggungjawab mewujudkan konflik ini harus mengambil risiko dan tanggungjawab memastikan kedua-dua pihak mematuhi ketetapan ini.



7. Konfik ini tidak mungkin selesai kecuali pihak ketiga yakni kuasa besar dunia mengambil inisiatif melakukan campur tangan secara ketenteraan bagi memisahkan kedua-dua pihak berdasarkan sempadan yang telah diputuskan sebelum ini. Apakah Amerika terutamanya Barack Obama, yang akan mengangkat sumpah pada 20 januari nanti, berani mengambil jalan berisiko ini untuk mewujudkan satu keamanan di Baitulmaqdis.



8. Ketika konflik Israel-Palestin sedang memuncak kita juga sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu. Dan sungguh menyedihkan apabila ada pemimpin parti lawan sanggup mengambil kesempatan atas emosi orang Islam untuk menyamakan UMNO dengan Israel.



9. Datuk Seri Anwar Ibrahim menyamakan UMNO dengan Israel. Saya fikir siapa pun yang waras tidak akan menerima kenyataan seperti itu. Malangnya bagi para penyokong parti lawan mereka menerima bulat-bulat kenyataan seperti itu. Malah khabarya kenyataan seperti itu turut diiringi dengan laungan takbir. Saya berharap janganlah kerana hasutan-hasutan seperti ini maka akhirnya kita juga menjadi seperti rakyat Palestin yang terbahagi kepada Hamas dan Fatah.



10. Kuala Terengganu juga memberi saya satu lagi perspektif baru erti kasih sayang. Palestin dan Israel telah lama kehilangan kasih sayang sesama manusia. Pas dan UMNO juga sekali sekala sudah melupakan ikatan persaudaraan sesama bangsa dan agama. Namun dicelah-celah Kuala Terengganu saya menemui banyak kasih sayang yang masih subur.



11. Saya bertemu dengan sepasang suami isteri yang telah tua tetapi masih setia bersama. Si suami yang telah berusia hampir 70 tahun masih menjaga isterinya yang hampir seusia tetapi lumpuh sebelah badan. Suaminya masih setia membersihkan isterinya dan menyediakan makanan setiap hari tanpa merungut atau mempamerkan sebarang kesedihan.



12. Saya juga melawat dengan seorang wanita tua yang tiada anak dan tidak mampu berjalan dengan kuat lagi. Apa yang menggembirakan ialah beliau dijaga dengan begitu baik oleh anak saudaranya yang tinggal berhampiran rumah. Anak saudara tersebut boleh sahaja tidak mempedulikannya, namun kasih sayang dan ikatan kekeluargaan masih akrab.



13. Demikian juga satu lagi keluarga yang saya temui. Suaminya begitu setia menjaga isterinya yang mendapat kanser payu dara dan mempunyai anak berusia sebelas bulan. Sedihnya selepas dua hari saya berbual dengan mereka, suaminya menelefon saya memaklumkan bahawa isterinya telah kembali ke rahmatullah. Demikianlah kasih sayang suami tersebut menjaga isterinya sehingga ke akhir hayat.



14. Ketika kita dihimpit masalah kebencian dan kemarahan sesama manusia atas sebab kuasa dan maruah, masih ada kasih sayang dan harapan di celah-celah kehidupan manusia biasa.



15. Semoga suatu hari ia boleh diterjemahkan di kalangan mereka yang berkuasa dan berkemampuan membuat keputusan penting. Kita cuma mampu mendoakan semoga suatu hari nanti erti kasih sayang dan belah ihsan ada dalam hati para pemimpin kuasa besar dan Israel untuk mencari jalan membina keamanan di Asia Barat.


16. Di negara kita sendiri tampaknya sikap bertolak ansur dan menghormati masyarakat dan agama sudah semakin menipis. Masing-masing ingin memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa sendiri sehingga mencabar kedudukan status quo sedia ada.



17. Saya berharap politik kebencian dan mempertikaikan Perlembagaan negara atas sebab kepentingan kaum atau agama yang sedang dimainkan oleh beberapa pihak di negara kita tidak akan berakhir dengan konflik antara kaum mahu pun antara agama yang akhirnya menyebabkan negara kita menjadi padang jarak dan padang terkukur.


Ambillah erti kasih sayang di Kuala Terengganu untuk pedoman akan datang.