Kedudukan genting kerajaan Anwar Ibrahim di Perak. BN kini mempunyai kerusi ADUN 27/59. Pembicaraan 2 ADUN PKR (ADUN Changkat Jering and ADUN Behrang) tentang penglibatan rasuah. Sekiranya BN menang 2 kerusi tersebut, ternyata BN memiliki majoriti simple untuk kembali memimpin negeri Perak.
Tindakan Nasaruddin Tak Jejas Umno Perak
SITIAWAN, 27 Jan (Bernama) -- Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim melompat parti tidak melemahkan Umno Perak, sebaliknya memberi nafas baru bagi membina semula parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini.Mengibaratkan tindakan Nasaruddin umpama 'jaringan gol awal' permainan bola sepak yang baru bermula, beliau berkata tindakan itu tidak akan menjejaskan Umno.
SITIAWAN, 27 Jan (Bernama) -- Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim melompat parti tidak melemahkan Umno Perak, sebaliknya memberi nafas baru bagi membina semula parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini.Mengibaratkan tindakan Nasaruddin umpama 'jaringan gol awal' permainan bola sepak yang baru bermula, beliau berkata tindakan itu tidak akan menjejaskan Umno.
"Umpama permainan bola sepak, kita kena satu gol tidak bermakna kita akan kalah kerana permainan baru sahaja bermula," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Tahun Baru Cina anjuran Pengerusi MCA Perak Datuk Kong Cho Ha di Dewan SMJK Nan Hwa di sini hari ini.Tajol Rosli berkata usaha bersungguh-sungguh gabungan Pakatan Rakyat (PR) memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini keluar parti dan menyertai mereka adalah satu langkah terdesak untuk mengekalkan kuasa PR di Perak.
Beliau mendakwa kerajaan PR di Perak terpaksa mengambil langkah sedemikian sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan akan kehilangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Februari ini.
"Kalau kita ingat, kes rasuah membabitkan dua anggota Exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dibicara di mahkamah Februari ini. Oleh itu mereka (PR) mengambil tindakan untuk memancing Adun BN terlebih dahulu sekiranya keputusan tidak memihak mereka berlaku pada Februari nanti," katanya.
Pada Ogos lepas, Kapt (B) Mohd Osman Jailu yang juga Adun Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi yang juga Adun Behrang dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa terlibat rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
Sementara itu, pada majlis jamuan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di Ipoh, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan tindakan Nasaruddin keluar Umno dan menyertai PKR kerana telah ditawarkan jawatan tertentu atau wang sebagai habuan.
Di KOTA KINABALU, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan Nasaruddin meninggalkan Umno untuk menyertai PKR mencemarkan proses demokrasi yang diamalkan di Malaysia."Rakyat telah memberi kepercayaan kepada seseorang berdiri di atas satu tiket (Umno), lepas itu dia lompat. Kepercayaan orang yang mengundi dia, bukan kerana diri dia sendiri, tetapi kerana kapasiti dia dalam parti yang diwakilinya yang menyebabkan dia menang (dalam pilihan raya)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah Bersama Pemimpin di sini.
Shafie berkata wakil-wakil rakyat harus tegas dengan tindak-tanduk mereka di masa akan datang bagi memastikan perjuangan parti tidak dipersendakan dengan perbuatan seperti Adun Bota itu."Manusia bukan seperti barangan yang boleh dijual beli," katanya.Mengenai pemilihan Umno Mac ini yang akan menyaksikan beliau bertanding merebut jawatan naib presiden, Shafie berkata beliau yakin perwakilan akan memilih pemimpin yang bukan sahaja dapat diterima oleh anggota parti, tetapi juga masyarakat Melayu dan kaum lain di luar Barisan Nasional.
"Sekiranya masyarakat lain boleh menerima kita, ini boleh membantu menguatkan parti kita, terutama dalam pilihan raya akan datang."Amat penting sekiranya masyarakat di luar parti menerima kita kerana merekalah yang menentukan kerajaan akan datang," katanya.
Pada majlis itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyumbangkan RM50,000 kepada gabungan persatuan Cina itu bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kebudayaan, terutamanya aktiviti yang melibatkan golongan muda.
Umno Perak pujuk ADUN Bota ubah fikiran
Badan Perhubungan Umno Perak kini dalam usaha mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim bagi memujuk agar beliau kembali ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, setakat hari ini pihaknya telah berjaya mengadakan rundingan dengan Nasarudin bagi mengetahui punca sebenar beliau
memutuskan untuk meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat."Rundingan sudah bermula... bagi kami ini merupakan petanda positif kerana sekurang-kurangnya masih wujud komunikasi antara beliau dan Umno negeri, kita tak putus hubungan lagi," katanya kepada mStar Online.
Ramly berkata pihaknya telah menghantar beberapa wakil yang rapat dengan Nasarudin untuk mengadakan rundingan dengan beliau.
"Kita sudah hantar wakil yang baik dengan beliau, biar mereka bincang dengan cara yang santai kerana itu lebih baik untuk kedua-dua pihak tanpa ada rasa segan silu," katanya.
Ditanya apakah perkembangan hasil pertemuan tersebut, beliau berkata sehingga kini pihaknya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan.
"Beliau (Nasarudin) sudi berbincang, maknanya laluan sudah terbuka.
"Namun kita akan terus beruasaha mengadakan perbincangan dengan beliau bagi mengetahui keadaan sebenar dan cuba selesaikan dengan baik," katanya.
Kelmarin, Nasarudin bertindak keluar daripada BN dan mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkuat kuasa serta-merta.
IKRAR SETIA BN PERAK
Semalam wakil rakyat BN Perak yang menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di ibu negara telah menyatakan ikrar akan kekal dalam BN.
Ikrar itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa tiga lagi ADUN BN dijangka menyertai Pakatan Rakyat ekoran langkah Datuk Nasarudin Hashim kelmarin.
Mengulas lanjut, Ramly berkata, mereka melahirkan sumpah taat setia untuk terus bersama BN.
"Semalam semua ahli yang hadir membuat ikrar taat setia kepada BN di hadapan Datuk Seri Najib," kata beliau ketika dihubungi hari ini.
Malah, kata beliau, mereka juga mencapai kata sepakat iaitu masih menaruh harapan bahawa Nasarudin, ADUN Bota akan kembali menyertai Umno dan BN.
Tambah Ramly, mereka juga yakin Nasaruddin sedang menguji BN melalui tindakannya itu.
"Kita yakin beliau sedang uji BN... beliau nak tahu apakah reasksi kita selepas buat pengumuman untuk keluar.
"Kita sangat yakin dengan Datuk Nasarudin, beliau akan membuat perhitungan yang sewajarnya," katanya.
Pertemuan yang diadakan di ibu negara itu dihadiri oleh 26 daripada 27 ADUN dan 11 daripada 13 Ahli Parlimen BN dari Perak.
Selain itu Umno Perak juga menyeru supaya Nasarudin mengubah pendiriannya untuk meninggalkan BN.
"Kita seru supaya beliau patah balik (kembali) kepada Umno dan BN," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ramly berkata, semua pemimpin yang hadir berpeluang menyampaikan pandangan berhubung perkembangan terbaru itu.
Malah katanya, Najib turut menasihatkan agar pemimpin-pemimpin Umno dan BN supaya tidak mengeluarkan kenyataan bersifat negatif kerana ia akan menjejaskan proses rundingan dan perbincangan dengan Nasarudin.
Kata beliau lagi, Umno Perak mengklsifikasikan isu ini sebagai malapetaka kepada parti dan memandang serius mengenainya.
"Kita memandang serius mengenai perkebangan terbaru ini dan sedang berusaha mengambil tindakan yang wajar bagi membendungnya," katanya yang enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.
Dalam pada itu, Najib ketika ditemui wartawan selepas pertemuan malam tadi berkata, antara ketetapan dibuat ialah semua memberi pengakuan dan disokong dengan setiap wakil rakyat menyatakan kesetiaan kepada BN melalui parti masing-masing.
"Waima apa jua keadaan sekalipun ini termasuk juga satu dua yang tidak hadir, tapi telah menelefon untuk menyatakan pendirian sama dan harap ia melenyapkan sebarang khabar angin yang diuar-uarkan oleh parti pembangkang yang menyatakan kononnya ada wakil rakyat BN dari Perak mahu melompat parti," katanya.
Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, selain itu pertemuan malam tadi juga membincangkan beberapa perkara yang penting iaitu keutuhan berkhidmat kepada rakyat dan yakin kepada BN.