Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts

Wednesday, August 26, 2009

Media tidak pro-1Malaysia: Hamid Pawanteh


Kebanyakan media massa di negara ini tidak membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjayakan gagasan 1Malaysia kerana masih terikat dengan agenda memperjuang isu kelompok tertentu.

Bekas yang dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh berkata sekalipun mereka mempromosikan 1Malaysia, hakikatnya masih banyak artikel dan berita yang disiarkan bertentangan dengan gagasan itu.

"Mereka highlight (uar-uarkan) apa yang Datuk Seri Najib sebut, tapi di muka surat lain dia kontra balik.

"Di muka depan dia highlight 1Malaysia seperti yang diseru perdana menteri, tapi di muka surat lain adalah perkara-perkara yang menggugat pencapaian 1Malaysia itu sendiri. Ini satu percanggahan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hamid berkata perkara itu harus diubah segera demi kepentingan negara memandangkan gagasan 1Malaysia adalah seruan perdana menteri agar semua pihak kembali ke pangkal jalan.

"Saya melihat 1Malaysia ini sebagai mesej tersirat iaitu satu pengakuan bahawa selepas 50 tahun merdeka kita ada tersesat sedikit, dan 1Malaysia mengajak kita kembali ke pangkal jalan demi kepentingan semua.

"Kalau ada media tertentu memihak kepada sesuatu dia sibuk itu saja dan mendidik (masyarakat) seolah-olah ada media yang mendukung kaum, ada media yang dukung parti, seolah-olah tak banyak pun media yang nak dukung negara Malaysia," katanya.

Justeru, katanya, media harus memainkan peranan yang lebih menyeluruh dalam mendidik masyarakat agar meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan kaum masing-masing.

"Bagi saya kalau ditanya apakah ertinya patriotisme bagi seorang rakyat Malaysia, bagi saya ialah meletakkan Malaysia mengatasi kaum dan parti.

"Jika anda seorang patriot sejati anda akan meletakkan kepentingan negara melebihi bangsa atau masyarakat dan melebihi parti anda, itu bagi saya anda adalah seorang patriot Malaysia yang sejati," kata Abdul Hamid.

Beliau, yang juga bekas menteri besar Perlis, turut menekankan bahawa media mempunyai tanggungjawab untuk menjadi sumber berita yang boleh dipercayai dan berkredibiliti.

Ini kerana, katanya, media yang gagal berbuat demikian akan kehilangan pengaruh dan sokongan suara ramai.

"Suara ramai akan menolak apa saja yang ditanggapi mereka sebagai propaganda dan sebab itu pelihara diri supaya jangan langsung berbaur propaganda," kata beliau. BERNAMA



Bookmark and Share

Monday, July 20, 2009

Hindraf kecewa sikap Pakatan Rakyat?

Dari MStar:
Harapan Hindraf terhadap Pakatan berkecai - Uthayakumar
KECEWA... Pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar dengan berlatarbelakangkan buku beliau berjudul Malaysian Indian Political Empowerment Strategy: The Way Forward yang menggariskan perjalanan wawasan politik pihaknya selepas ia diharamkan tahun lalu dan lima pemimpin Hindraf dibebaskan baru-baru ini. Buku itu dilancarkan di Klang pagi tadi. Beliau juga mengumumkan penubuhan Parti Hak Asasi Manusia. AP


KLANG: Harapan terhadap PKR, DAP dan PAS berkecai! Ini sebahagian daripada luahan perasaan pemimpin pertubuhan Hindraf, P. Uthayakumar dalam tulisannya yang dikeluarkan dalam bentuk buku setebal 114 halaman hari ini.


Kata beliau, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat itu kini mula mengabaikan kepentingan masyarakat India kerana dilihat sudah tiada kekuatan politik.


"Inilah hakikat politik yang kita lalui sekarang," kata beliau dalam bukunya bertajuk Malaysian Indian Political Empowerment Strategy: The Way Forward yang dilancarkan sempena pengumuman penubuhan Parti Hak Asasi Manusia.


Kandungan buku itu dihasilkan ketika beliau berada dalam tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 514 hari di Kamunting, Taiping.


"Adalah jelas dan ketara bahawa apa yang PKR, DAP dan PAS mahukan daripada kita ialah hanya undi semata-mata.


"Ahli politik adalah ahli politik! Sejauh mana bezanya lima kerajaan negeri pimpinan PKR, DAP dan PAS berbanding bekas kerajaan negeri diterajui Umno ataupun kerajaan pusat Umno bagi (kepentingan) masyarakat India?" katanya.


Beliau memuatkan kekecewaan dengan prestasi Pakatan Rakyat yang didakwa tidak membantu masyarakat India dalam 10 halaman.


Katanya, selepas pilihan raya umum 2008 ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat yang sepatutnya dilihat sebagai "parti pelbagai kaum" telah mengabaikan kepentingan masyarakat India.


"Kini kita berhadapan dengan keadaan sebenar dan sudah bersedia untuk bercakap mengenai realiti politik.


"Kita perlu berhadapan dengan fakta ini. Sebagai contoh salah satu daripada 18 perkara yang dituntut ialah kesemua 523 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, kuil, krematorium, lokasi pengebumian dan kawasan setinggan diduduki masyarakat India diberikan tanah kerajaan dan diwartakan dengan sewajarnya," katanya sambil menambah, keadaan sebaliknya berlaku sekarang.


Tambah beliau, "nampaknya PKR, DAP dan PAS tidak berminat untuk menyelesaikan mana-mana perkara yang dituntut itu walaupun beberapa bidang terletak seratus peratus di bawah kerajaan negeri". Hindraf mengadakan perhimpunan di ibu negara dalam usaha mengetengahkan 18 tuntutan itu pada 25 November 2007 - lima bulan sebelum pilihan raya umum ke-12.


Gelombang kemarahan itu digunakan sebagai modal kempen oleh Pakatan Rakyat ketika pilihan raya umum Mac 2008 dan dilihat telah menyumbang kepada prestasi baik pembangkang yang menawan lima kerajaan negeri dan menidakkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Wednesday, July 15, 2009

6 KRA Najib: Penentu survival BN


Pada 11 Julai 2009, genap 100 hari Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir negara. Pelbagai penilaian diberikan ke atas kepimpinan beliau; ada yang bersifat positif dan ada yang negatif.

Namun begitu yang menarik adalah kesungguhan beliau untuk mengurus krisis kepercayaan, kesetiaan dan keyakinan dalam kalangan warga Malaysia. Lahir Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang dijadikan sebagai penanda aras atau kayu pengukur ke atas kewibawaan kepimpinan beliau.

Di samping '11 Hadiah Rakyat' yang mencakupi unsur ekonomi dan sosial, beliau muncul dengan enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang akan dijadikan sebagai 'petunjuk' sepanjang beliau memimpin supaya dapat mencapai matlamat KPI.

Keenam-enam bidang tersebut adalah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah serta memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan meningkatkan tahap pengangkutan.

Melihat kepada butiran ini, ia sudah pasti akan menjadi cabaran besar ke atas tadbir urus Najib kerana hampir kesemua pemimpin, baik dalam parti pemerintah mahupun pembangkang, masing-masing pernah dan masih melaungkan usaha yang hampir sama.

Sepanjang 100 hari, Najib bersedia membuat keputusan popular dan tidak popular; keputusan berisiko dan tidak berisiko; kesemuanya memperlihatkan nilai kepimpinan transformasi.

Bagaimanakah KRA ini boleh meningkatkan populariti BN? Apakah pendekatan yang boleh digunakan untuk memenangi hati pengundi dan adakah kesemua enam butiran ini merangkumi keseluruhan masyarakat?

Lebih daripada itu, bagaimana untuk meyakinkan penduduk Malaysia bahawa dengan KRA ini, kita boleh merasa selamat dari sudut ekonomi, politik dan sosial?

KRA merujuk kepada prestasi, keputusan dan pencapaian walau dengan apa cara sekalipun. KRA adalah kejayaan pelaksanaan dan rakyat akan menilai berdasarkan kepada sejauh mana enam butiran tersebut mendekati mereka sebagai kumpulan sasar.

Kumpulan sasar perlu dirunding melalui konsultansi yang berterusan jika Najib mahu melihat kejayaan. Pelaksana dasar kadang-kadang terlepas pandang kedudukan kumpulan sasar semata-mata mahu memenuhi matlamat pihak yang merangka dasar.

Kesemua agensi perkhidmatan awam perlu diberi penerangan mengenai kelonggaran dalam urusan dengan kumpulan sasar supaya birokrasi dan red tape dapat dikurangkan. Apa ertinya jika pemimpin bersedia untuk mengetepikan nilai formal dan protokol tetapi pegawai bawahan masih rigid dengan SOP (Standard Operation Procedure).

'Mesra Rakyat' bermakna kesemua yang terlibat mesti mengetepikan keangkuhan berjawatan tinggi dan berkuasa serta kedudukan mereka agar penilaian sewajarnya boleh dibuat oleh kumpulan sasar atau rakyat sendiri.

Urusan kerajaan mestilah kos efektif dan cepat diberi jalan penyelesaian. Pengagihan kuasa boleh dilakukan jika seseorang pegawai tidak ada atas kekerapan bermesyuarat dan merancang agensi mereka. Rakyat menilai prosedur dan proses di peringkat bawahan kerana kekerapan menggunakan sesuatu perkhidmatan.

Keenam-enam bidang yang dipilih oleh Najib wajar diberi keutamaan. Jalan penyelesaian yang bersifat praktikal perlu digunakan untuk menangani isu jenayah. Pelbagai jenayah saban hari mengambil tempat dalam masyarakat.

Rakyat mahu merasa selamat; mahukan jaminan keselamatan. Asas mengapa ia berlaku perlu diteliti baik di kawasan bandar dan luar bandar yang melibatkan bukan sahaja dalam kalangan dewasa tetapi pembabitan juvenil juga kian meningkat.

Apakah institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan? Bagaimana dengan peranan media dan rakan sebaya di sekolah? Guru sekolah mesti menjadi idola kepada remaja ini. Bagaimana pula dengan penglibatan pendatang asing dalam kegiatan jenayah yang dikatakan antara punca jenayah kian meningkat?

Oleh yang demikian, jelas Najib mempunyai tanggungjawab besar untuk sekurang-kurangnya mengurangkan kadar jenayah baik ringan mahupun berat. Tanggungjawab keselamatan bukan dibebani pada pihak polis sahaja. Pengambilan lebih ramai sukarelawan boleh membantu isu ini?

Dalam usaha melawan rasuah, sudah pasti persoalan besar yang timbul adalah ke atas pendefinisian 'rasuah' sendiri kerana kepelbagaian takrifan inilah menyebabkan ia masih sukar dibendung.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti telus dan diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana individu termasuk pemimpin. Apabila dikatakan wujud pemimpin rasuah dalam kerajaan, Perdana Menteri perlu atasi segera.

Adakah Najib sudah bersedia untuk menghukum 'jerung besar' untuk membuktikan keikhlasan beliau mencari jalan penyelesaian ke atas isu rasuah? Sikap tidak berkompromi ke atas rasuah sebenarnya penting kerana kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhakis kebelakangan ini kerana ia tidak diberi perhatian serius. Ia dikatakan bersifat retorik.

Ramai yang menyoal kejujuran dalam kalangan pemimpin. Najib boleh melakukannya kerana beliau bersedia mengakui kesilapan yang pernah dilakukan dalam beberapa dasar sebelum ini dan jika penambahbaikan dapat dilakukan dalam masa terdekat, ia akan mempengaruhi penerimaan ke atas kepimpinan beliau.

Kerajaan ini jika mahu dilihat sebagai 'kerajaan untuk semua' dan 'kerajaan yang bekerja', perlu mengubah cara kerja dengan lebih berorientasikan perkhidmatan dan bukan pertukaran dasar yang menyebabkan rakyat merasa muak dan menganggap kita masih mengamalkan budaya yang sama.

Hampir 30 peratus demografi negara ini menunjukkan mereka berada di paras bawahan susur lapis masyarakat. Ia merangkumi kesemua kelompok etnik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka bukan sahaja menghuni kawasan luar bandar tetapi juga bandar.

Kemudahan asas perlu diperluaskan. Dalam Malaysia berhadapan dengan usaha menjadi negara maju keseluruhan pelosok negara mesti sekurang-kurangnya sudah mempunyai kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan, hospital dan sekolah.

Barulah golongan ini yang majoritinya berpendapatan rendah mempunyai motivasi dan keazaman untuk mengubah taraf hidup mereka. Jurang antara kelas sangat besar.

Walaupun melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah membantu meningkatkan kadar kelas pertengahan; tetapi penstrukturan antara masyarakat hanya akan berjaya jika jurang antara kelas diatasi.

Sebagai 'kerajaan rakyat', kebajikan masyarakat perlu diberikan tumpuan sebagaimana yang dihajatkan oleh Najib dan rakyat akan menunggu pelaksanaan segera dari barisan kepimpinan beliau.

Dalam arus peralihan masa dan modenisasi yang dilalui oleh Malaysia, ramai yang sudah mula memberi kepentingan ke atas gaya hidup berkualiti termasuk dari aspek pengangkutan awam. Pengangkutan awam tidak bermakna hanya untuk penggunaan di kawasan bandar dan kawasan yang sering berhadapan dengan kesesakan.

Hampir kesemua kawasan memerlukan sistem pengangkutan yang baik dan menyeluruh. Ia perlu berlaku di seluruh negeri dan bukan sekadar di pusat bandar sahaja. Sistem Transit Keretapi Ringan (LRT) boleh diperluaskan di luar Kuala Lumpur. Penggunaan keretapi boleh digalakkan tetapi mesti meliputi kesemua kawasan utama baik dalam mahupun luar bandar.

Najib telah mengemukakan enam bidang yang dianggap relevan dengan kedudukan persekitaran hari ini. Walaupun begitu, beberapa perincian lain boleh diberi keutamaan termasuk dengan isu golongan belia, wanita, golongan yang merayu untuk diberi bantuan, orang kurang upaya, ibu tunggal, dan warga emas serta pesara kerajaan.

KRA merangkumi keseluruhan rakyat Malaysia. Ia boleh dilakukan dengan pemantauan berterusan; pemantauan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri dan lokal. Setiap kawasan Parlimen boleh diminta membuat penilaian menerusi Pusat Khidmat mereka termasuk di kawasan yang mereka tewas kerana kebajikan tidak mengira batasan kepercayaan politik, agama mahupun gender.

Yang penting adalah kejujuran dan ini yang akan dinilai dalam pilihan raya akan datang. Najib juga boleh mencari mekanisme untuk mengukuhkan parti kerana tidak ada gunanya dasar berjaya tetapi komponen parti sendiri masih bertelingkah antara satu sama lain.

Ada baiknya, parti kembali kepada perjuangan asal dengan menilai semula 'kompromi' dan 'pengorbanan' sehingga membawa kepada pengisian sebagaimana yang kita nikmati hari ini.

Najib memikul beban besar untuk memastikan kesemua butiran KPI akan tercapai dan ia juga bergantung kepada barisan Kabinet, kementerian, agensi di peringkat persekutuan dan negeri; tetapi lebih daripada itu, komitmen pemimpin atasan dan bawahan untuk mengetepikan kepentingan masing-masing dan bersedia menyuarakan kebenaran kepada Perdana Menteri untuk kepentingan dan kesejahteraan kehidupan berukun rakyat negara ini.

Masa tidak bersama Najib. Pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan jadi liabiliti dalam parti perlu dikorbankan untuk kepentingan 27 juta penduduk negara ini.

Tanamkan nilai kemanusiaan Satu Malaysia supaya masing-masing menikmati kehidupan yang aman, harmoni, sejahtera dan lestari; KPI akan tercapai dengan sendirinya jika masing-masing memainkan peranan dengan penuh hemah dan rendah hati serta bersedia mengaku kesilapan supaya amalan defensif dapat dikurangkan dan 'rakyat' terus diutamakan.

Dr. Sivamurugan Pandian ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Saturday, July 11, 2009

Najib Buat 11 Pengumuman Mesra Rakyat Sempena 100 Hari Jadi PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak Sabtu ini membuat 11 pengumuman "mesra rakyat" sempena genap 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri, antaranya pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal serta satu tabung unit amanah baru.

Berucap di majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini,


(1) Perdana Menteri berkata, untuk meringankan beban pengguna lebuh raya yang menggunakan kad prabayar Smart Tag dan Touch 'n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun 20 peratus.Najib berkata ini adalah satu keputusan atau penyelesaian sementara sahaja, sementara menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang menurutnya akan mengambil masa.Katanya beliau pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dirinya terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan manakala gaji bulanannya RM3,000, yang menurut Perdana Menteri:"

Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan sahaja setahun, kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun."Ini (diskaun) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutamanya yang menggunakan jalan tol setiap hari," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.


(2) Dalam ucapan hampir 50 minit yang dimulakan tepat 11.11 pagi yang menandakan 11 Julai, genap 100 hari menjadi Perdana Menteri selepas dilantik pada 3 April lepas, Najib juga mengumumkan bahawa penyewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan akan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah di bawah program itu.Katanya sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.


(3) Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri melibatkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil, di mana mereka akan menikmati potongan 50 peratus bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.Najib berkata ini sebagai memenuhi permohonan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia bagi pengurangan bayaran lesen yang dikemukakan kepada beliau pada satu majlis di Tanjung Karang, Selangor bulan lepas."Ini akan memberi banyak kelegaan...saya harap negeri-negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen-lesen lain juga akan dikurangkan," katanya.


(4) Selain itu Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang telah diberikan setakat ini.Menurut Perdana Menteri dasar membantu pemandu teksi dibuat memandangkan pada masa sekarang terdapat ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran seperti RM50 sehari, di samping kos lain seperti minyak.


(5) Najib juga mengumumkan bahawa caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250 cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.Menurutnya beliau mendapati ramai penunggang terutama anak-anak muda yang "ke hulu dan ke hilir dengan motosikal kapcai" tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan adalah tinggi, di antara RM500-RM700 seorang."Setelah berunding dengan sekolah-sekolah memandu, caj (kadar) bayaran latihan (belajar) dikurang kepada RM211. Dan berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan tadi," katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin sebaik sahaja beliau mengumumkan pengurangan itu.



(6) Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi 10,000 unit Skim Amanah Saham Wawasan untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih dalam usaha memerangi kemiskinan bandar.Najib juga berkata satu lagi tabung unit amanah baru dinamakan "Amanah Saham 1Malaysia" akan dilancarkan sedikit masa lagi dengan saiz sehingga 10 bilion unit.Ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, katanya.



(7) Najib juga mengumumkan peruntukan skim TEKUN ditambah RM150 juta lagi dan juga mengumumkan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.


(8) Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil langkah-langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini, dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.


(9) Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri hari ini adalah berkaitan pendaftaran kelahiran, yang menurutnya ramai juga yang lambat mendaftarkan kelahiran dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.Najib berkata di Sabah, semenjak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan.Di Sarawak pula, semenjak 2005, sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan dari jumlah itu, 80 peratus permohonan telah diluluskan.Dalam pengumuman mengenai kewarganegaraan pula, Najib mengumumkan bahawa jumlah permohonan tertangguh pada 1 Nov 2008 adalah sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lepas, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.


(10) Di majlis itu, Najib turut membuat pengumuman mengenai infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, dan menurutnya kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekarang kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.


(11) Dalam konteks infrastruktur ini, Najib juga berkata liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik, dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.


Najib yang menyifatkan majlis hari ini sebagai "perjumpaan yang sangat bersejarah" berkata keputusan-keputusan yang dibuat itu adalah "keputusan istimewa untuk rakyat Malaysia".



"Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan," katanya.--BERNAMA



Bookmark and Share

Tuesday, June 16, 2009

1Malaysia beri lebih perhatian kepada rakyat miskin

KOMITMEN untuk membantu rakyat sebenarnya bukan sekadar manifesto sewaktu kempen pilihan raya. Ia juga bukan umpan untuk memenangi undi tetapi perlu dilakukan secara berterusan.

Dan itulah yang dilakukan oleh kerajaan selama ini. Malah apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri di Kuching kelmarin, adalah bukti keprihatinan kerajaan.

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, semua kaum akan mendapat pembelaan sewajarnya. Isu membasmi kemiskinan bukan agenda untuk kaum tertentu sahaja. Ia merangkumi semua kaum, tanpa mengira anutan agama atau kepercayaan.

Semua rakyat akan dibela termasuklah mereka di pedalaman. Menerusi gagasan 1Malaysia, hak semua rakyat diberi keutamaan.

Malah Najib berikrar bahawa rakyat yang masih terkebelakang dan miskin akan mendapat lebih pembelaan menerusi 1Malaysia.

Ini bermakna, setiap kaum akan membangun secara bersama. Dalam kata lain, rakyat yang tinggal di pedalaman - termasuk di Sabah dan Sarawak - akan turut mendapat pembelaan.

Kenyataan tersebut sekali gus menafikan dakwaan pihak-pihak yang menentang 1Malaysia. Gagasan itu sebenarnya akan menjadikan rakyat, terutama yang tinggal di luar bandar, lebih terbela.

Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, kerajaan akan mengambil kira kepentingan semua kaum apabila melaksanakan sesuatu program pembangunan. Tidak kira yang tinggal di bandar, luar bandar mahupun di kawasan terpencil.

Pemisahan fizikal antara bandar dan luar bandar atau antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak tidak akan menjadi penghalang. Malah isu kebajikan rakyat di Kepulauan Borneo itu turut mendapat jaminan.

Kita sangat berharap selepas ini rakyat akan sedar bahawa gagasan itu dilaksanakan demi kebaikan mereka. Jangan mudah terpedaya dengan dakyah oleh pihak yang tidak senang dengan perpaduan yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Seperti kata Perdana Menteri, Laut China Selatan bukannya pemisah untuk rakyat hidup dalam "penyatuan serta perpaduan" di bawah konsep 1Malaysia. Rakyat boleh membina "satu impian, satu bangsa dan paling penting, Satu Malaysia".

Kebajikan untuk rakyat miskin - biasanya yang tinggal di pedalaman atau kawasan terpencil - sentiasa menjadi isu. Setelah lebih 50 tahun merdeka, isu itu masih belum diselesaikan sepenuhnya. Malah itulah isu yang sering dijadikan modal oleh pembangkang untuk menidakkan usaha kerajaan.

Kononnya kerajaan gagal menangani isu kemiskinan dan golongan miskin gagal mendapat pembelaan sewajarnya.

Bagaimanapun pembangunan seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh.

Jangan hanya kerana gagal membina lebuh raya untuk menghubungkan dua kawasan terpencil - walaupun ada laluan lain - kerajaan dianggap tidak berjaya membela nasib rakyat di pedalaman.

Berilah masa untuk kerajaan membuktikan kesungguhan menangani isu kemiskinan ini menerusi 1Malaysia. Jangan terlalu cepat menghukum.