Showing posts with label PAU. Show all posts
Showing posts with label PAU. Show all posts

Tuesday, March 31, 2009

PAU: Masa untuk merealisasikan dan menterjemahkan usul² ke bentuk tindakan dengan kawal selia


Jangan hanya tinggal usul seperti PAU² yang lepas. Terjemahkan apa yang diusul dalam bentuk tindakan dengan kawal selia yang rapi. Jika perlu perlu lapurkan kepada rakyat KPI (Key Performance Index) atau rekod pencapaian tentang perkembangan usu² tersebut. Jangan tinggal "blue-print" dan janji kosong sahaja. Rakyat menunggu transformasi yang diucapkan. Ingat! Rakyat adalah hakim negara....

MUNGKIN tidak ramai yang sedar bahawa persidangan UMNO kali ini adalah persidangan pasca tsunami politik Mac tahun lalu dan ia persidangan untuk tahun 2008. Maka tahun ini juga akan diadakan satu lagi Perhimpunan Agung UMNO. Sudah tentu jarak yang dekat antara dua perhimpunan ini dapat digunakan sebaik-baiknya oleh perwakilan untuk membuat susulan terhadap apa jua cadangan serta usul yang akan dikemukakan.

Pemilihan pucuk pimpinan tertinggi UMNO kali ini juga adalah yang terakhir sebelum UMNO sekali lagi berusaha mendapatkan mandat rakyat pada pilihan raya akan datang. Justeru, pemimpin serta perwakilan harus berhati-hati dalam berbahas, berhujah serta bertikam lidah agar suasana dapat dikawal. Lagi pun, tiga pilihan raya kecil sedang menanti selang beberapa hari selepas persidangan tamat.

Setiap kali UMNO bersidang, tidak boleh tidak untuk kita mengatakan parti itu tidak memperjuangkan perihal bangsa Melayu. Sebut apa sahaja yang ada di bumi ini yang berkaitan dengan Melayu, pastinya tiada yang tertinggal.

Pelbagai bentuk usul, resolusi, sumpahan, ikrar dan sebut sahaja apa lagi yang boleh disandarkan sebagai harapan pada orang Melayu akan dibahas oleh perwakilan dan pimpinan parti. Namun janganlah "usul hanya tinggal usul".

Tetapi sebagai perwakilan atau pemimpin, pernahkah kita menyoal diri sendiri sama ada UMNO sudah melakukan yang terbaik untuk orang Melayu? Benarkah segala janji dan sumpah ikrar serta usul-usul yang diluluskan itu dikotakan?

Di luar PWTC, ramai Melayu masih merungut akan hal serta isu-isu yang melibatkan Bumiputera yang masih belum selesai bak kata pepatah, "Seperti duri tersangkut di anak tekak".

Isu perihal beratus-ratus ribu dan mungkin telah mencapai jutaan insan bernama Melayu yang hak dan keperluan mereka untuk membuat pinjaman serta hal yang berkaitan dengan bank disita hasil tindak-tanduk satu syarikat yang bernama C Tos Sdn. Bhd. masih belum terlerai. Apakah UMNO tidak dapat melakukan sesuatu?

Satu lagi isu yang menjadi rungutan ialah betapa ramainya orang Melayu yang dihalang dan disenaraihitamkan oleh pelbagai agensi seperti LHDN, Bank Negara, Insolvensi, Mara dan JPA daripada keluar negara atas sebab tidak membayar hutang dan sebagainya. Di mana silapnya? Apakah UMNO tidak boleh dipersalahkan di atas kesusahan orang Melayu untuk membayar hutang dan permasalahan itu?

Tidak perlulah disebut kemudahan canggih di Petaling Street di Kuala Lumpur dan juga Jonkers Walk di Melaka untuk kaum lain, walhal suasana perniagaan ala cowboy dan setinggan masih lagi di takuk lama di Chow Kit dan juga di Kampung Baru yang rata-rata terdiri daripada peniaga Melayu.

Tidak juga perlu dipanjangkan kisah tentang ratusan ribu orang Melayu yang masih tinggal di kawasan setinggan ketika pemimpin-pemimpin negara asyik bercerita mengenai pelaburan berbilion-bilion ringgit yang dibawa masuk ke negara ini.

Pemimpin UMNO harus sedar bahawa wang berbilion yang dibawa masuk itu tidak memberi makna selagi hidup mereka ibarat "kais pagi makan pagi" dan masih tinggal di kawasan setinggan.

Di sinilah masa dan tempat yang sesuai untuk perwakilan serta pemimpin Melayu merungkai permasalahan orang Melayu secara telus, nyata dan tanpa rasa prejudis.

Harapan orang Melayu sungguh tinggi untuk mereka dibela oleh UMNO. Apa yang mereka mahu adalah sedikit keprihatinan serta pembelaan agar kualiti hidup mereka yang sedia ada akan dapat dipertingkatkan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini.

Saturday, November 22, 2008

Antara 'senyum plastik' Rafidah dan Shahrizat

TAJUK utama muka 1 Utusan Malaysia semalam amat mencuitkan. Tajuk besarnya bertulis: Enggan berganjak, dan tajuk kecil di atasnya: Peralihan kuasa Rafidah, Shahrizat kekal Jun 2009. Gambar besarnya pula: orang nombor satu dan nombor dua pergerakan Wanita UMNO itu - berjabat tangan.

Selaku Pengarang Utusan Malaysia, saya adalah orang terakhir yang meneliti muka surat itu sebelum mengarahkannya 'ditembak' untuk proses percetakan. Semasa meneliti muka surat 1 itu yang masih dalam bentuk 'dummy', seorang rakan yang melihat betapa seriusnya saya membelek muka surat itu, menyapa.

"Macam senyum plastik saja!'' katanya selamba sambil menuding jari ke arah gambar Rafidah Aziz (atau lebih mesra dipanggil Kak Dah di kalangan Wanita).

Mungkin kerana terlalu dibuai dengan interpretasi berita 'menarik' itu, saya tersentak dengan kata-kata tersebut dan terus melihat ke arah muka rakan saya itu. Lalu saya pun menyampuk, "bukan senyum Rafidah saja, senyum Shahrizat pun plastik jugak, cuba tengok juga cara Shahrizat hulur tangan'' Kedua-dua kami ketawa.

Senyum plastik? Kami orang media lazimnya belajar (secara tidak formal) membaca raut muka dan bahasa badan (body language) seseorang. Sebagai wartawan, asas mengenali bahasa badan seseorang itu amat penting, kerana di situ banyak maklumat (yang tersirat) boleh diperoleh.
Ikhlaskah kedua-dua tokoh wanita itu berjabat tangan? Ramai orang yang bertanyakan soalan itu apabila membaca akhbar ini keesokan harinya. Bertalu-talu SMS dihantar kepada saya mengatakan Shahrizat Jalil (atas lebih mesra dipanggil Ijat di kalangan Wanita) 'dipaksa dan terpaksa' bersetuju dengan pelan peralihan kuasa Jun 2009, inisiatif Rafidah itu. Kata penghantar mesej itu lagi sepanjang lima jam mesyuarat Exco pergerakan itu yang berlangsung Isnin lalu, ia bagaikan 10 jam.

Mengenali Kak Dah dan juga daripada orang rapatnya, beliau adalah seorang yang cukup tegas dan cerewet (walaupun ada yang berkata, kadang-kadang sedikit over - sorry Kak Dah!). Beliau mahu orang mendengar cakapnya. Sebab itulah, mungkin, dalam tempoh kurang 24 jam, Shahrizat terpaksa membuat kenyataan kedua, yang bunyinya bertentangan dengan kenyataan pertamanya.


Pada hari Isnin (iaitu pada hari mesyuarat tergempar Exco Wanita itu diadakan), Utusan Malaysia dalam berita utama muka 1 menyiarkan kenyataan 'berani' Shahrizat yang meminta Rafidah mempertimbangkan supaya pelan peralihan jawatan ketua dan naib ketua pergerakan itu diselaraskan dari Jun kepada Mac 2009 selari dengan tarikh pemilihan parti itu.


Selepas mesyuarat 5 jam itu, Shahrizat, yang kononnya 'dipaksa dan terpaksa', telah mengeluarkan satu kenyataan 'kecemasan' bernada lembut yang berbunyi: "Mahu isu peralihan kepimpinan dalam pergerakan itu dirunding bagi mencari jalan penyelesaian terbaik."


Katanya lagi: "Dalam perbincangan Exco Wanita hari ini, saya telah meminta Tan Sri Rafidah Aziz menimbangkan semula tarikh peralihan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO selaras dengan pemilihan di peringkat Pusat termasuk Pemuda dan Puteri.


"Namun, Tan Sri Rafidah dan Exco mengambil pendirian untuk menolak saranan saya dan mengekalkan pelaksanaan peralihan kepimpinan antara beliau dan saya pada Jun 2009."
Persoalannya di sini mengapa Shahrizat mahu sangat proses peralihan itu berlaku pada Mac dan Rafidah pula bermati-matian bertegas mahu ia diadakan pada Jun? Walaupun pada dasarnya, kedua-dua pihak itu bersetuju dengan pelan peralihan itu, puak Shahrizat nampaknya terlalu skeptik dengan rancangan itu.


Apakah Shahrizat sudah mula cuak dengan ketuanya itu? Atau para pengikutnya mahu supaya proses tersebut dipercepatkan bagi membolehkan pergerakan itu menyusun semula jenteranya serta berupaya melantik Pengerusi Wanita BN di kalangan UMNO dengan segera?


Jika cuak, mengapa? Apakah Shahrizat dan para pengikutnya tidak 'yakin' Rafidah akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Shahrizat?
Atau, apakah Rafidah mengharapkan ihsan daripada ''Perdana Menteri baru'' untuk mengembalikan kerusi Kabinet kepadanya?


Melihatkan kepada perkembangan terkini itu yang berlaku Isnin lalu, ramai para pengikut setia Shahrizat mulai marah-marah. Macam-macam SMS, yang antaranya tidak begitu sedap didengar, dihantar kepadanya - yang kemudiannya berlegar.


Nampak gayanya, kekalutan di dalam Wanita tidak akan berakhir dalam masa terdekat ini. Ia akan lebih hebat pada Mac ini apabila mungkin, disebabkan tekanan, Shahrizat akan membuat satu keputusan yang lebih mengejutkan.

Bagi Rafidah pula, beliau tidak akan rugi apa-apa. Setelah berkhidmat lebih 30 tahun untuk UMNO serta lebih 20 tahun memimpin Wanita, bila-bila masa pun beliau boleh pergi. Oleh kerana keikhlasannya yang tidak mudah dibaca (walaupun dengan bahasa badan - mungkin atas sifat keyakinan dirinya yang tinggi), maka semua pihak harus melihat dan menunggu sehingga berakhirnya drama ini. Yang pasti drama ini akan lebih hangat dan mendebarkan. Benarlah bak kata pepatah ''ayam bertelur, riuh sekampung'' - itulah yang membezakan ayam betina dan ayam jantan!


Apa yang nyata, atas nama politik, Exco-exconya yang bertaut kuat dengan Rafidah akan memastikan beliau akan terus kekal menerajui pergerakan itu. Sementara, di satu pihak lagi pula akan memastikan Shahrizat melakukan sesuatu untuk memastikan pelan Jun itu tidak berlaku.


Bagi kita yang bersangka baik, apalah bezanya Mac atau Jun. Ia hanya dibezakan oleh jangka waktu tiga bulan. Tapi ingat, dalam politik walaupun sehari ia amat bernilai.