Showing posts with label P/Raya Kecil;. Show all posts
Showing posts with label P/Raya Kecil;. Show all posts

Thursday, April 9, 2009

Tewas tetapi pengundi BN masih setia


Walaupun tewas dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, jumlah 10,229 undi diperolehi calon Barisan Nasional (BN), Datuk S.Ganesan menunjukkan parti itu belum hilang sokongan dan pengundi-pengundi nampaknya masih setia dengan BN.


Dengan peratusan jumlah keluar mengundi cuma 68 peratus atau kira-kira 24,000 orang berbanding 73.7 peratus atau hampir 26,000 pengundi pada pilihanraya umum Mac tahun lalu, BN hanya kurang 634 undi. Pada pilihanraya lalu, calon BN S.Krisnan memperolehi 10,863 undi. Jika peratusan keluar mengundi sama seperti 2008 dan tidak ramai calon Bebas bertanding, Ganesan walaupun kalah tetapi mungkin dapat menambahkan undi BN.


Foktor kaum India yang masih belum mahu mengundi BN semula sekaligus dilihat sebab itu BN tidak dapat memenangi pilihanraya kecil ini. Walaupun, suada ada peningkatan undi masyarakat Cina, undi yang diberikan kepada calon Bebas turut memberi kesan kepada calon BN dan PKR, Kesemua 13 calon Bebas yang bertanding di Bukit Selambau mengumpul 1,326 undi dan hilang deposit.


Pembangkang yang menang melalui calon PKR, S.Manikumar tidak seharusnya mendabik dada mengatakan rakyat menolak BN atau kerajaan sedia ada dengan menjadikan keputusan pilihanraya kecil itu termasuk di Bukit Gantang sebagai referendum rakyat.


Benar pembangkang dapat menambah majoriti daripada 2,362 pada tahun lalu kepada 2,403 tetapi jumlah undi 12,263 menunjukkan ianya merosot berbanding 13,225 undi pada pilihanraya umum lalu. Maka adalah tidak wajar apabila Naib Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan kemenangan pembangkang sebagai referendum atau signal rakyat Kedah mahupun Perak menolak BN.


Bercakap kepada media selepas pengumuman kemenangan Manikumar di Sekolah Menengah Teknik 1, Sungai Petani, beliau mengakui peratus keluar mengundi yang lebih kecil serta hujan petang Selasa menjejaskan gambaran undi sebenar yang patut diperolehi calon BN dan PKR.


Bagaimanapun, katanya, pembangkang dapat mempertahankan kerusi itu dengan majoriti yang membanggakan tambahan pula ianya adalah pilihanraya kecil yang membolehkan jentera kempen lebih besar digerakkan. Katanya, dalam suasana hari ini dengan negara ada Perdana Menteri baru, kejayaan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang patut dilihat sebagai referendum bahawa rakyat belum bersedia menerima perubahan tersebut.


Azmin berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menunjukkan sesuatu yang lebih jelas bagi menarik perhatian rakyat kepada kerajaan baru yang diketuainya. “Beliau ada tugas cukup besar untuk yakinkan rakyat bahawa beliau benar-benar akan melakukan tranformasi dalam parti dan kerajaan.


Pengumumannya sejak dua minggu lalu mengenai transformasi belum diterima rakyat,” ujarnya. Ditanya sama ada pembangkang akan mengadakan pilihanraya kecil di DUN Penanti dan Bukit Lanjan berikutan wakil rakyat sedang berdepan isu moral dan dakwaan rasuah, Azmin berkata, “Tidak ada pilihanraya kecil di Pulau Pinang dan Selangor..jangan buat spekulasi mengenainya,”.


Turut berada di dewan ketika pengumuman keputusan pilihanraya oleh SPR ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Undi Cina tidak memihak BN


Barisan Nasional (BN) menepati ramalan apabila berjaya mengalahkan Parti Keadilan Rakyat bagi pilihan raya kecil DUN Batang Ai, Sarawak dengan majoriti 1,854 undi. Bagaimanapun harapan untuk menyaksikan BN merampas semula Bukit Gantang dan Bukit Selambau tidak kesampaian.
BN tewas di Bukit Gantang dengan majoriti 2,789 undi dan Bukit Selambau pula dengan 2,403 undi.
Berdasarkan kepada pecahan undi yang diperolehi BN di Bukit Gantang, undi yang diperolehi oleh calon BN, Ismail Saffian bertambah sebanyak 622. Manakala undi calon PAS yang diwakili oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin meningkat kepada 1,845.
Pertambahan undi dan majoriti di Bukit Gantang itu disumbang oleh peningkatan hampir 3% atau 1,327 pengundi yang keluar mengundi.
Pada pilihan raya kecil kali ini 75.1 peratus atau 41,626 orang daripada 55,462 orang telah menunaikan tanggungjawab mereka berbanding 72.65% atau 40,299 pengundi.
Daripada pertambahan undi tersebut, BN memperolehi tambahan undi sebanyak sekitar 60 undi dari DUN Kuala Sepetang yang majoriti pengundinya terdiri dari kaum Cina berbanding undi yang diperolehi pada pilihan raya umum Mac 2008.
DUN Changkat Jering dan DUN Trong pula menyumbang pertambahan lebih 500 undi. Kemampuan calon BN menambah undi di DUN Changkat Jering mempunyai makna tersendiri kerana ia tidak mencerminkan bantahan rakyat kepada keputusan ADUN kawasan berkenaan Kapten (B) Osman Jailu yang meningggalkan PKR untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN.
Manakala PAS pula selain turut mendapat pertambahan undi daripada kawasan majoriti pengundi Melayu iaitu DUN Changkat Jering dan Trong sekitar 800 undi. Pertambahan paling ketara diperolehi PAS ialah daripada DUN Kuala Sepetang, di mana pengundinya majoriti kaum Cina iaitu kira-kira 1,000 undi.
Berdasarkan senario tersebut, isu BN menumbangkan ‘kerajaan Cina’ dipelopori oleh DAP yang pegang kerusi terbanyak dikalangan pembangkang di Perak memang menjadi faktor menyebabkan mereka memberikan undi kepada PAS.
Ia tanda jelas sentimen tebal mereka terhadap hal berkenaan itu.Kelebihan para pengundi Cina di Bukit Gantang ialah mereka menjadi ' undi penentu ' diketika sokongan pengundi Melayu terhadap BN dan PAS tidak banyak berubah.
Mengulas mengenai faktor pengundi Cina tidak memilih BN, Timbalan Presiden UMNO pada sidang medianya Selasa malam memberitahu, BN akan menubuhkan pasukan bebas bagi membuat ‘bedah siasat’ terhadap keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang secara menyeluruh.
Manakala Nizar pula dalam reaksinya menyifatkan keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang itu sebagai pengktirafan kepada kerajaan campuran pembangkang sebelum ini .
Sementara itu bagi DUN Bukit Selambau, PKR menang dengan majoriti 2,403 undi. Calon parti itu memperolehi 12,263 undi berbanding Datuk S.Ganesan yang dapat 10,229 undi. Kesemua 13 calon Bebas yang turut bertanding memperolehi undi terkumpul sebanyak 1,326 undi dan hilang deposit