Showing posts with label Nizar;. Show all posts
Showing posts with label Nizar;. Show all posts

Saturday, September 5, 2009

Nizar hanya mahu perhatian

SEPERTI yang telah dijangkakan, Pakatan Rakyat sekali lagi membuat kontroversi dengan mengadakan ‘sidang ADUN’ tergempar untuk mengambil tindakan kepada Speaker dan timbalan yang sah di atas kesalahan daripada acuan mereka sendiri.

Sekali pandang seperti sebuah filem jenaka atau mungkin mereka merasakan mereka mempunyai bakat dalam bidang lakonan untuk dipertontonkan kepada rakyat negeri Perak, Malaysia dan dunia.

Saya ingin mencadangkan kepada Datuk Seri Nizar untuk membuat sebuah filem kung fu yang paling sesuai buat dirinya dan beliau merupakan pelakon utama.

Kontroversi terbaru ini telah menampakkan kegelisahan di kalangan mereka yang saya percaya ketika ini, orang Melayu khususnya di Perak sudah mula sedar dan insaf, sudah bangun daripada diulit mimpi yang indah, sudah tahu mana kaca dan permata dan yang nyata sekali, bibit-bibit penyatuan sudah mula dilihat di mana-mana sahaja di negeri Perak.

Alhamdulillah. Bersatunya orang- orang Melayu Perak amatlah tidak disenangi dan digeruni oleh Pakatan Rakyat.

Mereka tidak takut dengan kaum lain sebab mereka rasakan kaum lain sudah dalam genggaman mereka mungkin di atas janji-janji yang mempesonakan.

Selepas ini pastinya akan timbul lagi cerita terbaru daripada mereka. Mereka inginkan cerita itu menjadi topik perbualan.

Tanpa cerita terbaru, mereka takut populariti mereka merudum dan sejuk seperti artis yang inginkan gosip, begitu jugalah mereka ini.

Mereka amat takut dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry di atas kejayaan beliau mentadbir negeri.

Gesaan daripada mereka untuk membubar ADUN ialah disebabkan sekiranya ADUN tidak dibubarkan dan ia berlanjutan sehingga pilihan raya umum akan datang, pastinya impian mereka untuk memerintah semula Perak akan hancur.

Tambahan pula, Datuk Seri Dr. Zambry mentadbir negeri Perak dengan baik, pastinya rakyat Perak akan memberi sokongan penuh kepada beliau terutama orang Melayu. Itulah kenyataannya.

Kepada semua orang Melayu Perak, marilah kita bersatu, lupakan persengketaan politik yang tidak menguntungkan yang pasti merugikan kaum kita sendiri.

Kita beri peluang sekali lagi kepada UMNO untuk mentadbir negeri tanah tumpah darah kita yang kita sayangi.

Bersatulah kita di atas nama Islam dan Melayu. Jangan kita ‘menang sorak, kampung tergadai’. Ini adalah tanah tumpah darah kita, peninggalan daripada datuk nenek moyang kita dahulu. Jangan kita ditertawakan oleh orang lain di atas perpecahan kita.

Kepada Dr. Zambry dan pemimpin-pemimpin UMNO negeri, buktikanlah kepada orang Melayu di negeri Perak, berjuanglah demi agama dan bangsa.

Kepada pemimpin-pemimpin di kalangan bukan Melayu, anda mempunyai tugas untuk memastikan bangsa anda bersama-sama dengan kerajaan negeri demi keamanan dan kejayaan negeri Perak.

Kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak, patik merayu di atas perkenan Tuanku untuk melucutkan gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Nizar dan konco-konconya.

Monday, March 30, 2009

Nizar 'rampas' acara BN di masjid Bukit Gantang

TAIPING: Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin 'bertembung' dengan rombongan Barisan Nasional (BN) di Masjid Simpang malam tadi - mencetuskan sedikit kekecohan.

Semalam merupakan hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran BN telah mencuba untuk mengimamkan solat Maghrib.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin ketika dihubungi mStar Online berkata, Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid dan terus mengimamkan solat Maghrib.

Isu tersebut dengan pantas disebarkan menerusi SMS, menjadi bahan kempen dalam beberapa ceramah anjuran BN di bahagian Bukit Gantang.

"Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap selepas Maghrib tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman).

"Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN tetapi beliau datang untuk buat kacau," kata beliau ketika dihubungi.

Rosli yang turut hadir ketika kejadian berkata, tidak berlaku apa-apa kekecohan besar dan kumpulan Nizar telah meninggalkan majlis selepas itu.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir pada majlis tersebut.

Mengulas isu yang sama, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Nizar bertindak keterlaluan apabila cuba mengambil alih jemaah dengan meminta mikrofon daripada imam dan cuba mengadakan ceramah sebelum menunggu Isyak.

Ketika bercakap dengan pemberita selepas memperkenalkan calon BN, Ismail Saffian di Tokong Nyee Wong Kong di sini malam tadi, Zambry berkata, tindakan itu telah dirancang oleh PAS dan sanggup menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik.