Showing posts with label Melayu;. Show all posts
Showing posts with label Melayu;. Show all posts

Monday, June 8, 2009

Bersatulah Melayu demi Agama dan Bangsa


Pribumi Malaysia, terutamanya orang Melayu, sedang dilanda dilema politik dan ekonomi. Hakikat ini tidak boleh dinafikan.


Faktor-faktor penyebabnya berada di depan mata. Kesannya sedang kita rasakan. Implikasinya semakin mencabar. Kalau gagal ditangani, dilema ini boleh menyebabkan nasi menjadi bubur, orang Melayu rugi besar, ayam di kepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan, Tanah Melayu mungkin menjadi milik orang.


Contohnya, satu: kuasa Melayu dalam pemerintahan Malaysia kini semakin hari kelihatan seolah-olah kian terhakis. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 adalah manifestasinya.


Dua: baru-baru ini, UMNO dilanda krisis kredibiliti dan dicemari amalan rasuah politik yang serius. Tindakan disiplin kepada beberapa calon jawatan utama UMNO dalam pemilihan parti berkenaan pada Mac 2009 yang lalu adalah buktinya.
Tiga: pada hujung tahun lalu, wibawa UMNO selaku teras kepada Barisan Nasional (BN) dipersendakan oleh beberapa parti komponen BN sendiri. Kontroversi mengenai ketuanan Melayu dan asal-usul Melayu yang dicetuskan oleh MCA dan Gerakan pada Disember 2008 adalah bukti fenomena ini.



Empat: parti-parti Melayu alternatif, khususnya Pas, juga dalam keadaan yang dipertikaikan. Sikap, gelagat, kenyataan serta tindakan sesetengah pemimpin serta penyokong Pas baru-baru ini menjadikan persepsi ini lebih berasas.



Lima: Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku parti pelbagai etnik yang majoriti pemimpinnya adalah Melayu, kini seakan-akan mempertaruhkan nasib dan masa depan bangsa Melayu kepada segolongan pemimpin politik bukan Melayu, semata-mata kerana pemimpin besar parti berkenaan dikatakan terlalu ghairah untuk berkuasa. Krisis moral pemimpin tertentu dalam PKR kini menjadikan parti itu lebih gawat.



Enam: hak-hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam perdagangan, perniagaan dan pendidikan, kebelakangan ini diungkit-ungkit oleh segolongan bukan Melayu. Desakan terhadap kuota biasiswa pelajar Melayu dan Bumiputera, serta kritikan mereka terhadap kuota 30 peratus dalam ekonomi negara yang dikhaskan kepada orang Melayu dan Bumiputera adalah contoh mengenainya.



Inilah dilema pribumi, khususnya orang Melayu di abad ke-21. Dilema ini perlu segera diatasi oleh semua orang Melayu, professional Melayu, cendekiawan Melayu, parti politik Melayu dan seluruh pemimpin Melayu melangkaui batas-batas kelompok serta ideologi.


Tetapi, perjuangan mempertahankan hak orang Melayu kini menjadi satu daripada dilema politik orang Melayu di abad ke-21. Banyak faktor yang menyebabkan dilema ini. Antaranya adalah seperti berikut.


Pada penghujung 2007, satu pertubuhan haram bernama Hindraf menuduh kononnya UMNO melakukan genocide dan pembersihan etnik ke atas keturunan India di Malaysia. Pertubuhan itu menuntut ganti rugi RM1,000,000 bagi setiap mereka yang terkorban (butiran 12 dalam memorandum Hindraf kepada Perdana Menteri Malaysia 12 Ogos 2007).



Pada 28 November 2008, Ketua Wanita MCA menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak relevan pada hari ini kerana semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara. Beliau menyokong kenyataan seorang Timbalan Presiden MCA mengenai perkara yang sama pada 27 November 2008 (Utusan Malaysia).
Pada 30 November 2008, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan istilah ketuanan Melayu di negara ini tidak sesuai digunakan kerana ia menggambarkan seolah-olah seperti hubungan tuan dengan hamba (Utusan Malaysia).



Pada 6 Februari 2009, seorang pemimpin Pas diberitakan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di Mahkamah Tinggi Ipoh.



Pada 26 Februari 2009, ADUN DAP Skudai di Johor, Dr. Boo Cheng Hau menuduh kononnya dasar-dasar afirmatif untuk Melayu dan Bumiputera adalah serupa dengan dasar aparteid (The Malaysian Insider 26.2.2009).



Pada 14 Mei 2009, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mahu kerajaan mengkaji semula dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah mendapat banyak aduan mengenai pelajar terbaik dari beberapa negeri yang tidak menerima biasiswa tersebut. Beliau juga mahu pemberian biasiswa itu dilakukan berasaskan meritokrasi, dengan tidak menafikan peluang pelajar cemerlang (Utusan Malaysia).



Pada 17 Mei 2009, Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Yong Khoon Seng juga mendesak supaya pemberian biasiswa JPA diberikan mengikut sistem meritokrasi tanpa mengira pelajar itu daripada kaum Bumiputera atau bukan Bumiputera (mysarawak.org 17.5.2009).



Pada 20 Mei 2009, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan meminta Chin Peng selaku bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) diizinkan pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan (Malaysiakini 20.5.2009).



Pada awal Jun 2009, Presiden MIC mengatakan Awang Selamat, kolumnis Mingguan Malaysia, perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan semata-mata kerana kolumnis itu memperkatakan fakta sejarah mengenai etnik India di Malaysia.



Banyak lagi contoh jika mahu dihuraikan satu persatu, temasuklah tuntutan supaya bukan Melayu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apapun, seluruh kenyataan di atas menyebabkan adanya orang Melayu yang mulai bimbang terhadap masa depan bangsa Melayu di Malaysia.



Ada orang Melayu yang mulai dibelenggu dilema siasah. Ada golongan Melayu yang mulai jadi acuh tak acuh terhadap nasib serta kelangsungan bangsanya. Ada pula kelompok Melayu liberal dan universalis yang rela mengetepikan fakta-fakta sejarah bangsanya sendiri.



Kecelaruan seperti ini di kalangan orang Melayu adalah berbahaya. Ia boleh menyebabkan survival bangsa Melayu di Malaysia di hari muka terumbang-ambing bagaikan layang-layang terputus tali.



Inilah dilema politik Melayu di abad 21. Jika sewaktu perjuangan menentang penjajah British pada 1946, orang Melayu sentiasa bersatu padu untuk menjadi kuat dan teguh, hari ini orang Melayu berpecah belah.



Pendek kata, segolongan orang Melayu pada ketika ini sudah tidak lagi menghargai kata-kata Datuk Onn Jaffar pada tahun 1946, bahawa orang Melayu wajarlah melonjak dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa Melayu menerusi perpaduan supaya tanah air dan bangsa Melayu terselamat dan kuat.



Oleh itu, orang Melayu mestilah insaf akan hal ini. Maruah kita sedang dicabar. Masa depan kita terumbang-ambing. Keistimewaan kita dipersoalkan. Raja-Raja Melayu dipersenda-sendakan. Kita perlu kembali bersatu demi masa depan kita bersama.



Kita perlu gabungkan seluruh tenaga dan pemikiran kita untuk mempertahankan Melayu dan ketinggian syiar Islam dalam konteks Malaysia yang majmuk. Kalau kita berpecah belah, kita akan kalah. Kalau kita terus berbalah, kita akan dibelah-belah.



Kalau kita bersatu,
suara dan tindakan kita akan jadi jitu, dihormati dan digeruni oleh pihak kawan dan lawan. Oleh sebab itu, marilah kita bersatu padu demi orang Melayu dan demi rakyat Malaysia seluruhnya.


Orang Melayu juga mesti tidak takut dan tidak gentar untuk memperjuangkan hak dan keistimewaan kita di bumi bertuah ini. Kita tidak perlu curiga untuk menyatakan hakikat bahawa Melayu adalah paksi kepada segala-galanya di Malaysia yang berbilang keturunan.



Sejarah Melayu adalah paksi kepada sejarah Malaysia. Kebudayaan Melayu adalah paksi kebudayaan Malaysia. Kesejahteraan Melayu adalah paksi kepada kesejahteraan Malaysia. Kemakmuran Melayu adalah paksi kepada kemakmuran negara. Kestabilan politik Melayu adalah paksi kepada kemantapan siasah nasional.



Segolongan pihak bukan Melayu yang sering mempertikaikan keistimewaan orang Melayu di Malaysia mestilah insaf bahawa orang Melayu memang sentiasa rela untuk berkongsi kuasa dengan bukan Melayu di negara ini.



Hakikat ini terbukti bila orang Melayu langsung tidak membantah tindakan British menjadikan pendatang Cina dan India sebagai warganegara Malaysia menerusi kemerdekaan tanah air pada 1957.



Tapi, janganlah bersikap seperti Belanda minta tanah: dah diberi seinci, nak lagi sekaki. Janganlah jadi duri dalam daging. Jangan pura-pura lupa kepada sejarah. Jangan dicabar kewibawaan Melayu. Jangan diuji kesabaran orang Melayu.



Hidup kita bersama yang aman, makmur, rukun dan damai selama ini jangan diharu-birukan. Masa depan kita bersama sebagai rakyat Malaysia, jangan digerhanakan dengan tuntutan demi tuntutan yang ekstrem dan melulu. Hormatilah orang Melayu dan Bumiputera sebagai pribumi.

Monday, April 13, 2009

Kuasa penentu Melayu hilang jika terus berpecah

Pembangkang mengatakan konsep Satu Malaysia ia sama seperti konsep Malaysian Malaysia, apa pandangan Tan Sri?
MUHYIDDIN: Ia jauh berbeza, Malaysian Malaysia lain, konsep Satu Malaysia akan diberikan kupasan oleh kerajaan. Tetapi bagi saya penekanan terhadap konsep Satu Malaysia ia menunjukkan kita harus berperasaan Malaysia dan ada rasa tanggungjawab yang sama memajukan negara dan mempunyai cita-cita, wawasan dan visi yang sama untuk menjadi Malaysia sebuah negara yang maju tetapi yang penting ialah soal semangat kerjasama dan perpaduan.

Ia kerana akhir-akhir ini kita lihat ada juga sedikit bunga-bunga berputik perasaan polarisasi, perkauman dan ia dieksploitasikan oleh pembangkang. Mereka membangkitkan perasaan tidak berpuas hati termasuk isu-isu yang sudah disepakati bersama.
Isu-isu ini memerlukan kita melihat semula semua tindakan bagi mencari pendekatan untuk menyatu padukan rakyat, keduanya ialah dari segi melihat peluang pengagihan, nikmat pembangunan bukan dikatakan sama rata tetapi mesti buat secara kesaksamaan bukan kesamarataan, yang mana perlu dibantu, harus dibantu supaya semua orang boleh menikmati kemajuan dalam konteks yang saksama dan paling adil.

Tetapi Pas melalui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat menganggap melalui konsep Satu Malaysia itu, UMNO mula meminggirkan perjuangan terhadap orang Melayu?
MUHYIDDIN: Itu tidak betul kita tidak pernah lari daripada perjuangan asal kita, kita tahu di mana kedudukan kita. Kalau Nik Abdul Aziz berkata begitu, maknanya beliau sudah menerima gagasan UMNO walaupun kononnya Pas tidak menyebut soal Melayu hanya Islam sahaja, tetapi kita sejak dulu lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan itu masih termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan UMNO tidak pernah lari daripada asas perjuangan kita. Namun dalam konteks yang sama dan terkandung dalam Perlembagaan UMNO ialah kita juga perlu membantu bangsa-bangsa lain dalam negara kita yang ada hak dan kedudukan.
UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawab itu tetapi UMNO juga memahami senario dan landskap politik yang berubah pada hari ini, kalau kita mengambil pendekatan yang agak sempit dan tidak mengambil kira tentang senario politik yang sudah berubah orang akan kata UMNO sudah tidak relevan maknanya kita tidak lagi dilihat sebagai mampu membela nasib bangsa kita.

Ini pembaharuan pendekatan yang digunakan oleh Presiden parti dan menunjukkan bahawa kita berlapang dada dan bersikap terbuka tetapi tidaklah kita mengorbankan kepentingan asas kita, kalau kita hanya melihat dari sudut itu tanpa melihat kepada yang lain masalah kita akan lebih besar lagi.

Kalau melihat kepada keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini terutamanya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, ia seolah-olah menampakkan laluan BN masih sukar untuk mendapat sokongan rakyat, apa pandangan Tan Sri?
MUHYIDDIN: Saya fikir paling jelas terbukti masyarakat Cina dan India belum bersedia menerima apa-apa bentuk pimpinan kerajaan yang seperti ada sekarang ini, lebih lagi agak terlalu menonjol ialah terhadap apa yang berlaku di Perak itu sendiri. Sesetengah masyarakat di sana, melihat ia dari sudut yang rasis, kerajaan orang Cina ditumbangkan oleh kerajaan orang Melayu walaupun tanggapan itu tidak betul.

Mungkin mereka tidak berapa jelas cara dari sudut Perlembagaan dan peraturan, maka mereka melihat apa yang berlaku sebagai satu bentuk menolak hak majoriti rakyat, mereka mahu kerajaan dipilih seperti pilihan raya lepas.

Komplikasi ini menyebabkan rasa marah di kalangan orang Cina dan juga masyarakat India, jadi bagi saya itu agak menjadi faktor utama di Bukit Gantang dan kesannya sampai ke Bukit Selambau. Ini jelas apabila ada masyarakat Cina di Bukit Selambau ramai yang tidak keluar mengundi, kita tidak pasti sama ada mereka memboikot atau tidak mahu menyatakan pendirian.

Bagaimanapun petanda lain, kita melihat sokongan orang Melayu meningkat, jadi dari satu sudut ada faktor yang positif kerana masyarakat Melayu mungkin lebih yakin apabila melihat angin perubahan dalam kepimpinan negara, kepulangan Tun Dr.Mahathir Mohamad ke dalam UMNO dan lain-lain usaha yang kita buat untuk menjelaskan isu yang berlaku di Perak sebab itu mereka membantu kita.

Saya fikir ada juga faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan seperti pembangunan, faktor tidak ada keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang menyenangkan rakyat, isu tanah dibangkitkan dan mungkin dari segi bantuan sekolah-sekolah bukan kebangsaan, jadi sama ada faktor ini menggambarkan senario nasional atau pun lokal, kita akan ketahui selepas kita membuat satu kajian oleh badan bebas nanti.
Di Bukit Selambau pun tidak banyak bezanya, mungkin 'angin' yang sama 'bertiup' ke sana dan kesannya hampir serupa, faktor sokongan Melayu hampir positif, kaum India sedikit ada penambah baikan tetapi tidak banyak berubah, jadi ini satu perkara yang perlu kita kaji dan teliti. Tetapi macam di Sarawak, di Batang Air, mungkin disebabkan ia jauh di pedalaman mereka melihat soal pembangunan, jadi mereka melihat kerajaan sebagai satu tempat yang mereka harapkan sangat.
Di Semenanjung pembangunan tidak menjadi isu, mereka melihat kepada isu-isu yang lebih nasional apa lagi dibebankan dengan apa yang dibuat oleh parti pembangkang. Mungkin methodologi yang kita guna masih lama sedangkan mindset baru. Ini kita akan ambil iktibar daripada itu, bagaimana kita hendak mengubah methodologi kepada suatu yang lebih sesuai dengan keadaan dan masa.

Tetapi bukankah setiap kali pilihan raya kecil, permintaan kaum bukan Melayu dipenuhi, malah di Bukit Gantang walaupun peruntukan RM1juta diberikan tetapi kaum Cina tidak juga menyokong BN?
MUHYIDDIN: Ya, kadang-kadang kita berasa terpedaya juga kerana zahirnya nampak macam 'ok', sambutan dengan tepukan gemuruh tetapi mungkin sudah ada tertanam dalam hati iaitu sesuatu tidak mudah hendak berubah, pokoknya masalah isu Perak terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang mungkin telah dipengaruhi dengan sentimen simpati kepada Datuk Seri Ir.Mohamad Nizar Jamaluddin, kononnya dia 'dijatuhkan', lepas itu kononnya dasar memberi pegangan tanah selama 99 tahun dilihat dasar yang menguntungkan.

Ini yang mungkin menyebabkan sukar BN mendapat sokongan walaupun kita fikir bila mereka hendak sekolah Cina dibantu, kita bantu, sepatutnya mereka membalas budi. Pada waktu itu, kita pun tidak berharap sokongan kaum Cina akan meningkat 40 peratus dan sebagainya cuma kita berharap ada peningkatan sedikit tetapi apa yang berlaku ia mencatatkan penurunan, macam tidak ada penghargaan terhadap apa yang kita lakukan.

Oleh itu kita kena kaji psikologi apa yang menyebabkan masyarakat Cina tidak bersedia untuk berubah, pada zaman dahulu tidak begitu.

Persoalannya apakah mereka melihat dalam konteks senario politik baru ini, selepas kerajaan BN tumbang di lima buah negeri, mereka sudah menjadi kuasa penentu? Orang Cina rasa sekarang, walaupun mereka kumpulan minoriti, merekalah menentukan kerana kelompok masyarakat Melayu sudah berpecah tiga kumpulan. Masyarakat Cina tidak berpecah mereka bersatu, setidak-tidaknya dari segi semangat apabila bersama-sama membuat sesuatu keputusan.
Dalam keadaan ini, mereka boleh menentukan keputusan sesuatu pilihan raya dan apabila kesan itu dapat dilihat dalam pilihan raya umum lalu dan beberapa pilihan raya kecil, mereka fikir sekarang mereka lebih ada kuasa penentu, bukan sahaja Cina malah masyarakat India pun begitu, apa tah lagi apabila mendapat kedudukan dalam kerajaan yang ditubuhkan pakatan pembangkang dengan menjadi Timbalan Ketua Menteri, Speaker dan exco kerajaan negeri, jadi ini bagi mereka seolah-olah tawaran yang diberikan oleh pihak sana lebih baik daripada kita pernah tawarkan dalam konteks BN, jadi ini kita harus teliti.

Apakah situasi ini yang mendorong Tan Sri membuat seruan supaya semua orang Melayu bersatu kembali di bawah UMNO?
MUHYIDDIN: Saya membuat seruan itu kerana saya berpendapat dalam situasi sekarang ini, orang Melayu sudah banyak berpecah, faktor antara lain apakah kerana ia kelemahan UMNO yang tidak memahami cita rasa orang Melayu atau kerana ia perbuatan yang dilakukan oleh sesetengah kelompok contohnya Anwar Ibrahim yang memberikan kononnya satu gagasan baru atas dasar keadilan dan kesamarataan, ada sesetengah kelompok yang terpedaya, jadi dengan sebab itu selagi Melayu berpecah, saya bimbang kelompok majoriti akan menjadi minoriti.

Teras pembangunan negara kita adalah berasaskan kepada suatu jumlah masyarakat Melayu yang agak besar tetapi terpisah atau dipecahkan oleh perbezaan politik yang begitu ketara, dalam masa yang sama di pihak sana pula bukan Melayu menjadi penentu, inilah yang saya kata sudah berubah landskap politik negara kita, dan kalau hal sebegini berterusan apakah ia akan menguntungkan Melayu?

Bila saya berkata demikian bukanlah bermakna bukan Melayu akan rugi, orang bukan Melayu tidak akan rugi kerana mereka sudah maju, berjaya menguasai bidang ilmu dan ekonomi dan sebagainya. Bagaimana dengan masa depan orang Melayu?
Apakah orang Melayu akan terjamin dengan situasi sebegini? Saya sudah mendapat banyak maklum balas bahawa orang Melayu berasa bimbang, mereka memikirkan soal generasi Melayu akan datang, macam mana nasib anak cucu kita. Perasaan ini wujud kerana mereka merasakan kedudukan orang Melayu sudah mula tergugat, kuasa politik Melayu melalui UMNO sudah tergugat, sedangkan dahulu kita jadi teras kita adil, saksama dan kita bantu semua kaum.

Kita menolong orang Melayu lebih kerana orang Melayu miskin, orang Melayu belum ada banyak harta dan orang Melayu belum menguasai kekayaan ekonomi dan sebagainya, jadi kita bantu beri pendidikan, biasiswa dan bantuan macam-macam lagi. Sebenarnya agenda pembangunan umat Melayu belum beres, sekarang tercabar dengan sebab berbeza politik menyebabkan orang Melayu berpuak-puak.

Oleh itu saya fikir formula yang mudah bagaimana hendak mengembalikan orang Melayu dalam satu saf. Saya tahu ia bukan mudah untuk meletakkan mereka dalam satu saf dan wadah yang sama. Kebimbangan saya orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu, orang Melayu yang majoriti sepatutnya menjadi penentu sudah tidak menjadi penentu.

Justeru bagi kita kalau boleh sebaik mungkin mereka bernaung di bawah sayap UMNO, tetapi UMNO yang relevan dan memahami cita rasa rakyat, UMNO yang adil, UMNO yang lebih bersedia untuk melihat dengan lebih saksama, ini kita kena fikirkanlah.