Showing posts with label Kedah;. Show all posts
Showing posts with label Kedah;. Show all posts

Monday, May 10, 2010

Kerajaan PAS + PKR Kedah bakal Tumbang


BN Kedah: Sama ada pilihan raya baru atau kerajaan tumbang

KUALA LUMPUR, 7 Mei 10 — Barisan Nasional (BN) Kedah membayangkan mempunyai peluang cerah untuk melihat beberapa Adun Pakatan Rakyat akan keluar parti komponennya, sekali gus mengubah landskap pentadbiran negeri semasa.


Sehubungan itu, Umno salah satu komponen BN meramalkan sama ada Kedah akan berubah tangan ataupun sekurang-kurangnya membawa kepada pilihan raya umum negeri yang baru. Umno melihat kemungkinan tersebut berdasarkan perbezaan empat kerusi DUN antara Pakatan Rakyat dan BN yang mendakwa menerima sokongan wakil rakyat Bebas.

Awal tahun lalu kerajaan negeri Perak Pakatan Rakyat tumbang selepas tiga adun - masing-masing dua dari PKR dan satu wakil rakyat DAP keluar parti dan menjadi Adun Bebas mesra BN.

“Saya lihat ada peluang (untuk beberapa Adun Pakatan) keluar parti... saya melihat kemungkinan itu kerana sudah ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Nawawi juga berkata, pihaknya mempunyai maklumat beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat juga tidak berpuas hati dengan parti masing-masing buat masa sekarang. Percaturan Umno-BN ialah antara dua hingga tiga Adun kemungkinan keluar. Bagaimanapun Nawawi enggan menyebut nama Adun yang berpotensi untuk keluar Pakatan Rakyat itu.


“Jika dua wakil rakyat parti (komponen Pakatan) keluar bermakna keseimbangan anggota di DUN iaitu 18:18... sama di pihak Pakatan dan juga BN, jika ini berlaku kerajaan negeri tidak boleh berfungsi, dan pilihan raya umum negeri perlu diadakan, tiada pilihan.

“Jika tiga wakil rakyat keluar dari Pakatan, kami akan ada sokongan lebih satu kerusi iaitu 19:17. Dalam keadaan ini, BN boleh mengambil alih kerajaan, seperti yang berlaku di Perak,” katanya lagi.

Akhir bulan lalu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau tidak khuatir jika masih ada Adun daripada Pakatan Rakyat bertindak keluar parti sehingga menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu. Sebaliknya, beliau telah bersedia Show All menghadapi segala kemungkinan termasuk membubarkan DUN jika ia benar-benar berlaku.

“Saya dengar macam-macam cerita sehingga sudah ada di antara Adun Umno yang bercakap siapa bakal menteri besar, tetapi saya langsung tidak khuatir kerana jika ini (lompat parti) benar-benar berlaku, saya akan bubar DUN dan kita pulang semula kepada rakyat untuk menjadi hakim,” katanya.

Sehingga kini kerajaan yang dipimpin Pakatan Rakyat sudah kehilangan dua wakil rakyatnya apabila dua Adun daripada PKR iaitu Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang) bertindak keluar parti.

Radzhi keluar tahun lalu manakala Tan bulan lalu ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor. Kedua-duanya mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas. Kerajaan Kedah kini menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah itu PAS menguasai 16 kerusi, PKR tiga dan DAP satu kerusi.

BN mempunyai 14 kerusi termasuk Kota Siputeh yang masih berada pada peringkat Mahkamah Rayuan selepas Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail tidak mengiktiraf Datuk Abu Hasan Sarif sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan DUN Kota Siputeh sebagai kosong berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah selepas Abu Hasan didapati gagal menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut. Kedah merupakan salah satu daripada lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul pula memberitahu The Malaysian Insider bahawa BN dengan “agresif” cuba mendampingi wakil rakyat Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini khususnya anggota PKR untuk mendapatkan sokongan mereka.

Pun begitu Johari juga melahirkan keyakinan kemungkinan wakil rakyat Pakatan Rakyat akan bertindak keluar parti tidak mungkin berlaku.

“Kami ada menerima laporan mengenai perkara ini. MB juga menyedari perkara ini memandangkan kesemua mereka yang telah didampingi BN telah memaklumkan kepada beliau.

“Mustahil perkara itu akan berlaku,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.






Bookmark and Share





1,700 ahli, penyokong PKR Padang Serai keluar parti

Kira-kira 1,700 ahli dan penyokong PKR dalam kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim/Bandar Baharu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai MIC, malam tadi.

Diketuai pemimpin PKR Padang Serai, K Letchumanan, mereka menyerahkan borang menyertai MIC kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Mohd Hanipah di Paya Besar, Lunas, dekat Kulim.

Hadir sama di majlis tersebut ialah setiausaha BN Kedah Datuk Paduka Rodzai Sufian, pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew, setiausaha Umno Kedah Datuk Ir Nawawi Ahmad dan pengerusi MIC Kedah S. Ananthan.

Letchumanan, pengusaha bas ekspres berkata mereka mengambil keputusan keluar parti kerana bosan dengan janji kosong pemimpin PKR terutama ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang disifatkan "cakap tak serupa bikin."

Katanya mereka yang keluar parti itu ialah dari 10 cawangan iaitu Jalan Kuta Raja (Paya Besar), Taman Saderi, Taman Makmur, Taman Mutiara (Sungai Kob), Taman Sungai Kob, Taman Ria, Pekan Padang Serai dalam Parlimen Padang Serai dan cawangan Padang Buluh dan Dublin Pusat di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu.

Ahmad Bashah mendakwa ramai lagi penyokong dan anggota PKR dan PAS di Kedah dijangka keluar parti untuk menyertai BN tidak lama lagi.

Ananthan yang juga Ketua MIC Kulim/Bandar Baharu berkata perkembangan itu menunjukkan masyarakat India di Kedah telah sedar kesilapan mereka menyokong pakatan pembangkang.

Katanya Pusat Khidmat Masyarakat MIC DUN Lunas di Taman Cekur Manis telah menyelesaikan lebih 2,000 masalah yang dihadapi penduduk.

- Bernama



Bookmark and Share

Monday, March 29, 2010

Mengapa wakil rakyat BN Kedah hanya membisu?


PADA keseluruhannya rakyat Kedah di mana pun sekarang ini tidak senang dengan kerajaan negeri. Ini boleh didengar di kedai-kedai teh tarik, di surau-surau dan di pejabat-pejabat kerajaan.

Tetapi yang menghairankan saya, mengapakah perasaan rakyat ini tidak disuarakan oleh wakil-wakil BN dalam Dewan Undangan Negeri Kedah atau menerusi akhbar bagi menunjukkan mereka prihatin kepada suara rakyat itu?

Bekas Menteri Besar Kedah juga nampaknya membisu seribu bahasa.

Lebih buruk lagi apabila seluruh negara telah mengetahui ada wakil rakyat negeri Kedah yang ponteng tidak menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat.

Keadaan di Kedah itu berbeza dengan kegigihan kebanyakan ADUN BN Selangor yang sentiasa aktif membangkitkan berbagai rasa tidak puas hati rakyat negeri itu daripada yang sekecil-kecilnya hingga kepada masalah yang sebesar-besarnya, daripada masalah mengenai agama sehingga kepada soal ekonomi dan politik.

Kebisuan ADUN BN Kedah seolah-olah memberi gambaran bahawa rakyat berpuas hati dengan kerajaan Pas yang ada sekarang atau menampakkan sebenarnya wakil-wakil BN adalah terdiri daripada mereka yang tidak menjalankan tugas untuk mendekati rakyat bagi mendengar keluh-kesah mereka.

Sesungguhnya keadaan sebenarnya di Kedah sekarang begitu teruk. Selain tidak adanya projek-projek pembangunan untuk rakyat, sekitar kampung dan bandar tidak dapat dikawal kebersihannya. Peniaga-peniaga liar terdapat di sana-sini malah rumah pun dijadikan pasar ikan.

Penduduk kawasan perumahan sekitar bandar Alor Setar hidup dalam persekitaran yang busuk dan semak-samun, lalang liar dan rumput memanjang tidak dipotong dan sampah-sarap terbiar di sana sini, tidak diangkut mengikut jadual seperti semasa Barisan Nasional berkuasa dahulu.

Sesiapa yang tidak percaya, silalah berkunjung ke Taman Uda dan lain-lain taman di Jalan Sultanah.

Saya penduduk di kawasan ini sedang merancang untuk menghantar sampah-sarap yang tidak diangkat berhari-hari ke rumah Menteri Besar Kedah tetapi setakat ini, kami masih bersabar untuk melihat sejauh manakah masalah ini akan berlarutan.

Untuk mengatasi anggapan buruk rakyat, wakil-wakil rakyat Pas, ADUN dan Parlimennya mendakwa di sana sini beberapa projek besar sedang dijalankan seperti jambatan di Jalan Persekutuan berhampiran dengan Kelab Golf Permaipura Bedong sebagai hasil daripada permintaan wakil rakyatnya sedangkan itu ialah projek yang diluluskan sejak zaman Barisan Nasional lagi.

Berbagai pembohongan dilakukan oleh wakil-wakil rakyat Pas di Kedah sekarang ini untuk menyelamatkan diri mereka daripada kemarahan rakyat.

Tidak ada lagi kegiatan sosial, aktiviti belia dan wanita di kampung-kampung seperti dahulu.

Wakil rakyat Pas datang untuk menunjukkan muka dan sembahyang bersama orang kampung tetapi tidak dapat memberikan apa yang diminta oleh rakyat atau mengatasi masalah dan rungutan yang timbulkan oleh mereka.

Bagaimanapun adalah dikesali, wakil-wakil rakyat BN dalam Dewan Undangan Negeri Kedah seperti tidak mengetahui semua ini atau mereka mempunyai sebab untuk tidak bersuara dan tidak membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat ini kerana masing-masing merasa terancam untuk membangkitkannya?




Bookmark and Share



Friday, January 1, 2010

Pas Kedah kian selesa?


Menghampiri dua tahun pentadbiran kerajaan Pas di Kedah, timbul tanggapan umum bahawa rakyat Kedah merasa cukup selesa.

Persoalan pentingnya, benarkah rakyat Kedah yang berjumlah 1.8 juta orang benar-benar selesa dan menerima corak kepimpinan kerajaan Pas di Kedah?Adakah ini bermaksud Pas akan berterusan memerintah Kedah seperti mana legasinya di Kelantan?

Apakah ini petanda bahawa UMNO dan BN Kedah tidak lagi signifikan di hati rakyat Kedah?

Dari sudut yang lain dapat dinukilkan kerajaan Pas di Kedah hanya berada dalam keadaan syok sendiri dan mengambil kesempatan dengan mendakwa semua projek pembangunan yang telah pun dirancang hampir lima atau enam tahun yang lampau sebagai usaha mereka?

Bukankah ini menipu namanya, lembu yang teruk sapi mendapat nama?

Hakikatnya di Kedah banyak isu yang belum terjawab dalam bentuk tindakan pro-aktif oleh kerajaan Pas. Misalnya isu kebajikan dan kemiskinan rakyat. Walhal sebagai kerajaan yang mendakwa memperjuangkan Islam, itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Tertunai sudahkah kesemua janji dalam manifesto 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'? Tiadanya masalah dalam pentadbiran kerajaan Pas adakah menjadi penanda aras bahawa mereka cekap dalam menguruskan kerajaan?

Ataupun masalah tidak berlaku kerana Pas tidak melakukan apa-apa, sekadar duduk diam dalam zon selesa?

Satu persoalan yang amat tidak masuk akal seandainya tidak wujud sebarang cacat cela dan kelemahan pemerintahan Pas di Kedah.

Namun harus juga diteliti kelemahan mereka gagal dikesani dan dicungkil kesan ketidakmampuan pembangkang yakni UMNO dan Barisan Nasional untuk mengetengah dan mempersembahkan isu-isu penting yang sedang dihadapi rakyat.

Misalnya isu pembalakan, peranan kaum keluarga dan rakan rapat Menteri Besar dalam pentadbiran serta salah guna dana syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Jika dinilai secara luaran memang tidak banyak isu yang boleh diketengahkan sepanjang pentadbiran kerajaan Pas di Kedah. Ada dua faktor yang menjadi penyumbang.

Pertama, kerana Pas tidak melakukan apa- apa. Apabila sebarang perubahan, kemajuan atau usaha tidak dilakukan atau takut untuk dilaksanakan maka tidak akan adalah apa jua isu yang boleh dibangkitkan. Ibarat kata pepatah Inggeris 'no news mean good news'.

Keduanya, Pas mengambil sikap lepas tangan dalam banyak perkara. Ambil sahaja contoh program penswastaan pelupusan sisa pepejal dan pengurusan air negeri.

Tanggungjawab yang sepatutnya dibereskan di atas amanah negeri kini dilepaskan beban kepada Kerajaan Pusat.

Alasan Pas Kedah cukup mudah, ini semua kesan lulusnya Akta Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan penubuhan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

Lantas jika pun berbangkit apa jua isu berkaitan dua hal tersebut selepas ini, maka Pas akan dengan mudah menuding jari, bahawa ini bukan lagi tanggungjawab mereka.

Mengambil pemerintahan negeri bukan sekadar memiliki asetnya tetapi harus turut sama menanggung liabilitinya.

Apa yang dapat diperhatikan, banyak isu penting yang melibatkan negeri lazimnya dijawab secara berseloroh dan sinis oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abd. Razak atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Azizan.

Ini berlaku sama ada dalam sidang Dewan Undangan Negeri mahupun kenyataan dalam media massa. Wajar bagi kepimpinan kerajaan Pas misalnya menghurai dan menjelaskan secara fakta dan jujur berhubung beberapa item berikut.

Peluang ekonomi untuk rakyat bertambahkah? Meningkatkah pelaburan luar di Kedah sepanjang Pas memerintah? Bagaimana dengan projek mega seperti pusat penapisan minyak di Sungai Limau (SULIH)?

Bagaimana pula dengan isi rumah yang miskin? Adakah ia sudah berkurang? Jika berkurang berapa peratusannya? Banyakkah peluang pekerjaan untuk belia Kedah? Apa mekanisme yang telah dijana bagi menghalang penghijrahan anak muda Kedah ke negeri lain untuk mencari nafkah?

Kadar jenayah yang kian meningkat, pertambahan gejala sosial dan pembukaan banyak pusat hiburan yang boleh merangsang kepada masalah sosial, sudahkah diselesaikan secara serius?

Kadangkala terfikir di benak fikiran, apa tugas hampir 10 orang anggota Exco yang ada? Sekadar menikmati elaun dan gaji bulanan yang hampir mencecah RM18,000 sebulan selain melaram dengan kereta rasmi, atau sudah adakah petunjuk kejayaan dasar, program dan aktiviti yang ada substance serta kesannya kepada masyarakat di Kedah?

Ukuran kemampuan memerintah dan mentadbir sesebuah kerajaan bukan sekadar bersandar pada gelaran ustaz ataupun yang hanya pandai bercakap bahasa Arab dan Inggeris. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pemimpin diukur berdasarkan apa projek pembangunan yang telah direncana dan dilaksanakan. Sehinggakan kesan pembangunan berkenaan mampu mencambahkan peluang ekonomi pelbagai.

Kesungguhan pemimpin tidak terletak berdasarkan kepandaian memberi alasan dan menyalahkan orang lain atas apa yang dihadapinya kini. Akan tetapi diukur menerusi kebijaksanaan melerai kekusutan lalu dan melihat apa jua masalah sebagai satu peluang.

Kehebatan pemimpin dinilai mengikut sumbangan, legasi yang ditinggalkannya sehingga boleh dikenang dan dibangga oleh seluruh rakyat. Pemimpin bukan sekadar pentadbir yang hanya datang ke pejabat melakukan tugas rutin, cukup bulan beroleh gaji.

Pemimpin sebenar memotivasi rakyat, menjadi pencetus perubahan, memahami keluh kesah rakyat dan berani mengatasi kemelut yang dihadapi masyarakat.

Di samping itu, pemimpin patut mengepalai tuntutan kemajuan, memimpin rakyat bagi mencapai faedah dibidang sosial, ekonomi, agama dan kemasyarakatan.

Pemimpin yang berkesan akan bersungguh-sungguh dalam membela rakyat dan tidak sekadar memenuhi kehendak penyokong parti. Pemimpin sejati adalah yang tahu apa yang dilakukannya, memberi manfaat kepada masyarakat di atas apa yang dilakukan dan cekap dalam menggalas amanahnya.

Bukan hanya pandai memberi kuliah bulanan di kediaman rasmi ataupun petah bercakap semasa dihadapkan soalan media.

Apa yang lebih utama ialah dinamika dalam bekerja dan tidak sekadar pandai berjanji namun akhirnya tidak mampu dipenuhi.

Jika syarat-syarat dan ciri kepimpinan sebegini mampu diperkasa barulah tampak jelas dan akan terasa impak 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'.



Bookmark and Share



Monday, September 28, 2009

Saya berhari Raya di Kedah Darul Aman. Setiap tahun begitu. Iyalah, sememangnya kampung halaman saya di Alor Setar. Setiap kali Aidulfitri, saya akan


Saya berhari Raya di Kedah Darul Aman. Setiap tahun begitu. Iyalah, sememangnya kampung halaman saya di Alor Setar. Setiap kali Aidulfitri, saya akan menyusun "tour" Hari Raya bermula dari Alor Setar, kemudian ke Pendang, Guar Chempedak, Sg. Petani dan akhirnya kembali semula ke Alor Setar. Begitulah rutin kami di Hari Raya Aidilfitri.


Namun, setiap kali Aidilfitri disambut, masalah terbesar Alor Setar yang sudah sekian lama akan kembali ke benak fikiran. Komplen mulut sudah, komplen bertulis pun sudah dibuat. Dari zaman pemerintahan BN di Kedah sehinggalah kini, masalah sampah masih lagi menghantui penduduk Bandaraya Alor Setar. Kebetulan rumah ibu ayah saya terletak di dalam kawasan Alor Setar, maka keluarga saya turut "terseksa" akibat kemelut bau busuk sampah, jijik dan kekotoran kawasan masyarakat setempat. Dah "potong mood" untuk beraya, busuk!!! Sakit mata memandang! Alhamdulillah rumah saya jauh dari tong sampah, namun pada Pak Man dan Pak Sa'ud yang rumah mereka betul-betul depan tong sampah, hanya Allah yang tahu betapa seksanya mereka selama ini!


Ketika pemerintahan BN, masalah sampah ini sering dijadikan "modal" oleh pihak pembangkang PAS, PKR mahupun DAP. Mereka pernah menuduh bahawa BN tidak komited dalam kebersihan Alor Setar yang kini statuskan sebagai "bandaraya". BN dituduh tidak mengutamakan rakyat setempat. BN dikatakan gagal menyelesaikan masalah asas kehidupan rakyat. BN dikatakan tidak membuat kerja. Malah BN pernah dikatakan tidak prihatin terhadap masalah dan rungutan rakyat.


Namun, BN ketika itu tidak cepat melatah. BN telah membawa masalah ini untuk diutarakan kepada Kerajan Pusat. Dan hasilnya, BN Kedah telah berjaya menyakinkan Kerajaan Pusat untuk membantu menyelesaikan masalah ini dengan satu mekanisma yang lebih praktikal. Dikhabarkan bahawa E-Idaman, sebuah syarikat GLC kecil dibawah "Khazanah" telah ditubuhkan untuk mengambil alih segala penyelenggaraan sampah yang semakin kritikal di Alor Setar. Semua pekerja MBAS yang terlibat juga dikhabarkan diberikan pilihan "win-win situation" yang terbaik dan perkara ini disambut baik oleh para pekerja yang terlibat. Dikhabarkan bahawa insentifnya begitu menarik. Namun apakan daya, BN Kedah tewas pada PRU 12 yang lepas. Maka, perkara baik ini tertangguh buat sementara waktu.


Pakatan Rakyat pula yang berkuasa penuh di Kedah dibawah Ustaz Azizan Razak yang tidak pernah bermimpi atau menyangka bahawa dia akan menjadi seorang MB. "Bidan terjun" ini, bersama Exco-Exco "bidan terjun"nya pun mengayuh langkah meneruskan pentadbiran BN sebelum ini. Tiada yang baru atau idea perubahan hebat pun yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Semuanya di"tiru" bulat-bulat! Semua dasar BN sebelum ini diteruskan oleh PR, termasuklah soal SAMPAH di Alor Setar.


Pada awalnya, si Mahfuz pernah menyelar MBAS kononnya MBAS "sengaja" sabotaj Kerajaan PR Kedah. Padahal masalah sampah ini sudah timbul sejak kerajaan BN sebelum ini lagi. Apakah ketika itu MBAS juga cuba men"sabotaj" kerajaan BN? Dangkal benar dakwaan fitnah si Mahfuz ini. Mungkin orang-orang PAS akan tertipu dengan dakwaan "rendah IQ"nya itu. Dakwaan Mahfuz ini dikhabarkan telah menimbulkan ketidakpuasan hati staf MBAS. Namun, didiamkan saja kerana tidak mahu dibuang kerja oleh "tangan ghaib". Begitulah di peringkat awal pemerintahan PR di Kedah mengenai sampah di Alor Setar.


Setelah melihat tiada sebarang tindakan untuk menangani permasalahan SAMPAH di Alor Setar ini, saya secara peribadinya telah mengemukakan aduan bertulis kepada pihak Kerajaan PR Kedah. Pada mulanya, saya berbesar hati apa bila aduan saya mendapat perhatian dari pihak Kerajaan Negeri apabila saya menerima surat maklum balas mengenai hal ini. Namun, tunggu punya tunggu punya tunggu, bulan tak timbul-timbul.


Hampehhh! Masalah sampah lebih teruk! Sampah melimpah sampai masuk ke longkang. Longkang tersumbat akibat sampah dan ini telah menyebabkan rumah ibu ayah saya dimasuki air apabila hujan lebat. Banjir satu rumah. Penatlah juga ibu ayah saya yang sudah tua itu "menimba air" keluar dari rumah. Banyak jugalah perabot dan pekakas elektrik yang rosak. Nampaknya kerajaan PR Kedah yang baru ini lebih teruk "performance"nya. "Dulu depa kata kat BN, la ni depa lagi teruk pulak dahhh...silap la aku bagi undi kat "depa" dulu" itu adalah antara rungutan "pak-pak lebai" kejiranan setempat yang sebelum ini tertampal lambang "bulan"! Haru...!!!


Atas dasar 1Malaysia dan rakyat diutamakan, maka dikhabarkan oleh Azizan Razak bahawa November ini Alor Setar akan "bebas" dari masalah SAMPAH. Dikhabarkan olehnya bahawa sebuah syarikat swast akan menangani masalah sampah di Alor Setar. Tidak pula dikhabarkan olehnya dari mana syarikat itu "muncul". Tidak diberitahu pula "atas usaha siapa" masalah ini diselesaikan. Tidak pula dikhabarkan mengenai sebab "sebenar" penangguhan dari September sehingga diimplimentasikan pada November 2009. Tidak pula diwar-warkan "jasa" siapa yang prihatin mendengar rintihan rakyat! Namun bagi saya, biarlah! Lambat laun rakyat yang "cerdik" akan sedar juga mengenai "lembu punya susu, sapi dapat nama". Samalah sebagaimana kes projek "penapisan minyak", macam bagus je dia dapat nama masa majlis tandatangan kontrak tu!


Apa-apa pun, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang di "sebalik tabir" terhadap masalah rakyat Alor Setar ini. Nampaknya "pihak di sebalik tabir" ini begitu komited dengan keprihatinan terhadap rungutan rakyat yang sudah berdekad lamanya. Harap selepas ini Alor Setar akan "bersih" kembali. Jangan ada pula yang kata "depa di sabotaj"! Nak kena "smash" la tu! Tahniah kepada warga Alor Setar. Harapnya warga Alor Setar akan bekerjasama menjaga kebersihan Bandaraya tersayang itu. Bukan apa, dah muak tengok sampah berlonggok berulat tak terkutip setiap kali Raya!









Bookmark and Share



Tuesday, September 1, 2009

DUN Kota Siputerh kekal di tangan BN

DUN Kota Siputerh kekal di tangan BN
01/09/2009 4:55pm


PUTRAJAYA 1 Sept - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan status quo kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah kekal di tangan Barisan Nasional.
SPR mengumumkan demikian melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini

Thursday, August 27, 2009

Pimpinan Pas Kedah jangan hipokrit

RAMADAN menuntut umat Islam supaya tidak bersikap berpura-pura, hipokrit, "mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih."

Justeru, kenapa balasan pahala puasa akan dibalas oleh Allah SWT memandangkan perilaku puasa, rahsia puasa, hanya antara Allah dan orang yang melakukannya.

Walhal ibadat-ibadat lain dapat dilihat dengan mata kasar, namun puasa mendidik umat Islam, supaya bersikap telus, benar dan ikhlas, lagi jujur dalam tindakan, kata-kata mahupun perbuatan.

Maka selaras dengan mauduk puasa, penulis cukup hairan dengan sikap Pas Kedah.

Apabila Radzi Salleh mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN berstatus bebas, maka segala keburukan beliau, bermula dengan tuntutan perjalanan yang tidak masuk akal, masalah disiplin sehingga dilihat sebagai satu liabiliti kepada kerajaan Pas di Kedah mula diungkit dan disebarkan.

Persoalannya, kenapa semasa beliau masih ahli PKR dan menjawat jawatan Exco Pelancongan, Sumber Manusia Negeri, salah laku sebegini didiamkan oleh pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas?

Ini menampakkan watak sebenar Islamisasi Pas. Jika orang berkenaan masih dalam saf perjuangan mereka, walau berbuat salah yang besar sekalipun maka akan didiamkan. Sebaliknya jika sudah keluar daripada jemaah mereka, maka akan dibesar-besarkanlah kesalahan tersebut.

Ini mengundang persoalan etika yang cukup besar, bahawa dalam konteks pentadbiran sama ada orang itu sanak-saudara, kawan ataupun teman gabungan, maka jika bersalah, berbuat sesuatu yang salah dan dilihat atau dipersepsikan membuat sesuatu yang salah - sepatutnya tindakan wajar segera diambil.

Dalam hal ini kenapa sirah Rasulullah SAW tidak mahu diikuti. Panduan ikutan telah ditunjukkan oleh Baginda apabila bersabda: "Jika yang mencuri itu Fatimah puteriku, nescaya akan ku potong tangannya." Inilah konsep pentadbiran adil lagi berhikmah.

Namun tampak jelas, politik hipokrit terus menjangkiti saf pimpinan Pas di Kedah.

Lihatlah betapa rakusnya Speaker DUN Datuk Dr. Mohd Isa Ismail yang terus menghantar notis pengosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya kerana tidak mahu egonya jatuh disebabkan ketidakhadiran ADUN Kota Siputeh, Abu Hassan Sharif, sebanyak dua kali dalam sidang DUN, walhal untuk kali kedua, sijil sakit telah pun dihantar.

Suatu ketika dahulu Speaker yang sama, menghantar makluman yang lebih kurang sama kepada SPR, berhubung isu kemuflisan ADUN Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, tanpa terlebih dahulu menunggu "arahan dan perintah mahkamah" berhubung status itu.

Bukan pimpinan Pas tidak faham, proses mahkamah jika dijatuhkan hukuman, masih ada proses rayuan.

Akibat kegelutan dan keghairahan mahu menunjukkan kuasa, maka kebajikan rakyat terabai, sebaliknya kerusi DUN yang mahu diintai.

Sama juga sifat tipikal Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas, merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, yang dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas di Permatang Pasir.

Sebagai pengundi di Parlimen Pokok Sena, penulis berasa hairan dengan sikapnya. Beliau boleh berada di dalam banyak majlis, dalam banyak keadaan bersama pimpinan PKR misalnya Anwar Ibrahim.

Beliau begitu sibuk memperkatakan perihal peribadi calon Rohaizat Osman, beliau sibuk berkomentar tentang sikap dan masalah salah laku Radzi.

Namun yang lebih menghairankan penulis, beliau tidak pun sibuk bersama pengundi dan rakyat di Pokok Sena, tatkala banjir, ribut yang melanda baru-baru ini.

Beliau lebih sibuk memperkatakan tentang banyak perkara. Tentang hal dunia, ISA, kepincangan pentadbiran negara, walhal kepincangan dan kelemahan khidmat beliau di kawasan yang beliau wakili bersama rakan-rakan Pas yang lain tidak beliau endahkan.

Masih banyak isu kemiskinan, pembelaan kebajikan rakyat, hala tuju kemajuan ekonomi, peluang perniagaan, pengangguran di kawasan beliau.

Bila penulis mengajaknya berbincang dan berdebat berhubung isu-isu dasar di Parlimen Pokok Sena, pelawaan diperlekehkan hanya kerana jawatan beliau yang cukup tinggi dalam Pas.

Sedangkan isu yang mahu dibicarakan adalah antara pengundi dan beliau sebagai Ahli Parlimen di satu kawasan yang beliau wakili.

Islam tidak mengajar umatnya bersikap hipokrit dan bongkak.

Islam menuntut umatnya melakukan dakwah, kebaikan di kalangan keluarga sendiri terlebih dahulu, jiran, masyarakat sekitar, kampung, negeri barulah negara.

Jika prinsip ini dilaksanakan tentulah pentadbiran Pas di Kedah dan sikap pimpinan Pas negeri itu tidak akan haru-biru jadinya.

Justeru pesan penulis kepada pimpinan Pas di Kedah, "jangan kuman di seberang lautan boleh nampak dan kelihatan, namun gajah di depan mata, dipandang pun tidak".

Sebagai kerajaan yang diberi mandat, selesaikan dulu keperluan rakyat Kedah, pengundi setempat daripada mahu berlagak menjadi hero negara. Walhal pengundi terabai, aspek sosioekonomi terbengkalai dan segala janji manis pilihan raya dulu kini ibarat bangkai.


Bookmark and Share

Saturday, August 8, 2009

Ada apa2 ker di Kedah sampai esok ada sidang akhbar khas?

Sidang Akhbar Khas Esok, Jam12 Tengahari Di Mentaloon

Ketua Whip Dewan Wakil-Wakil Rakyat PR Kedah (ADUN PR) YB Dato' Hj Phahrolrazi Zawawi akan memanggil sidang akhbar esok, jam 12 tengah hari bertempat di kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon.

Sidang ini bertujuan menzahirkan solidariti Adun-Adun PR yang dikhabarkan sedang ditawarkan ganjaran untuk melompat ke 'seberang sana'



Bookmark and Share

Thursday, July 2, 2009

Babi punya hal...kerajaan campuran pembangkang Kedah pecah

Kerajaan campuran pakatan pembangkang Kedah retak apabila DAP negeri itu mengisytiharkan keluar daripada pakatan tersebut kerana tidak berpuashati dengan cara kerajaan PAS tangani isu rakyat lebih khusus sebab rumah sembelihan babi.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su yang mengumumkan keputusan DAP negeri itu selepas satu mesyuarat tergempar petang Rabu berkata, keputusan tersebut kerana DAP tidak berpuashati dengan tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBSA) meroboh rumah penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar.

Serentak dengan keputusan itu difahamkan, satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kawasan Kota Darul Aman dalam kerajaan campuran pembangkang, Lee Guan Aik menjadi pembangkang. Isu ini tentunya akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat DAP esok (Khamis) dan seterusnya di peringkat majlis pimpinan pakatan pembangkang

Thursday, April 23, 2009

Ini sahaja pencapaian PAS Kedah?


Ini sahaja kah pencapaian kerajaan PAS di Kedah?? Tiada nombor untuk disokong fakta dan data. Tiada pelaburan asing,tiada kilang multi nasional masuk ke Kedah, kebajikan rakyat yang dijanji tidak tertunai, ramai yang diberhenti kerja, kerajaan negeri asyik berpolitik, PBT yang tidak efisien..pastinya PR13 PAS akan tersungkur di bumi Kedah.