Thursday, May 8, 2008

Perpaduan Melayu jangan bermusim

ISU mengenai perpaduan Melayu timbul kembali, terbaru, sebanyak 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam sepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM). Ia akan memainkan peranan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam. Sebenarnya, hasrat untuk menyatukan orang Melayu apatah lagi dalam suasana politik sekarang adalah satu niat yang murni.

Namun persoalannya kenapakah usaha ini sering sahaja bermusim? Bukankah ia satu usaha yang harus dilakukan secara berterusan? Apakah ia hanya wujud apabila kita merasakan kuasa politik Melayu semakin berkurangan?

Sama ada hendak diakui atau tidak, kesedaran untuk menyatukan orang Melayu hanya wujud pada dua suasana, pertama apabila berlaku perpecahan dalam UMNO dan kedua, apabila keputusan pilihan raya menunjukkan kerusi yang dikuasai oleh anggota politik Melayu semakin berkurangan. Tetapi persoalannya, adakah orang Melayu hanya bergantung kepada dua suasana ini untuk bersatu sedangkan di lain-lain masa orang Melayu lebih suka bertelagah dan berpecah belah.

Ketika ditanya pandangan berhubung perkara ini, pengamat politik, Prof. Mustafa Mohamed Ishak juga menegaskan, soal bermusim itu.

‘‘Kita harus ada arah tuju yang jelas, apa sebenarnya ingin dicapai melalui perpaduan Melayu ini.
“Kalau sekadar untuk memperkukuhkan kekuasaan politik mana-mana pemimpin adalah lebih baik ia tidak dilakukan,’’ katanya ketika dihubungi.
Justeru bagi Mustafa, soal untuk menyatukan orang Melayu harus dilakukan secara berterusan dan bukannya bersifat sementara atau ad hoc. Ini kerana bagi beliau ia tentunya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil kerana selepas ini jika kuasa politik Melayu tidak terancam maka senyap sunyilah soal menyatukan orang Melayu itu. Oleh itu adalah jelas, bagi mereka yang hendak menyatukan orang Melayu, mereka harus mempunyai matlamat yang jelas.
Apa yang lebih penting orang Melayu perlu diberi pemahaman kenapa mereka perlu bersatu. Bersatu
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan, orang Melayu perlu bersatu bagi mempertahankan empat perkara yang termaktub dalam perlembagaan iaitu, orang Melayu iaitu penduduk asal negeri-negeri Melayu mempunyai hak yang istimewa sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia; agama Islam adalah agama rasmi Malaysia; Raja-Raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia
Bagaimanapun dalam perkembangan sekarang, penyatuan orang Melayu bukan sekadar untuk mempertahankan keempat-empat perkara itu tetapi lebih daripada itu untuk memastikan mereka tidak terus berpecah belah.

Namun adalah sesuatu yang malang apabila usaha untuk menyatukan orang Melayu gagal dicapai kerana tidak bijaknya orang Melayu berpolitik. Mungkin ramai yang akan berasa tidak senang dengan kenyataan ini tetapi ia adalah hakikat. Orang Melayu mahu tidak mahu harus mengaku perkara ini. Demi kekuasaan ada di kalangan pemimpin Melayu sanggup mengetepikan kepentingan orang Melayu itu sendiri.

Ini berbeza dengan parti-parti politik kaum lain yang sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman politik demi mempertahankan hak mereka.

“Orang kita masih mengamalkan sikap marahkan nyamuk kelambu dibakar atau kerana marahkan pemimpin masa depan anak cucu digadaikan. Inilah cara berpolitik orang kita,’’ kata Mustafa.
Sebagai contoh, ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diganggu gugat oleh DAP, ada pemimpin Melayu yang seolah-olah bersetuju dengan pandangan bahawa ia harus dihapuskan.

Mereka yang memberikan sokongan berkenaan kerana merasakan itulah cara terbaik untuk meraih kekuasaan tanpa memikirkan kesannya kepada orang Melayu. Justeru selagi orang Melayu tidak pandai berpolitik, selagi itulah usaha untuk menyatukan orang Melayu hanya akan menjadi satu impian.

Berdasarkan hakikat itu, masanya sudah tiba untuk orang Melayu berfikir dengan semasak-masak sampai bila mereka harus bertelagah dan tidak mahu bersatu serta berpolitik secara matang. Apa pun usaha menyatukan orang Melayu harus mempunyai landasan yang jelas. Ini kerana orang Melayu kini tidak mampu lagi ditipu dengan slogan.

Atas sebab itulah niat untuk tujuan berkenaan perlu dilakukan secara ikhlas dan jujur tanpa mempunyai apa-apa agenda tersembunyi termasuklah untuk melindungi atau mempertahankan mana-mana pemimpin.
Apa yang lebih penting usaha tersebut haruslah berteraskan kepada matlamat untuk menjamin hak orang Melayu terpelihara dan masa depan anak cucu kita tidak tergadai semata-mata kerana perebutan kuasa.
Dalam konteks negara ini, perpaduan Melayu bukan sekadar hanya akan menguntungkan kaum Melayu tetapi juga kaum-kaum lain. Oleh itu seperti kata Mustafa, agenda menyatukan orang Melayu harus jelas supaya ia tidak menimbulkan kecurigaan kepada kaum lain.

“Saya yakin kaum lain juga mahu melihat orang Melayu bersatu kerana kalau orang Melayu bergaduh sesama mereka sudah pasti keamanan tergugat,’’ katanya.
Turut menjadi persoalan, adakah apa yang akan dilakukan bagi melihat orang Melayu bersatu ini akan tercapai? Ini memandangkan sehingga ke hari ini masih wujud kedegilan di kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk mempertahankan ideologi atau perjuangan parti masing-masing.
Islam. Sebagai contoh, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak mahu berbincang mengenai perpaduan Melayu sebaliknya hanya bersedia berbincang dengan mana-mana pihak mengenai perpaduan Islam.

Katanya, bagi Pas cara untuk menyatupadukan orang Melayu ialah menerusi Islam dan bukannya menerusi bangsa Melayu itu sendiri.
Adalah sesuatu yang janggal apabila Abdul Hadi seolah-olah cuba mengasingkan antara Melayu dan Islam.
Di Malaysia, hakikatnya Melayu adalah Islam dan Islam itu berkait rapat dengan orang Melayu, kalau orang Melayu tidak wujud maka tidak wujudlah Islam. Justeru tidak perlulah Abdul Hadi berdolak-dalik dalam soal ini. Pas seharusnya menyatakan secara terbuka sama ada mereka menyokong atau tidak usaha menyatukan orang Melayu ini.

Sekadar mengingatkan, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah duduk semeja bersama Dr. Mahathir dalam soal perpaduan Melayu.

Ketika itu Allahyarham tidak pula melontarkan pandangan seperti Abdul Hadi. Justeru adalah jelas usaha menyatukan orang Melayu pasti menempuh jalan berliku biarpun ia bertujuan baik. Apa yang penting semua orang Melayu tanpa mengira fahaman politik harus ikhlas dalam soal itu dan tidak mengamalkan sikap bermusim atau ingin mencapainya demi agenda politik mana-mana pihak. Semoga orang Melayu memahami bahawa mereka berhak berbeza ideologi politik melalui pendekatan yang bijak tetapi dalam soal mempertahankan hak – tiada kompromi! Mereka perlu bersatu kerana itu juga tuntutan dalam Islam.