Saturday, October 23, 2010

7 strategi tawan semula Kedah

KUALA LUMPUR 22 Okt. - UMNO Kedah telah menggariskan tujuh strategi dalam misi menawan semula negeri tersebut daripada tangan pembangkang.

Wakilnya, Datuk Othman Aziz berkata, strategi itu juga akan melibatkan 13 aktiviti teras termasuk memantapkan semula hubungan dan keupayaan kepimpinan di semua peringkat bahagian.

Dalam usaha merealisasikan impian tersebut katanya, UMNO negeri juga akan memastikan pengundi dan penyokong sedia ada sentiasa dijaga, mengambil hati pengundi muda serta mengukuhkan hubungan dengan agensi kerajaan.

"Peralihan kuasa ke tangan pembangkang telah menyebabkan kita terpinga-pinga dan hilang pedoman buat seketika.

"Tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh berdiam diri sebaliknya bermuhasabah dan mengatur gerak kerja untuk kembali memerintah Kedah.

"Justeru kita memerlukan bantuan daripada segenap ahli UMNO untuk sama-sama membantu merealisasikan misi ini," katanya ketika berucap membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Othman berkata, dalam konteks memenangi semula hati rakyat, mereka yang memegang jawatan mesti melakukan kerja secara fokus dan terancang serta mempunyai sasaran.

Mereka yang memegang jawatan, tegas beliau, tidak boleh lagi leka dan berseronok dengan jawatan sebaliknya harus bertanggungjawab memegang amanah yang diberikan.

"Kita kena segerakan kerja, jangan tangguh-tangguh lagi," jelasnya.

Dalam memastikan kejayaan itu, kata Othman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, empat peringkat UMNO iaitu bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri juga harus memiliki semangat berpasukan yang tinggi serta bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah setiap ahli dan pemimpin juga katanya, perlu memiliki 'rasa terancam' sebagai satu dorongan dan motivasi untuk mencapai impian tersebut.

"Oleh yang demikian, kita ingin meminta jasa baik para menteri yang turun padang melakukan kerja rasmi masing-masing untuk turut meluangkan masa menyusun program UMNO.

"Bukan itu sahaja kita juga amat berharap bapa angkat Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik Perdana Menteri dapat mencetuskan sesuatu sebagai peniup semangat," katanya.


Bookmark and Share