Wednesday, March 4, 2009

Barisan penentu UMNO

Ketika Pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ariff Shah Omar Shah menganggap nombor tiga yang diperoleh dalam kertas undi akan membawa tuah manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Sallleh pula ketika bertanding di Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu menyifatkan nombor satu dalam susunan kertas undi adalah petanda baik, tetapi kesudahannya kedua-dua mereka kalah dalam pilihan raya berkenaan.

Sebenarnya nombor bukanlah penentu nasib seseorang calon sama ada ia bertanding di peringkat parti mahupun dalam pilihan raya. Begitulah juga dalam pemilihan UMNO kali ini apabila pelbagai tafsiran dibuat setelah kedudukan nombor calon-calon yang bertanding ditentukan pada 24 Februari lalu.

Walaupun nombor bukanlah penentu tetapi ada di kalangan mereka berasa gundah gulana kerana kedudukan mereka tidak menggambarkan jumlah pencalonan yang diperoleh dan ada pula yang resah kerana mendapat nombor yang dianggap 'sukar orang nampak'. Namun ada pula tafsiran lucu yang menyatakan nombor yang diperoleh akan membawa tuah kerana dikaitkan dengan kedudukan jawatan dalam parti.



Apa pun semua pihak berhak membuat tafsiran dan analisis masing-masing, apa lebih penting pemilihan parti yang bakal berlangsung pada Mac nanti bukanlah berkaitan soal tuah sesuatu nombor sebaliknya ia bakal menentukan masa depan UMNO.


Aspek utama ialah perwakilan perlu menilai secara mendalam kemampuan seseorang calon bagi memastikan beliau benar-benar layak menjadi pemimpin UMNO dan negara. Dalam soal ini, keupayaan seseorang pemimpin bukanlah berasaskan kepada orang yang pandai senyum sepanjang masa, berupaya bersalam dengan ribuan orang atau 'paling pemurah' di musim pemilihan, malah kita tidak boleh memilih seseorang calon hanya kerana hendak menyelamatkan karier politiknya.


Sebaliknya kriteria utama ialah sejauh manakah pemimpin itu mampu diterima oleh rakyat serta berupaya menjalankan tugas dengan berkesan untuk parti dan kerajaan.


Memang benar adalah menjadi hak ahli UMNO menentukan siapa yang mereka mahu tetapi perjuangan UMNO adalah demi kesinambungan kepimpinan negara dan berkait rapat dengan riwayat parti itu dalam arena politik tanah air.

Persoalannya, apakah dengan tersenyum sepanjang masa seseorang pemimpin mampu menyelesaikan rakyat?

Apakah dengan bersalam dengan ribuan orang pemimpin itu akan mampu memperkukuhkan agenda perjuangan UMNO sehingga kembali diterima oleh rakyat atau apakah dengan menjadi 'Santa Claus' semata-mata untuk menenangi jawatan akan mampu menarik jutaan pengundi mengembalikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN)?


Berdasarkan kepada cabaran yang sedang menanti BN dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, perwakilan yang akan mengundi apa juga jawatan tidak harus membuat keputusan berasaskan kepada persepsi atau andaian semata-mata.


Sebaliknya keputusan perlu berasaskan kepada keyakinan bahawa barisan yang bakal dipilih mampu memperkukuhkan semula UMNO dan BN. Perwakilan yang akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 hingga 28 Mac nanti mempunyai amanah yang cukup besar memandangkan masa depan UMNO berada dalam genggaman mereka yang memiliki sehelai kertas undi.



Oleh itu perwakilan UMNO perlu benar-benar mentelaah kriteria pemimpin seperti manakah yang harus menjadi pilihan. Mereka tidak harus melihat dari segi luaran apatah lagi persepsi ketika membuat keputusan. Sebaliknya setiap seorang calon itu harus dikaji kelebihan dan kelemahan secara terperinci.


Keputusan yang dibuat perlu berasaskan kepada pemerhatian, kajian dan akal yang waras, bukannya akibat dikaburi oleh 'tawaran', emosi, persepsi atau ilusi. Perwakilan yang gagal membuat pertimbangan sewajarnya harus memahami jika barisan pemimpin yang dipilih oleh mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya maka mereka juga harus bertanggungjawab sebagai pemusnah masa depan UMNO.


Oleh itu kebijaksanaan menilai pemimpin amat penting. Mungkin kita mengagumi calon yang bersedia bertemu perwakilan siang dan malam, mungkin kita terpegun dengan pemimpin yang mudah tersenyum dan melihat muka orang bila bersalam tetapi apakah itu sahaja kriteria yang dikehendaki oleh rakyat?

Bagaimana dengan pemimpin yang mempunyai track record yang baik sepanjang perkhidmatannya sama ada dalam parti atau kerajaan, di peringkat negeri mahupun pusat? Atau pemimpin yang kita tahu mampu meneruskan agenda perjuangan parti dan negara tetapi menolaknya kerana persepsi beliau tidak mesra rakyat atau bakal menjadi liabiliti kepada parti?


Justeru dalam membuat keputusan, perwakilan UMNO tidak seharusnya meletakkan diri sebagai ahli UMNO sahaja sebaliknya mereka juga perlu mendalami perasaan sebagai seorang pengundi, ertinya cuba berusaha memahami apakah pemimpin yang bakal mereka pilih itu akan diterima atau tidak oleh rakyat.


Semua pemimpin yang dipilih oleh UMNO akan dibawa berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya. Rakyat pula yang akan menjadi hakim, setiap seorang pemimpin UMNO itu akan dinilai dengan penuh teliti kemampuan dan kewibawaannya untuk menjadi barisan kepimpinan negara. Kalau rakyat merasakan UMNO tersilap memilih pemimpin, mereka sudah pasti tidak akan mengundi BN.

Berikutan keadaan itu, perwakilan UMNO perlu memahami mereka bertanggungjawab untuk melontarkan undi bagi menentukan barisan kepimpinan yang ampuh dan mampu menggalas tanggungjawab membantu Perdana Menteri di dalam dan luar negara.

Pemilihan UMNO akan datang bukanlah medan untuk membalas budi, menyelamatkan karier atau menguburkan politik sesiapa tetapi ia bagi mencari pemimpin terbaik bagi mengembalikan maruah UMNO yang tercalar teruk dalam pilihan raya umum lalu.

''Cabaran yang menanti kita cukup hebat, bukan sahaja dalam urusan politik, sosial dan ekonomi dalam negara malah kita juga harus membariskan pemimpin yang mampu berjuang di peringkat antarabangsa. Oleh itu perwakilan UMNO perlu memilih pemimpin itu berdasarkan kredibiliti, kemampuan serta imej di mata rakyat.

Jangan terperangkap dengan teori-teori politik dangkal seperti bahaya singa sama singa di puncak yang sama atau persepsi, perwakilan perlu menghasilkan barisan kepimpinan terbaik yang mampu menarik perhatian rakyat menyokong kembali BN," kata seorang anggota kabinet kepada penulis ketika ditemui.


Menurut anggota kabinet itu lagi, rakyat sekarang sudah bijak menilai dan dalam keadaan UMNO sekarang kesilapan memilih barisan terbaik boleh mendatangkan bencana kepada parti itu dan BN.


''Mungkin dalam tahun 2004 kita boleh meletakkan sesiapa sahaja sebagai pemimpin kerana ketika itu UMNO dan BN kuat tetapi pada masa ini, UMNO dan BN dilihat cukup lemah dan keyakinan rakyat kepada kedua-dua parti itu masih belum pulih, jadi perwakilan perlu membuat pilihan tepat," katanya.


Dalam membuat penentuan barisan kepimpinan ini juga, perwakilan harus melihat jangka masa panjang dan bukannya dengan tanggapan untuk memberi seseorang pemimpin itu 'peluang sepenggal'.


Apa yang harus diingat pemilihan UMNO akan datang kebiasaannya hanya diadakan selepas pilihan raya umum, justeru apa yang dibimbangi belum sempat ahli UMNO menukar pemimpin mereka, rakyat awal-awal lagi menguburkan perjuangan politik pemimpin tersebut bersama UMNO dan BN.



Kita tidak nafikan dalam usaha meraih sokongan pelbagai cara dilakukan dan tidak terkecuali amalan politik wang. Tetapi perwakilan perlu faham pemilihan ini bukan soal kemurahan atau kemesraan seseorang pemimpin, sebaliknya ia adalah soal masa depan parti, bangsa, agama dan negara.


Sikap mengugut untuk 'memandikan' mana-mana calon yang tidak menghulurkan wang bagi meraih undi harus dihapuskan.


''Saya berharap sangat-sangat ada elemen meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. UMNO tidak kuat lagi sekarang, kita perlu kembalikan keyakinan rakyat, itu yang paling penting," kata seorang menteri kabinet yang turut bertanding.


Perwakilan UMNO perlu memahami tanggungjawab dan amanah berat yang dipikul oleh mereka, sama ada mereka akan menjadi perwakilan atau tidak selepas ini, itu bukan soalnya.


Mungkin ada antara mereka berharap melalui pemilihan ini, ia memberi peluang untuk mengaut laba sebanyak mungkin, kalau itulah sikapnya maka mereka juga perlu bersedia menghitung satu persatu kekalahan UMNO dalam pilihan raya dan lebih buruk bersedia menanggung dosa akibat tidak amanah dalam memilih barisan terbaik demi bangsa, agama dan negara.