Thursday, March 12, 2009

Setahun sudah berlalu: Masihkah kau ingat

Bagi pengunjung, Pulau Pinang tetap menawan meskipun tanpa perubahan ketara selepas setahun berlalu sejak pentadbiran negeri diambil alih oleh kerajaan pimpinan DAP.

Tatkala Mac muncul kembali, penduduk Pulau Pinang melihat semula ke belakang dengan harapan terhadap janji-janji manifesto pakatan DAP - Parti Keadilan Rakyat (PKR) - Pas semasa pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Sungguhpun ada berpendapat tempoh setahun adalah terlalu singkat untuk menilai program pembangunan, namun Ketua Menteri Lim Guan Eng tetap mahu berbangga kerana berpendapat pentadbirannya berjaya menarik masuk pelaburan berjumlah RM10.2 bilion pada 2008, berbanding RM4 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, kawasan Seberang Perai menerima agihan pelaburan terbesar iaitu RM8.2 bilion manakala bakinya di bahagian pulau, katanya.

Berbekalkan angka itu, Guan Eng menjadikannya modal cerita yang dijaja dalam setiap ucapannya sejak beberapa bulan lalu.

Sesetengah pihak mendakwa bahawa kebanyakan perjanjian perniagaan yang dimuktamadkan kerajaan pakatan DAP dan PKR itu sebenarnya dirintis kerajaan negeri terdahulu tetapi bagi Guan Eng kemenangan paling besar bagi sesuatu usaha itu adalah ketika perjanjian dimeterai.

"Saya tidak menganggap kejayaan ini sebagai kejayaan peribadi tetapi ia merupakan kejayaan rakyat kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk melakukan perubahan di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar khas sempena setahun pakatan pembangkang memerintah Pulau Pinang, baru-baru ini.

Guan Eng juga menyenaraikan perancangannya selepas ini, antaranya mewujudkan perkhidmatan WiFi secara percuma dan WiMax pada harga berpatutan bagi meningkatkan akses rakyat kepada Internet, program membasmi miskin tegar dan pemberian rebat bil air sebanyak masing-masing RM100 kepada 170,000 keluarga sebagai langkah membantu keluarga miskin itu.

Bagaimanapun, menurut Guan Eng usaha kerajaan negeri membasmi kemiskinan tegar mungkin lewat daripada sasaran 8 Mac lalu berikutan menghadapi masalah membuka akaun amanah bagi tujuan itu.

Pengakuan Guan Eng mengenai kejayaan kerajaannya menarik pelaburan dibidas Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang mendakwa Ketua Menteri menafikan usaha Barisan Nasional (BN) membangunkan ekonomi dan sosial masyarakat negeri ini selama ini.

Katanya, pakatan pembangkang sebenarnya hanya menumpang nama daripada usaha BN merintis dan menarik pelaburan itu sebelum ini dan kebetulan apabila perjanjian hendak dimeterai, kerajaan negeri bertukar tangan.

"Berdasarkan pengalaman, bukan mudah untuk menarik pelaburan ke negeri ini dan paling cepat kita dapat memujuk mereka ialah dalam masa dua hingga tiga tahun. Sebenarnya sepanjang setahun ini, kerajaan negeri hanya bermain politik dan sibuk mengkritik dasar kerajaan lalu, bila masa mereka bekerja?" katanya.

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan pula menegur tindakan kerajaan negeri yang memberi rebat bil air kepada 170,000 keluarga sebagai cara membasmi kemiskinan sedangkan jumlah sebenar kumpulan miskin tegar tidak diketahui.

"Ada banyak program atau pendekatan sosial lain yang boleh dilakukan untuk membantu golongan itu, antaranya membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah untuk golongan miskin tegar terutamanya di kawasan luar bandar," katanya.

Di sebalik semua kejayaan yang dikatakan Guan Eng itu, PKR tidak menafikan bahawa masih terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu.

Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, kedua-dua parti itu tiada pengalaman mentadbir dan memerintah negeri dan terpaksa membuat pelbagai penyesuaian untuk memastikan sesuatu dasar dan perancangannya berjaya.

Menurut Zahrain, momentum kerajaan negeri bermula dengan agak perlahan sedangkan jangkaan rakyat begitu tinggi terhadap kepimpinan baru itu.

"Cabaran utama kepada kerajaan negeri ketika ini ialah menyediakan pelan dan dasar pembangunan ekonomi yang dapat membantu rakyat mengharungi kemelut ekonomi dan pemberhentian pekerja yang ramai," katanya.

Zahrain juga mengakui bahawa DAP dan PKR masih berusaha menyesuaikan diri dalam mentadbir negeri itu. Ini kerana PKR masih meminta agar ditambah perwakilan dari parti itu untuk berkhidmat di dalam pelbagai agensi kerajaan negeri.

Ketika ini, hanya tiga daripada 11 anggota Exco kerajaan negeri merupakan wakil daripada PKR manakala bakinya adalah daripada DAP.

Pada pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional (BN) menang 11 daripada 40 kerusi manakala DAP menguasai 19 kerusi, PKR sembilan dan Pas satu. Zahrain berkata, hasil perbincangan dengan kerajaan negeri, beberapa wakil PKR telah dilantik menganggotai agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Holdings (PBAPPH) dan PBAPP Sdn Bhd.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Negeri, Salleh Man berkata, dalam tempoh yang singkat ini, kerajaan negeri perlu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerajaan negeri dan tidak bersikap seperti pembangkang.

"Memerintah ini bukan macam parti pembangkang tetapi kena buat kerja supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan makmur. Kita harap, selain bidang ekonomi, kerajaan negeri dapat bagi tumpuan untuk memajukan penduduk luar bandar dan golongan miskin, yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu,'' katanya.

Penduduk Pulau Pinang terus menanti dengan harapan.

Bekas jurutera kilang, Nur Hanani Abdul Halim, 45, berkata perkara utama yang diharapkan dapat diselesaikan oleh kerajaan adalah isu pemberhentian pekerja terutama di sektor perkilangan.

"Ramai yang telah hilang pekerjaan dan kita harap kerajaan negeri dapat buat sesuatu bagi membantu kami untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini.

Bagi M.Rajasaamy, 52, setakat ini, beliau tidak nampak apa-apa perubahan yang dilakukan kecuali nasib rakyat yang masih juga sama terutama yang miskin tegar.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan sekarang menunjukkan usaha untuk membela nasib rakyat, namun banyak janji dalam manifesto mereka masih belum ditunaikan sehingga kini.

"Sebagai contoh mereka berjanji nak hapuskan miskin tegar sebelum Mac ini, tetapi selepas hampir setahun pelbagai alasan diberikan dan saya harap kerajaan dapat menunaikan janji mereka kepada rakyat kerana rakyatlah yang memberi undi untuk mereka memerintah negeri ini," katanya.

Pandangan itu dipersetujui rakannya, Khoo Tek Hoon, 50.

"Saya tidak mahu menyatakan saya memuji sepenuhnya pemerintahan sekarang, tetapi saya harap apa yang dijanjikan sebelum ini dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, kontraktor, Ahmad Majid Ib-Rahim, 39, mengadu mengenai nasib kontraktor terutama kontraktor Melayu di negeri ini berada dalam keadaan terumbang ambing.
Menurutnya jika keadaan ini berterusan untuk dua atau tiga tahun lagi, beliau pasti ramai kontraktor di negeri ini gulung tikar.

Bagi Teh Chua Min, 48, peniaga gerai makan sejak 20 tahun lepas, Pulau Pinang di bawah pimpinan kerajaan sekarang atau lepas (Barisan Nasional) adalah sama kerana rakyat tetap perlu bekerja untuk menyara hidup.

"Yang penting keadaan ekonomi stabil dan masyarakat hidup aman damai," katanya.
- BERNAMA