Monday, March 16, 2009

Rasuah dalam UMNO: Calon hilang kelayakan tanding?


Bersihkan RASUAH, POLITIK WANG demi masa depan UMNO. Tolak pemimpin KORUP. MALULAH JIKA HARGA DIRI DAN MARUAH MASA DEPAN BANGSA BOLEH DIBELI HANYALAH RM50, RM1,000

PETALING JAYA: Lebih 20 calon yang bertanding pada pemilihan umno kali ini dijangka menemui Jawatankuasa Disiplin parti minggu ini, dipercayai berhubung kes salah laku kempen dan politik wang.

Mereka termasuklah beberapa calon jawatan utama yang berkemungkinan dikenakan hukuman hilang kelayakan bertanding.

Beberapa calon terbabit yang disebut-sebut tidak dapat dihubungi mStar Online yang berusaha menghubungi mereka.

"Difahamkan Lembaga Disiplin sudah mengeluarkan surat...dipercayai beberapa calon utama terlibat.


"Ada yang merayu dan ada kemungkinan hilang kelayakan bertanding," kata sumber kepada mStar Online hari ini.


Difahamkan Lembaga Disiplin akan mengumumkan keputusannya menjelang Rabu ini. Antara hukuman yang bakal dikenakan termasuklah amaran, hilang kelayakan bertanding ataupun digantung keahlian selama tiga tahun.

Umno mahu kesemua kes politik wang diselesaikan sebelum pemilihan yang akan berlangsung 25 dan 26 Mac ini.Pemilihan diadakan sempena Perhimpunan Agung Tahunan bulan ini.

Penghujung tahun lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata beliau ada menerima laporan berhubung aduan politik wang bagi jawatan tertinggi, Timbalan dan Naib Presiden parti.


Jumaat lalu, calon Majlis Tertinggi (MT) Datuk Mohamad Norza Zakaria dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua tuduhan rasuah.


Beliau yang meminta untuk dibicarakan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun Mohamad Norza berkata, beliau tidak akan melepaskan jawatan sebagai anggota MT hanya disebabkan oleh kes yang dihadapinya itu.


Sebaliknya, bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata, beliau akan terus bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan Umno yang akan diadakan hujung bulan ini dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan kedudukannya.

Minggu lepas, dua pegawai Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman Said ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk setiausaha politiknya yang bergelar Datuk sebelum dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.


Ketika ditahan, SPRM menemui RM70,000 dalam kereta setiausaha politik itu, dipercayai untuk diagihkan kepada perwakilan Umno Wilayah Persekutuan pada Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.

Setiausaha politik itu dan menterinya turut layak untuk bertanding kerusi MT