POLITIK wang menjadi penyakit yang mengancam masa depan sesebuah parti politik. Malah ia turut mengancam bangsa dan negara. Individu yang terlibat dalam politik wang ini biasanya menganut fahaman "matlamat menghalalkan segala cara".
Menjelang pemilihan UMNO, banyak pihak menyuarakan kebimbangan apabila wujudnya pelobi atau orang tengah. Situasi ini sebenarnya lebih menyemarakkan lagi gejala politik wang yang kian berleluasa dalam parti itu.
Jika ia tidak dibendung dan dibanteras, sudah pasti akan wujud senario tidak sihat dalam parti dan lambat-laun UMNO sendiri musnah akibat tindak-tanduk ahlinya.
Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah lama mengeluarkan arahan agar pasukan pemantau mengawasi ejen-ejen ini bagi memastikan tidak berlaku gejala rasuah. Namun, tidak dapat dipastikan sejauh manakah kejayaan pasukan pemantau menangani hal tersebut.
Sirah negara bangsa memperlihatkan gejala rasuah boleh meruntuhkan tamadun.
Ramai yang tahu keburukannya tetapi mereka tidak menghiraukannya. Mereka seolah-olah lupa firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata. (Surah Al-Baqarah Ayat 168).
Hari ini ramai ahli politik menjadi hipokrit kerana budaya politik wang.
Pemilihan pemimpin akhirnya bukan lagi dibuat atas landasan "memperjuangkan kehendak rakyat dan kepentingan negara" sebaliknya "siapa yang banyak menabur wang dan menjanjikan habuan."
Hakikatnya politik wang mengajar pengikut menjadi tidak bertanggungjawab dan kita mendidik mereka untuk menipu. Kuasa bukan lagi untuk kepentingan masa depan, sebaliknya kuasa menjadi jambatan kekayaan. Politik kekuasaan hanya akan melahirkan golongan ahli politik kaya raya yang menggunakan kuasa dan kekayaan untuk menjajah pemikiran rakyat.
Jangan marahkan rakyat, khususnya bangsa Melayu sekiranya mereka terus meminta-minta dan mengharapkan tongkat kerana puncanya kerana didikan ahli politik yang gilakan kuasa dan menggunakan politik wang.
Aliran politik wang menjadikan ahli politik yang tidak berduit seolah-olah tidak layak untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Kerana gagal menabur wang, ahli-ahli politik yang beretika dan bermaruah sudah tidak mempunyai tempat dalam dunia politik.
Ironinya, rasuah, politik wang bercanggah sama ada dari sudut hukum duniawi mahupun ukhrawi untuk mengorak langkah membina semula penyertaan politik di kalangan ahlinya secara sihat, berakhlak dan beretika.