Wednesday, March 11, 2009

Hentikan percakaran, bersatu cetus idea


"KAWAN sebenarnya dah muak dengan cerita politik sekarang. Hari-hari tengok YB kita gaduh, cabar mencabar." Itu luahan seorang rakan penulis ketika kami minum teh di kedai mamak baru-baru ini.

Pada mulanya penulis tidak kisah sangat, tetapi beberapa rakan turut meluahkan perasaan sama. Benarkah orang ramai sudah muak dengan cerita-cerita begini? Terdetik juga dalam hati, memang ada benar dakwaan itu.

Masakan tidak, hampir setiap hari ada sahaja berita-berita hangat melibatkan wakil rakyat yang bertegang leher, mengutuk satu sama lain dipaparkan media. Seorang kata dia betul, seorang lagi pun dakwa dia yang benar. Yang pening orang ramai dan rakyat. Yang mana betul sebenarnya?

Memang tanggungjawab wakil rakyat untuk menyampaikan pandangan mereka mengenai sesuatu isu. Tidak kira sama ada mereka wakil Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang atau Bebas. Kalau tak beri pandangan, rugilah pengundi yang sokong mereka semasa pilihan raya.

Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah berlalu selama setahun. Apa yang penulis perhatikan, perkara yang dibangkitkan wakil rakyat banyak berkisar kepada isu-isu politik. BN tuduh pembangkang tak betul, pembangkang pula dakwa BN tak pandai buat kerja.

Wakil rakyat Bebas pula kadang-kadang sokong BN, kadang-kadang sokong pembangkang. Kita faham situasi calon Bebas seperti Datuk Ibrahim Ali. Kadang-kadang pandangan wakil rakyat Bebas perlu diberi perhatian kerana mereka golongan yang tidak pro mana-mana pihak. Yang mana mereka fikir terbaik, mereka akan sokong.

Sekarang bukan lagi masa untuk wakil rakyat cabar mencabar dan tuduh menuduh. Kini adalah masa untuk wakil rakyat yang semuanya berpendidikan tinggi dan berfikiran rasional untuk menjana idea memperkukuhkan benteng pertahanan negara.

Benteng pertahanan negara yang dimaksudkan adalah idea yang mampu menggerakkan kerancakan ekonomi negara yang semakin menerima kesan daripada kelembapan ekonomi global. Di kebanyakan negara, sudah ramai pekerja diberhentikan, Malaysia juga kini sudah terasa bahangnya.

Beberapa kilang di negara ini sudah menghentikan pekerja dan mengurangkan waktu operasi. Inilah cabaran paling getir yang sedang dihadapi negara.

Sebagai golongan pembuat dasar, inilah masa untuk semua wakil rakyat menggunakan kepintaran dan kebijaksanaan mereka mencari langkah serta menggubal dasar bagi menampan kesan kelembapan ekonomi serta memberi kesan yang paling minimum kepada Malaysia.

Bagi wakil rakyat yang berkelulusan ijazah, master atau doktor falsafah dalam bidang ekonomi, inilah masa tunjuk kehebatan dengan mencetuskan idea-idea bernas memperkukuhkan ekonomi negara.

Harus diingat faktor ekonomi merupakan segmen terpenting. Jika ekonomi bergolak, ia bakal mencetus kepada pelbagai masalah lain seperti jenayah, pengangguran malah penceraian. Jadi jangan biarkan ia menjadi 'penyakit' berjangkit yang sukar untuk dipulihkan.

Salah satu kesannya adalah peningkatan kadar jenayah. Ini kerana apabila ramai yang dihentikan kerja, maka untuk meneruskan hidup mereka memerlukan wang. Tanpa kerja, mana nak dapat wang. Mungkin cara terakhir yang dipilih melakukan jenayah. Yang dapat natijah adalah orang lain yang menjadi mangsa. Keadaan ini pasti menambah beban negara khususnya pasukan keselamatan.

Keadaan ekonomi yang semakin menekan juga boleh menyebabkan penceraian. Apa tidaknya, isteri atau suami mungkin tidak sanggup lagi hidup bersama dek tekanan kewangan. Misalnya, kalau si suami dihentikan kerja, siapa yang hendak menanggung perbelanjaan keluarga. Keadaan kian mendesak jika isteri juga tidak bekerja. Keadaan itu pasti menyebabkan hutang keliling pinggang sehingga mencetuskan pergaduhan antara suami isteri.

Mungkin betul juga andaian beberapa pakar ekonomi sebelum ini, putaran kelembapan ekonomi akan berlaku setiap 10 tahun dan kini ia melanda semula. Jadi, semua wakil rakyat perlu 'bersatu' mencetuskan idea-idea bernas dan menggariskan langkah memperkukuhkan ekonomi negara. Ketepikan agenda politik peribadi dan usah cuba menjadi 'hero' yang hanya pandai bercakap tetapi hasil kerjanya tidak seberapa.

Usah lagi bertegang leher, cabar mencabar, tuduh menuduh membincangkan isu-isu politik yang memeningkan semua pihak.

Kadang-kadang, rakyat yang menonton sidang Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) malu dengan sikap sesetengah wakil rakyat yang suka bertegang leher tentang isu-isu remeh. Inikah imej Parlimen dan DUN kita?

Kalau itulah sikap yang ditonjolkan wakil rakyat semasa berdebat, rakyat dan pengundi perlu berfikir dua tiga kali untuk mengundi mereka semasa pilihan raya akan datang. Jika tidak dipilih, usah salahkan pengundi kerana sikap seseorang itu mencerminkan peribadinya.

Selain itu, isu-isu sensitif seperti hak keistimewaan Melayu dan bumiputera usahlah dicanang kerana ia sering menimbulkan rasa tidak senang golongan berkaitan. Jika isu-isu sensitif ini terus didendang, ia mampu mencetus ketegangan kaum. Tidak belajarkah kita bagaimana sejarah hitam 13 Mei 1969 berlaku?

Kalau berlaku lagi, keamanan dan keharmonian kaum yang masih rapuh kini dibimbangi gagal dipulihkan. Apabila itu yang berlaku, rasa kesal dan bersalah sudah tiada gunakannya lagi.