Friday, March 20, 2009

Sejauh mana ketelusan SPRM diperhati rakyat

HAMPIR setiap hari kita disajikan dengan pelbagai berita rasuah, politik wang dan penyelewengan kuasa di media massa. Ia bukan saja membabitkan pihak bawahan, bahkan pemimpin atasan.


Tindakan seadil-adilnya perlu dikenakan kepada pihak berkenaan kerana negara memerlukan pemimpin yang benar-benar bersih daripada penyelewengan dan salah guna kuasa. Pemimpin bersih, adil dan bijaksana diperlukan untuk memacu pembangunan negara.


Jika pemimpin melakukan penyelewengan, sudah tentu ia akan menjadi ikutan kepada orang bawahannya dan jika tidak diperangi dari awal lagi, ia akan menjadi barah. Oleh itu, penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat bertepatan untuk memerangi permasalahan ini.


Rakyat memerhati sejauh manakah tindakan SPRM terhadap pelaku jenayah terbabit. SPRM perlu berani, profesional dan telus untuk mengambil tindakan kepada sesiapa saja tanpa memilih bulu. Tindakan bukan saja kepada 'ikan bilis' tetapi juga kepada 'ikan jerung'.


Di samping itu, langkah menubuhkan Institut Integriti Malaysia adalah satu lagi tindakan yang amat bertepatan pada masanya untuk memerangi salah laku di kalangan penguat kuasa. Ini bagi memastikan penguat kuasa melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, cekap dan berkesan. Kedua-dua badan itu perlu menangani sebarang salah laku rasuah dan penyelewengan kuasa dengan menggunakan pendekatan terbaik.


Siasatan kes penyelewengan berprofil tinggi perlu disegerakan tetapi pada masa yang sama semua pihak mendapat keadilan. Rakyat perlu diyakini agar kes penyelewengan diperangi secara menyeluruh. Tanggungjawab untuk memeranginya bukan saja terletak pada SPRM saja tetapi membabitkan semua individu.


Kesedaran yang tinggi mengenai jeleknya jenayah penyelewengan dan rasuah perlu diterapkan di setiap sanubari individu. Kesedaran itu harus dimulakan sejak kecil lagi dan antara caranya ialah didikan ibu bapa dan guru. Anak perlu diajar dan dibudayakan dalam diri mereka agar menjauhi jenayah. Mereka bakal generasi pemimpin akan datang. Didikan sejak kecil lagi boleh menghindarkan mereka daripada terjebak dengan jenayah penyelewengan dan rasuah apabila menjadi pemimpin pada masa depan.


Membudayakan kehidupan tanpa penyelewengan dan rasuah akan meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan organisasi dan negara. Oleh itu, setiap tindakan pencegahan memerangi jenayah ini perlu disokong sepenuhnya tanpa berbelah bagi supaya ia tidak menjadi budaya dan amalan dalam kehidupan seharian rakyat