PERISTIWA hitam 8 Mac 2008 seolah-olah baru sebulan berlalu. Tsunami politik ketika Pilihan Raya Umum ke-12 banyak mengubah landskap politik negara. Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak terkecuali.
Suka atau tidak, hakikatnya semua kena terima bahawa segala-galanya telah berubah. Pemikiran, penghayatan, pengharapan serta persepsi rakyat terhadap pembangunan, pentadbiran, ketelusan integriti serta keperibadian pemimpin, kini menjadi ukuran dan penilaian rakyat.
Faktor penting inilah yang banyak mempengaruhi pola keputusan pilihan raya. UMNO sebagai sebuah parti Melayu dominan dalam BN tidak terkecuali daripada fokus rakyat.
Akhir bulan ini akan menjadi hari penting buat UMNO. Daripada calon yang menerima tawaran dalam pemilihan UMNO, para perwakilan, jentera calon dan parti, ahli-ahli UMNO dan tidak terkecuali seluruh rakyat Malaysia sedang memerhati dengan penuh minat.
Pada masa ini jugalah angka-angka keramat calon akan menjadi bahan tusukan dan halwa telinga perwakilan. Banyak janji manis serta senyuman paksa calon yang akan berdepan dengan pelbagai bentuk dan jenis perwakilan.
Tidak keterlaluan kalau diterjemahkan perebutan jawatan pada pemilihan UMNO kali ini adalah yang paling sengit dan dramatik. Kesimpulan ini dibuat berasaskan bahawa keputusannya nanti akan menentukan hala tuju parti.
Sama ada UMNO akan terus subur atau terkubur bergantung kepada pemimpin mana dan bagaimana yang akan dipilih. Perwakilan kini memikul amanah lebih 3.2 juta ahli UMNO serta orang Melayu secara amnya untuk menentukan hala tuju kepimpinan.
Kalau diimbas, tidak banyak perubahan serta pembaikpulihan oleh pucuk pimpinan UMNO Mac tahun lalu selain peralihan kuasa.
Pada hemat saya, inilah masanya yang amat tepat sekali untuk perwakilan membuat perubahan terhadap wajah-wajah baru untuk menggalas amanah dan perubahan yang diperlukan oleh orang Melayu.
Inilah masa yang terbaik untuk perwakilan menterjemahkan kehendak ahli yang mahukan UMNO berubah wajah serta kepimpinan.
Saya ingin menyarankan bahawa UMNO sudah terlalu lama bertakuk dalam corak kepimpinan feudal yang sudah tidak sesuai pada masa kini.
Sudah tidak ada tempat lagi kepada pemimpin "Pak Angguk" atau sekadar "pemanas kerusi" dalam saf kepimpinan di peringkat Majlis Tertinggi.
Pemimpin yang bakhil dalam perjuangan harus tidak lagi mendapat tempat. Rakyat sedang menunggu isyarat serta memerhati dengan penuh minat. Pemimpin yang menjadi liabiliti kepada orang Melayu dan UMNO harus ditolak demi masa depan parti.
Pemimpin yang banyak retorik juga perlu menerima padah. Janji serta laungan terhadap isu penting melibatkan orang Melayu seperti bahasa, ekonomi, maruah serta integriti agama Islam yang menjadi topik utama masih segar dalam ingatan perwakilan. Ini masanya perwakilan menterjemahkan segala penilaian dalam bentuk undi terhadap kehendak suara akar umbi.
Pada kebanyakan perwakilan, mereka telah masak dengan sikap serta nilai pemimpin yang mereka kehendaki.
Semoga semua yang terlibat akan menggunakan masa tiga minggu ini untuk bermunajat dan bermuhasabah diri agar dapat Allah berikan taufik dan hidayah. Perwakilan perlu memilih pemimpin yang boleh melaksanakan amanah orang Melayu.
Sesungguhnya tuah angka calon, tuah badan serta janji-janji hanya menjadi prasyarat kemenangan. Apa yang lebih penting ialah keredaan serta takdir yang telah termaktub sejak di loh mahfuz untuk mereka menggalas amanah demi masa depan insan yang bernama Melayu.