Tuesday, March 24, 2009

Semoga Najib dapat team terbaik


1) HAKIKATNYA, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan parti yang lemah dan penuh cabaran.



2) Apa yang beliau hadapi sama seperti yang dialami bapanya, Tun Abdul Razak kira-kira 40 tahun lalu. Ketika itu berlaku Peristiwa 13 Mei 1969. Tidak banyak bezanya antara apa yang berlaku waktu itu dengan sekarang.



3) Bagi menghadapi situasi yang cukup mencabar itu, Tun Razak mengambil 'singa politik' dari Johor, Tun Ismail sebagai timbalannya.



4) Gandingan dua singa ini telah menjadikan kepemimpinan UMNO menjadi mantap. Tun Razak dan Tun Ismail telah menangani kegawatan politik dan sosial dengan jayanya.



5) Kini sesudah 40 tahun, sejarah itu berlalu, waris Tun Razak, Datuk Sri Najib yang bakal ditabalkan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri keenam akan menerajui UMNO dan negara pada April 2009.



6) Tidak mudah bagi Najib berseorangan menangani krisis politik dan ekonomi yang dihadapi oleh UMNO dan negara sekarang.



7) Justeru, selain beliau memerlukan regu kepemimpinan, beliau juga memerlukan satu team (pasukan) kepemimpinan yang kuat. Regu dan pasukan yang Najib perlukan tentunya daripada mereka yang berpengalaman dan berkebolehan dalam politik dan kerajaan.



8) Tidak ada lagi selepas ini pemimpin tangkap muat dan hanya sekadar bergantung pada populariti semata-mata.



9) Najib dalam wawancara dengan akhbar arus perdana Ahad lalu sudah membayangkan ciri-ciri pemimpin yang beliau mahukan sama ada sebagai regu mahu pun anggota team kepemimpinannya.



10) Ini kerana apa yang bakal beliau hadapi memerlukan satu kebijaksanaan tindakan terutama bagi memulihkan kekuatan UMNO dan mengatasi kegawatan ekonomi negara.



11) Najib sudah tentu mahu membawa lebih banyak singa dan harimau di atas gunung bagi mendepani cabaran yang ada.



12) Pemimpin yang hanya mahu menjadi pak turut atau pengampu sudah tidak sesuai lagi sekarang. Kita perlukan pemimpin yang berani dan lantang sesuai dengan kehendak rakyat terbanyak.



13) Sebab itulah Najib mahukan mereka yang bakal dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini, mereka yang bukan saja diterima oleh UMNO tetapi juga rakyat. Inilah yang perlu difikirkan oleh lebih 2,500 perwakilan dalam pemilihan kali ini.



14) Pemilihan kali ini berbeza sama sekali dengan pemilihan sebelumnya. Ini kerana UMNO mendapat presiden baru dan berlaku pemilihan untuk timbalannya.



15) Setiap mereka yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Pemuda, Wanita, Puteri serta exconya tentu sudah 'mengukur baju di badan sendiri'.


16) Satu keazaman yang perlu ada pada perwakilan, jika mereka mahu UMNO menjadi bersih dan kelihatan bersih, tolaklah mereka yang rasuah.



17) Pilihlah mereka yang benar-benar berkebolehan dan berpengalaman.



18) Jangan tersalah pilih dengan memilih mereka yang berkepentingan dan hanya mengejar kedudukan. Ingatlah, kini UMNO sudah berada di penghujung jalan.



19) Hanya tinggal empat tahun saja lagi untuk membuktikan UMNO masih relevan dan diterima rakyat. Seluruh rakyat sedang memerhati siapa yang bakal menerajui UMNO.



20) Tersalah pilih, mereka akan mengajar kita pada pilihan raya ke-13 nanti.



21) Sebab itu Najib menyebutkan tiga ciri pemimpin yang beliau kehendaki iaitu


(a) pertama pemimpin yang komited kepada perjuangan UMNO lebih daripada diri atau kelompok.


(b) Kedua, bersikap terbuka melakukan perubahan, dan


(c) ketiga mesti pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat.



22) Maksudnya, apa yang rakyat pandang baik yang harus ada pada pemimpin, maka pemimpin itu sebaik-baiknya dipilih.



23) Najib telah berlaku jujur kepada perwakilan UMNO, dengan mengatakan beliau mahukan satu pasukan yang berwibawa memandangkan UMNO dan kerajaan menghadapi keadaan yang begitu mencabar.



24) Jika ahli-ahli UMNO telah memberi kepercayaan kepada Najib untuk menerajui parti, maka adalah wajar mereka memberikan Najib sebuah pasukan yang dimahukannya dengan memilih pemimpin yang berintegriti dan berwibawa bagi masa depan UMNO dan negara.