Wednesday, March 4, 2009

'Kerajaan Pasir Dua Butir' di Perak imbau jenaka P. Ramlee

BERSIDANG di bawah pokok! Jika sebelum ini ia hanya menjadi bahan lawak, pakatan pembangkang menjadikannya satu realiti.


Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dipengerusikan Speaker, V. Sivakumar yang dirancang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan akhirnya berlangsung di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta kira-kira 100 meter daripada bangunan tersebut.


Kedegilan pemimpin pembangkang mengadakan sidang itu walaupun dilarang pihak polis menggambarkan sikap sebenar mereka yang langsung tidak mempedulikan kedaulatan undang-undang.


Doa dibacakan oleh Setiausaha Dewan, Misbahul Munir Masduki yang baru sehari dilantik. Ia juga menandakan sidang di bawah pokok bermula.

Apa yang berlaku ini bukan lagi perkara pelik dalam senario politik negara sekarang, lebih-lebih lagi membabitkan parti pembangkang.

Jika tujuan mereka mahu membubarkan DUN selain menyokong kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, itu boleh dilakukan di mahkamah.


Namun mereka memilih untuk melakukan provokasi. Tujuannya untuk menguji
sejauh mana pihak polis akan bertindak ke atas mereka.


Jika berjaya, ini akan dijadikan pula 'modal' politik bagi meraih undi menjelang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak 7 April ini.


Tidak sukar lagi untuk menjangka taktik dan strategi golongan ini. Kesanggupan mereka berdepan dengan sebarang kemungkinan selama ini telah terbukti menjadi 'azimat' dalam usaha meraih simpati masyarakat.


Tidak mustahil 'kelembutan' pihak polis mengambil tindakan ke atas kumpulan-kumpulan begini menyebabkan mereka 'lebih berkuasa daripada pihak berkuasa.'
Walaupun sedar menjalankan sidang di bawah pokok tidak akan mengubah apa-apa keputusan sebelum ini, apatah lagi hak untuk membubarkan DUN terletak di bawah kuasa Sultan tetapi matlamat mereka hanyalah 'untuk menarik perhatian.'
Justeru, mereka memilih untuk 'memalukan' negara menerusi tindakan-tindakan luar biasa dan kenyataan-kenyataan kesat di kain rentang.


Hakikatnya, pakatan pembangkang telah diberi kesempatan untuk mentadbir Perak selama 11 bulan sebelum ini. Dalam tempoh itu, mereka sepatutnya dapat membuktikan kemampuan yang ada untuk melakukan segala kebajikan dan kebaikan untuk masa depan rakyat.


Malangnya, tiada apa yang boleh dibanggakan lebih-lebih lagi oleh masyarakat Melayu tentang apa yang telah dilaksanakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.


Lebih malang, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sanggup menjadi 'kuda tunggangan' sekutunya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencapai maksud politik mereka yang terselindung selama ini.


Negara kini berhadapan dengan cabaran ekonomi. Bagi pemimpin yang waras akal fikirannya, ini sewajarnya dijadikan fokus utama mereka dalam mencari jalan atau ruang ke arah mengurangkan beban rakyat.


Maknanya, jika pemimpin itu sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang berjiwa murni dan ikhlas untuk membantu rakyat, mereka tidak akan sanggup melakukan tindakan yang menyusahkan rakyat.

Entah kenapa bila saya melihat visual mengenai Nizar bersama Exconya mengadakan mesyuarat itu, saya terkenang kepada filem Laksamana Do Re Mi arahan P Ramlee terbitan 1972. Dalam filem itu ada satu bab bagaimana kisah seorang raja dari negeri Pasir Dua Butir yang kuasanya telah dirampas Menteri Pasola menyebabkan kuasa dan negerinya hilang.


Gara-gara itu, Raja negeri Pasir Dua Butir itu terpaksa melarikan diri dan berteduh di bawah sepohon pokok untuk dijadikan tempat semayam atau istana sementara bersama permaisurinya dengan dikeliling oleh beberapa orang datuk-datuk yang setia kepadanya sebagai batu asas kepada kerajaan negeri Batu Pasir Butir itu.


Antara babak menarik dalam filem itu ialah tentang persidangan negeri Pasir Dua Butir yang terpaksa berlangsung di bawah pokok dalam kawasan lapang akhirnya benar-benar menjadi realiti dalam senario politik Perak.

Saya rasa apa yang dihadapi oleh Nizar sekarang ini tak ubah seperti nasib Raja Pasir Dua Butir itu manakala lapan Exconya itu tak ubahlah sepeerti datuk-datuk yang menjadi hamba yang 'tertonggol' menjaga Raja negeri Pasir Dua Butir sebagai batu asas itu.


Makanya sekiranya Nizar hendak dapatkan semula jawatan MB dan kerajaannya, beliau kena cari dulu orang-orang seperti Laksamana Do Re Mi itu yang mempunyai kuasa berusur magik itu. Do mempunyai tikar terbang, Re mempunyai teropong manakala Me ada bangsi ajaib. Hanya dengan memiliki tiga Laksamana yang sakti itu saja memungkin kerusi MB dan kerajaan Pakatan Rakyat akan dapat dikembalikan semula. Wa'lahualam. Zam...zam ala kazam....:)


Nizar dikontrol oleh Laksamana Bersepupu Do dan Re (Ngeh Ngah)
Nizar akhirnya dapat menemui Laksamana "Mi" (Sivakumar)

Jika Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih hidup, beliau pasti tertawa melihat babak jenaka ketua hilang kuasa yang diselitkan dalam filem arahan terakhirnya, Laksamana Do Re Mi.